Ketegasan Umar Bin Al Khattab Dalam Mengambil Elaun Pemerintahan
“Kekayaan Umar bin al Khattab Sebagai Pemerintah”
Sesudah menjadi khalifah, Umar al Khattab tidak ada masa untuk bekerja. Hari-harinya sibuk dengan urusan pemerintahan dan umat. Maka, pada satu hari ia bercakap di depan rakyatnya:
“Wahai saudara-saudaraku, aku telah diangkat olehmu sebagai khalifah, yang membuatku tidak boleh lagi mencari nafkah bagi kehidupan keluargaku. Jadi bagaimana pendapat saudara-saudara, apakah anak dan isteriku akan dibiarkan meminta-minta?”
Para sahabat terdiam sambil mencari jalan penyelesaian. Akhirnya mereka bersetuju untuk memberikan elaun dan saraan bagi khalifah dari wang baitulmal. Satu jumlah telah dicadangkan oleh para sahabat dan jumlah tersebut sama banyak dengan gaji raja atau pembesar negeri luar. Ali bin Abi Talib yang tidak setuju dengan jumlah tersebut berdiam diri ketika sahabat-sahabat yang lain bersetuju.
Umar lalu bertanya:
“Bagaimana pendapatmu , Ali? Dari tadi engkau tidak bercakap”. Ali menjawab dengan tegas: “ Saya tidak suka seorang khalifah hidup berlebihan seperti para kaisar dan raja”.
Umar menjawab gembira:
“Bagus, engkau telah mewakili pendapatku. Aku minta saraan bagiku hanya cukup untuk hidup sederhana.”
Demikianlah akhirnya keputusan musyawarah. Khalifah memperolehi saraan yang secukup sahaja. Walaupun begitu beliau dapat memimpin umat dengan tenang. Banyak kemajuan telah dicapai dan rakyat hidup dengan penuh makmur. Wilayah kekuasaan semakin luas dan pendapatan Negara semakin banyak melalui pelbagai sumber ekonomi baru. Namun Umar dan keluarganya tetap compang camping mengikut ukuran ketua Negara lain.
Para sahabat diketuai oleh Ali bin Abi Thalib dan disokong kuat oleh Uthman bin Affan, bersetuju agar saraan khalifah dinaikkan dua kali ganda demi menaikkan imej daulat Islamiyyah dikalangan pembesar-pembesar Negara asing. Uthman yang selalu mengunjungi pembesar-pembesar Negara asing berpendapat mencadangkan agar saraan khalifah mesti ditambah.
Namun, mengingatkan ketegasan Umar mereka semua tidak berani memberi cadangan secara bersemuka dengannya. Mereka bersetuju untuk melantik Hafsah iaitu puteri Umar dan balu Rasulullah untuk menyatakan cadangan tersebut. Kepada Hafsah mereka berpesan supaya tidak mendedahkan nama sahabat-sahabat yang mengusulkan perkara tersebut.
Dugaan para sahabat ternyata benar. Umar marah-marah sewaktu Hafsah menyatakan cadangan kenaikan saraan tersebut. Katanya :
“Kalau ku tahu nama – nama orang yang mempunyai fikiran beracun itu, ku datangi mereka dan ku lempang mereka satu persatu”.
Umar menatap Hafsah lalu bertanya:
“Hafsah, selama engkau menjadi isteri Rasulullah, makanan apa yang biasa beliau makan?”. Hafsah menunduk, matanya berkaca-kaca. Ia teringat akan kehidupan Rasulullah yang penuh sederhana. Dengan perlahan dan berat Hafsah menjawab:
“Roti tawar yang keras, dan untuk memakannnya harus dicelupkan dulu ke dalam air minumnya.”
“Hafsah, pakaian apa yang paling mewah bagi beliau?” Tanya Umar lagi. Hafsah makin tertunduk,
“Selembar jubah berwarna kemerahan kerana sudah luntur. Itulah yang dibangga-banggakannya untuk menerima tetamu kehormat.”
“Apakah Rasulullah tidur di atas tilam yang empuk?”
Hafsah menangis : “Tidak!” desisnya.
”Rasulullah hanya beralaskan selembar selimut tua.Kalau musim panas dilipatkanya menjadi empat lapis supaya agak nyaman ditiduri. Bila musim sejuk dilipatnya menjadi dua untuk alad dan menyelimuti badannya.”
Umar lalu berikrar: “Hafsah, aku, Abu Bakar dan Rasulullah adalah tiga musafir yang menuju cita-cita yang sama. Kerana itu harus menempuh jalan yang sama. Musafir telah tiba di tempat tujuannya sebagai pelopor yakni Rasulullah. Musafir kedua telah mengikuti jalannnya dengan saksama sehingga ia telah berkumpul bersama musafir pertama. Dia adalah Abu Bakar. Apakah aku musafir jika tidak meniti jalan yang sama akan dapat bergabung dengan mereka? Tidak, Hafsah. Katakan kepada sahabat yang mengusulkan kenaikan saraan itu, bahawa Umar bin al-Khattab lebih memilih berkecukupan di akhirat daripada bermewah-mewah di alam dunia.”
Bandingkan pemimpin kita dengan kehidupan Nabi SAW dan sahabat-sahabat baginda . Amat jauh. Makan kita, pakai kita dan tempat tidur kita terlalu banyak mewah tetapi amal kita sedikit.
Masih adakah pemimpin seperti Umar bin al Khattab?
Kredit kepada Shahril Salleh
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://muscadinediet.com/ketegasan-umar-bin-al-khattab-dalam-mengambil-elaun-pemerintahan/