Khalid Akui Dbkl Silap Jumlah Gegantung Dimohon Umno
M Fakhrull Halim
Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad mengakui Dewan Bandaraya Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat kesilapan berkenaan jumlah permohonan gegantung untuk Himpunan Penyatuan Ummah yang dijadual berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putran (PWTC) esok.
“Menurut surat DBKL yang saya baca, menyatakan jumlah yang dipohon ialah 150, dan itulah yang diberi kelulusan. Maka dalam ciapan saya, saya rujuk pada surat DBKL dan menyatakan itulah permohonan yang diterima oleh DBKL.
“Kemudian, Umno mengatakan sebenarnya mereka mohon untuk 1,000. Bila saya dapat maklumat dari DBKL semula, mereka sahkan bahawa Umno pohon 1,000.
"Lalu saya tanya kenapa dalam surat DBKL kata pohon 150? Mereka kata ada tersilaplah dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.
Beliau mengulas sindiran bekas perdana menteri Najib Razak yang mendakwanya “meroyan” berhubung isu tersebut selepas penjelasannya di Twitter berkenaan perkara itu.
Terdahulu, Anggota Majlis Tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii memetik nama Khalid dalam ciapannya dengan mendakwa menteri itu mengarahkan penurunan gegantung tersebut.
Khalid kemudian berkata permohonan hanya melibatkan 150 gegantung, dan Razlan kemudian melampirkan surat yang menunjukkan Umno memohon untuk 1,000 gegantung.
Khalid kemudian memuat naik surat permohonan Umno dan surat DBKL yang menunjukkan perbezaan jumlah itu.
“DBKL sahkan permohonan Umno ialah 1,000 gegantung. DBKL minta maaf kerana sebut permohonan untuk 150 dalam surat kelulusan mereka. Saya rujuk surat DBKL. Namun DBKL tanya, lulus 150 kenapa pasang 1,000? Lepas tu riuh bila DBKL turunkan yang lebih tu. Saya jawab 'kena tanya Najib',” katanya di Twitter semalam.
Susulan itu Najib memuat naik status Facebook yang menyifatkan Khalid “meroyan”
Dalam pada itu, Khalid berkata ciapannya di Twitter atas kapasiti peribadi dan mengakui ia mungkin kedengaran agak keras dan mengandungi sindiran
Bagaimanapun, katanya, jika pihak penganjur merasakan DBKL silap dalam menurunkan gegantung tersebut, mereka boleh mengambil tindakan selanjutnya ke atas DBKL.
“Tiada apa-apa usaha untuk menghalang Umno, PAS atau mana-mana pihak untuk membuat program, asalkan mereka patuh kepada syarat.
“Kalau patuh, masih diturunkan, sila ambil tindakan. Saya akan sokong juga,” katanya lagi.
'Tak patut remehkan Memali'
Dalam perkembangan lain, Khalid meluahkan rasa terkejut dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS,Takiyuddin Hassan bahawa tragedi Memali kini “menjadi kecil” dengan penyatuan ummah antara PAS dan Umno.
Katanya, banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa itu, dan perdamaian antara dua parti itu tidak akan mengubah hakikat bahawa tragedi tersebut tetap pernah berlaku.
“Dengan kenyataan sebegitu rupa, seolah-olah memberikan gambaran bahawa peristiwa itu berbaur politik semata-mata, dan apabila dah berdamai dua parti politik yang terlibat, maka dah tak jadi isu.
“Sedangkan nyawa terkorban di pihak polis, dan juga di pihak orang kampung...Tak sepatutnya peristiwa sebegitu rupa diremehkan. Saya cukup dukacitalah kalau benar Takiyuddin mengeluarkan kenyataan sebegitu rupa,” katanya ketika ditanya pemberita.
Menjawab soalan mengenai penerimaan keluarga mangsa Memali terhadap penyatuan Umno dan PAS di sidang media Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC semalam, Takiyuddin juga berkata peristiwa Memali sebagai "takdir" yang harus diterima seadanya.
Peristiwa Memali ialah insiden berdarah membabitkan pasukan keselamatan - yang ketika itu ditadbir BN - dengan penyokong PAS di Kampung Memali di kawasan pedalaman Baling, Kedah.
Hasil daripada pertembungan dua pihak terbabit seramai 18 orang termasuk 14 ahli PAS terbunuh dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain. Turut terkorban anggota keselamatan yang terlibat dalam operasi tersebut.
LIHAT FB DI SINI
LIHAT VIDEO DI SINI
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/09/khalid-akui-dbkl-silap-jumlah-gegantung.html