Keutuhan Cinta Sweet Qistina Adam Lee
Perkenalan antara Sweet Qistina dan Adam Lee terjalin ketika mereka membintangi drama Adam Chempaka yang ditayangkan di TV3, tahun lalu. Dari situ, Bibit cinta antara Sweet, 23, dan Adam, 26, mula bersemi dan terus mekar hingga kini.
Malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-31, dua tahun lalu menjadi titik permulaan bibit cinta antara pasangan sama cantik, sama padan itu.
Adat berpacaran, setiap pasangan yang sedang memadu cinta, pastinya sentiasa ingin bersama. Barangkali sudah menjadi rezeki Sweet dan Adam apabila mereka kembali bergandingan dalam drama berjudul Bidadari Salju yang memulakan penggambaran tidak lama lagi.
Pastinya peluang itu menerbitkan rasa teruja buat mereka kerana secara tidak langsung peluang bersama lebih kerap menjadi kenyataan. Apatah lagi, jika tempoh penggambaran drama panjang dan memakan masa hampir tiga bulan.
Tentunya, pasangan merpati dua sejoli itu tidak perlu risau untuk lama berjauhan kerana peluang menghabiskan masa bersama terbuka luas.
Tidak menolak tanggapan itu, Sweet atau nama sebenarnya, Farhanna Qismina Supandi bagaimanapun lebih risau tanggungjawab yang terpikul di atas bahu berbanding keseronokan bersama si jantung hati.
"Apabila difikirkan, memanglah seronok apabila dapat berlakon bersama buah hati. Tetapi, hakikatnya ada perkara lain yang lebih dibimbangkan daripada fikir nak bercinta di set penggambaran. Ini kali pertama kami ditawarkan memegang watak utama untuk slot Akasia yang sudah mempunyai standard sendiri di mata penonton.
"Justeru, kami perlu menjaga kualiti lakonan kerana drama disiarkan dalam slot berkenaan sering mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi sohor di media sosial. Tak dinafikan, berlakon bersama Adam memudahkan kami berbincang bagaimana mahu menjadikan watak lebih menarik," katanya.
Menerusi drama rantaian bertemakan cinta dan dendam, Sweet berkata, terdapat babak pergaduhan yang harus dilakukan. Jika silap percaturan, mungkin boleh menimbulkan perasaan 'sentap' antara mereka. Walaupun profesional dan faham dengan tuntutan kerja, namun langkah berhati-hati perlu diambil supaya tidak terasa hati.
"Ada babak pergaduhan dan Adam membuli saya. Adam turut meluahkan kebimbangan jika ia boleh membuatkan saya terasa. Saya juga tertanya-tanya sejauh manakah sikap kurang ajar yang harus dilakonkan.
"Sebagai pelakon, kami profesional. Justeru, kami mengambil pendekatan berbincang dengan pengarah mengenai karakter supaya penggambaran berjalan lancar dan berpuas hati dengan hasilnya," ujar pelakon jelita ini.
Lebih dua tahun menjalin hubungan, tentu peminat ingin melihat merpati dua sejoli itu mengakhiri perhubungan di jinjang pelamin.
Mengulangi pendirian sama seperti sebelum ini, Sweet berkata, soal jodoh bukanlah agenda mereka buat masa ini.
"Niat memang ada, cuma ia bukanlah berlaku dalam masa terdekat. Masih banyak perkara lain diberikan tumpuan. Tunggulah, apabila keadaan sudah kembali stabil, barulah kami bersedia memikirkan ke arah ini.
"Buat masa ini, tumpuan saya dan Adam adalah drama rantaian yang kami bintangi ini. Jika boleh, kami mahu drama ini menjadi kayu pengukur terhadap hasil kerja.
"Sebenarnya kami pernah berbincang mahu menjadikan gandingan sebagai jenama seperti pernah berlaku kepada beberapa pasangan selebriti. Disebabkan itu, kami mahu drama ini berjaya menarik perhatian ramai.
"Jika maklum balas positif, tidak mustahil kami akan terus bergandingan dalam watak dan jalan cerita berbeza pula," kata Sweet optimis.
Terdahulu, pelakon drama Pink Smile itu ditemui pada majlis pelancaran telefon pintar Xiaomi Mi 10T Series yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, semalam.
Sweet antara selebriti bertuah diberi peluang menggunakan telefon pintar berkenaan, sekali gus berkongsi keistimewaan telefon itu kepada peminat dan pengikut laman sosialnya.
"Ini julung kali saya diberi peluang menggunakan telefon jenama ini. Seperti dikongsikan menerusi entri media sosial, telefon ini sangat sesuai untuk mereka yang gemar berswafoto dan permainan video.
"Secara peribadi, saya menyukai skrinnya yang luas dengan resolusi definisi tinggi sepenuhnya, sekali gus menjadikan gambar diambil jelas dan cantik," katanya.
Selain Sweet, majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran Izzue Islam, Afieq Shazwan, Yonnyboii dan Shalma Eliana.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2020/10/keutuhan-cinta-sweet-qistina-adam-lee.html