Khaled K Jaan Johor Lemah Tak Tegas Tangani Pencemaran Kimia
MALAYSIAKINI     
Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin menyifatkan kerajaan negeri  setakat ini gagal menangani masalah pencemaran kimia di Johor Bahru.
Beliau  berkata kerajaan negeri tidak menunjukkan ketegasan dalam menangani  masalah itu, yang setakat ini mengakibatkan lebih 200 dimasukkan ke  hospital.
"Paling merisaukan, tiada jaminan atau kepastian  daripada kerajaan negeri atau pihak berwajib.
Adakah ia berada dalam  keadaan terkawal dan diurus dengan baik? Adakah Pasir Gudang kini  selamat... Atau (masalah) akan terus merebak dan menjadi semakin kronik?
"Semua  ini tak dijelaskan oleh kerajaan negeri sekaligu menimbulkan panik dan  takut di kalangan orang awam. Malah kita tidak pasti adakah kerajaan  negeri melakukan penilaian komprehensif dan ada pelan tindakan yang  jelas," katanya dalam kenyataan.
Pencemaran kimia itu disyaki berpunca daripada pembuangan sisa toksik secara haram di Sungai Kim Kim.
Khamis  lalu media melaporkan 1,400 pelajar SMK Pasir Putih dan SK Taman Pasir  Puteh diarah mengosongkan kawasan sekolah apabila ada pelajar mengalami  sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas dipercayai daripada  pencemaran itu.

Insiden ‘gelombang kedua’ pencemaran mengakibatkan 209 dirujuk ke Hospital Sultan Ismail setakat malam tadi.
Semalam  Menteri Besar Johor Osman Sapian membuat kenyataan pertama berkenaan  perkara itu, dengan mengarahkan sekolah di sepanjang sungai itu ditutup  dan berikrar tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang  bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Khaled menggesa jawatankuasa  kerja mendalami perkara itu secara lebih serius dan "bukan sekadar  keluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan".
"Sediakan  wakil khas dari kerajaan negeri untuk berurusan dan memberi  perkembangan terkini kepada semua mangsa dan keluarga terlibat, media  dan orang awam.
"Saya juga minta diasingkan satu peruntukan khas untuk membantu semua mangsa dan disalurkan dengan segera," katanya lagi.
Apa  yang berlaku ini, katanya lagi, menunjukkan kelemahan kerajaan negeri  dalam memastikan kualiti alam sekitar dan keselamatan awam di Pasir  Gudang - sebuah kawasan industri.
Polis setakat ini telah menahan  tiga individu, termasuk dua pemilik kilang, kerana disyaki terlibat  dalam pembuangan sisa bahan kimia di sungai itu. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/khaled-kjaan-johor-lemah-tak-tegas.html