Kesan Dunning Kruger Macam Pakar Tapi Sebenarnya Tak
Umumnya, kebanyakkan orang lebih cenderung dan suka bercakap tentang perkara yang mereka fahami atau yang mereka betul-betul rasa familiar.
Dengan memilih topik atau perkara yang mereka faham, mereka rasa lebih yakin dan selesa bila berkongsi pandangan tentang topik tersebut. Mereka boleh berbual topik tersebut selama berjam-jam lamanya, tanpa merasa bosan.
Kemudian, bila perbualan mula masuk bab yang mereka tak faham, ramai yang memilih untuk diam atau cuba mengalih topik perbualan kerana takut salah cakap atau kelihatan kurang berpengetahuan.
Tapi, ada juga sesetengah individu yang suka explore perkara baru. Individu seperti ini suka bertanya soalan, atau berdiskusi untuk belajar sesuatu yang baru.
Pada masa yang sama, ada juga sejenis individu yang suka bercakap seolah-olah dia tahu dan pakar dalam sesuatu perkara, walhal apa yang dia tahu tentang perkara tersebut hanyalah sedikit sahaja.
Ini situasi yang biasa berlaku, dan ia sebenarnya dikenali sebagai kesan Dunning-Kruger.
Orang yang tahu sedikit tentang sesuatu topik kadang-kadang rasa mereka tahu lebih banyak daripada yang sebenarnya. Sebaliknya, orang yang benar-benar pakar dalam sesuatu perkara sering lebih merendah diri kerana mereka sedar betapa banyak lagi yang mereka belum tahu.
Orang macam ini memang agak menjengkelkan. Terutama sekali kalau anda tak tahu cara untuk handle orang dalam kategori tersebut. Sebenarnya tak susah pun nak berhadapan dengan orang macam ni.
Cara berdepan dengan individu yang terkena kesan Dunning Kruger
Ini ada beberapa teknik yang kita semua boleh praktikkan, apabila berhadapan dengan individu yang terkena kesan Dunning Kruger.
(1) Tanya soalan yang mendalam
Bila kita tengok orang tu terlalu yakin dengan kefahaman dia, yang mungkin sebenarnya tak seberapa, kita tunjukkan yang kita berminat dengan topik dan kepakaran individu tersebut.
Kemudian, kita tanyakan soalan-soalan yang agak mendalam.
Mudah-mudahan selepas ini mereka tersedar, yang sebenarnya ada banyak lagi perkara yang mereka tak tahu (atau belum tahu).
(2) Bagi peluang dan ruang untuk perbincangan
Kadang-kala, orang yang terlalu yakin ini, dia tak sedar yang dia ada melakukan kesalahan atau tercakap perkara yang tak betul.
Kalau kita terus tegur kesalahan mereka, ini akan mewujudkan suasana yang agak tegang. Maklumlah, pada waktu ini ego mereka akan mula rasa dicabar.
Tapi sebaliknya, kita boleh cuba gunakan pendekatan ingin mewujudkan perbincangan terbuka, supaya mereka lebih mudah menerima hakikat sebenar.
(3) Kongsi maklumat dengan cara berhikmah
Kita boleh cakap ayat seperti
“Menarik juga poin yang awak berikan, boleh tak saya nak tambah sedikit je poin yang awak ketengahkan tu…”
“Apa yang awak kata itu memang bagus, dan saya nak kongsikan sedikit yang saya pernah baca sebelum ini…”
Siapa tahu, sekiranya diberikan laluan, dan anda berikan poin yang lebih bernas, mau tercengang kawan tu.
Selama ini dia fikir dia dah tahu banyak perkara, rupa-rupanya pengetahuan yang dia ada itu sekadar dipermukaan sahaja.
Satu persoalan yang bermain difikiran saya, apa yang membuatkan individu yang sebenarnya tahu sedikit sahaja, jadi begitu berkeyakinan seolah-olah dia dah tahu semua perkara?
Kalau dulu, saya mungkin tak perasan tentang perkara ini. Tapi sejak saya mula menelaah buku-buku dalam topik motivasi dan psikologi, saya mula nampak perkara ini.
Kenapa orang boleh over confident melebihi kemampuan sebenar?
Sebenarnya ada beberapa penjelasan yang membuatkan fenomena ini berlaku.
(1) Kesan Dunning-Kruger
Ini adalah seperti yang saya sebutkan dibahagian permulaan tadi.
Orang yang tahu sedikit cenderung untuk salah menilai kebolehan mereka sendiri. Mereka kurang sedar tentang apa yang mereka tidak tahu, jadi mereka berasa yakin dengan kefahaman yang sebenarnya terhad.
Dia tak tahu, yang sebenarnya ada banyak lagi yang dia tak tahu.
Ini berbeza dengan individu yang sedar, dia tahu sesuatu dan ada banyak lagi perkara yang dia belum tahu.
Individu dalam kategori kedua ini lazimnya masih ada keinginan untuk menambah dan mencari ilmu.
(2) Tiada atau kurang rujukan
Kalau mereka tak pernah berhadapan dengan orang yang lebih mahir, mereka tak ada perbandingan untuk sedar tentang kekurangan mereka. Mereka rasa “cukup tahu” sebab tak nampak jurang dengan pengetahuan orang lain.
Sebab tu kita ini digalakkan untuk bercampur dengan masyarakat, supaya kita boleh terdedah dengan pelbagai latar belakang, budaya, kelas, ketinggian ilmu dan sebagainya.
Pada hari ini, kita boleh bercampur dengan masyarakat secara maya sahaja. Tak perlu bercampur secara fizikal pun tak ada masalah. Cuma kita perlu pastikan kita hanya bercampur dengan kelompok dan kumpulan yang betul.
Satu lagi kalau mereka ini bukan dalam kalangan yang suka membaca.
Orang yang kurang membaca ini juga antara orang yang mudah perasan pandai, dan kalaulah dia jenis yang suka membaca, mesti dia akan sedar, ada banyak lagi perkara yang dia belum tahu atau tak pernah dengar.
(3) Silap tafsir pada keyakinan diri
Kadang-kadang, keyakinan datang dari sifat semula jadi atau pengalaman bercakap dengan yakin walaupun fakta tak tepat.
Lebih memburukkan keadaan adalah apabila mereka bercakap dihadapan penonton yang tak tahu tentang topik yang diperkatakan. Penonton ini hanya mengiyakan sahaja apa yang disampaikan.
Ini memberikan satu ilusi seolah-olah dirinya sentiasa betul, walau apa pun topik yang diperkatakan.
Adakah anda pernah terjebak dalam kesan Dunning-Kruger?
Kalau saya berlaku jujur pada diri saya sendiri, saya akan katakan yang saya sendiri pernah terjerat dalam perangkap bernama kesan Dunning-Kruger ini.
Sudah tentu, pada waktu itu saya belum pernah tahu tentang kewujudan dan maksud disebalik istilah tersebut.
Pada pandangan saya, perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah, kita perlu tahu apa yang dimaksudkan dengan kesan Dunning-Kruger itu sendiri.
Hanya apabila kita betul-betul cakna dan ada kesedaran berkenaan dengan perkara ini, barulah kita dapat melindungi diri daripada terjerat sekali lagi.
Malu weyhh bila orang nampak kita ni sebenarnya bukan betul-betul pakar atau mahir dalam sesuatu bidang, tapi sebenarnya keyakinan kita tu datangnya dari kesan Dunning Kruger tersebut.
Pada mulanya saya beranggapan kesan ini hanya berlaku kepada peringkat umur tertentu sahaja. Tapi bila saya buat bacaan lanjut, saya dapati sebenarnya kesan ini boleh berlaku dan terkena kepada sesiapa sahaja.
Of course, orang yang tak pernah tahu tentang istilah ini adalah orang yang paling tinggi kebarangkalian untuk terkena kesan ini.
Jom kita bincangkan dengan lebih dalam lagi.
Kesan Dunning-Kruger tidak terhad kepada umur tertentu – sesiapa sahaja, tanpa mengira umur atau latar belakang, boleh mengalaminya. Ia lebih bergantung kepada tahap pengetahuan seseorang dalam sesuatu bidang, bukan faktor usia.
Namun, ada keadaan tertentu di mana ia lebih ketara:
1. Kanak-Kanak dan Remaja
Golongan ini masih dalam fasa pembesaran dan masih ada banyak perkara yang mereka perlu pelajari.
Mereka masih dalam proses pembelajaran dan sering terlalu yakin dengan pemahaman awal kerana belum terdedah kepada kerumitan sebenar sesuatu topik.
Contohnya, seorang remaja mungkin rasa dia tahu “semuanya” tentang kehidupan selepas membaca beberapa artikel di media sosial.
Seorang kanak-kanak pula terlalu seronok bercerita dan menerangkan tentang sesuatu kejadian, sedangkan apa yang berlaku tak sama seperti yang difahami.
2. Pelajar Universiti atau Pemula dalam Bidang
Pelajar yang baru belajar sesuatu cenderung merasa mereka sudah “pakar,” walaupun hanya memahami konsep asas.
Contohnya, pelajar dalam semester awal mungkin fikir mereka tahu cara menyelesaikan isu dunia hanya kerana belajar teori-teori tertentu.
3. Dewasa (Orang Muda hingga Tua)
Orang dewasa juga boleh terkesan, terutamanya jika mereka kurang terdedah kepada pembelajaran berterusan atau tiada maklum balas mencabar dari orang lain.
Dalam bidang profesional, seseorang yang baru naik pangkat mungkin berasa sangat yakin walaupun sebenarnya masih kurang pengalaman.
4. Orang Tua
Orang yang lebih berumur mungkin terkesan jika mereka percaya pengalaman hidup mereka mencukupi untuk memahami semua isu.
Ayat yang cukup popular, “aku lahir dulu, dan aku lebih dulu makan garam…”
Namun pada hari ini, apabila sesuatu topik dan pengetahuan itu melibatkan teknologi moden, seperti Artificial Intelligence misalnya, ada banyak orang tua yang terpedaya.
Kalau sebelum ini, kita bercerita mengenai segolongan manusia yang hanya tahu sedikit tapi berlagak seolah-olah tahu dengan mendalam, tapi kali ini saya nak berpindah kepada satu kategori manusia yang tak kurang peliknya.
Mereka ini adalah golongan yang merasakan dia dah faham sesuatu perkara dan layak untuk bercakap mengenai perkara tersebut, sedangkan kefahaman yang mereka ada itu sebenarnya… salah!
Ya. Pemahaman mereka terhadap sesuatu perkara itu, sebenarnya salah.
Dengan kefahaman yang tak betul tu juga, dia cuba untuk ajar orang lain, sebab dia sangkakan orang lain yang tak sependapat dengan dia tu yang salah, dan dia betul.
Memang agak mencabar untuk berhadapan dengan orang macam ni.
Lebih-lebih lagi, kalau orang tu jenis yang degil dan tak mahu terima pendapat orang lain.
Tujuan saya tulis tentang hal ini, bukanlah untuk menyinggung atau menghentam sesiapa. Sebaliknya penulisan ini lebih kepada satu peringatan untuk diri saya sendiri.
Dalam hidup ini, kita tak boleh over confident.
Kalau nak jadi seorang yang confident tu bagus. Cuma sebelum tu, kita kena pastikan dulu apa yang kita tahu itu adalah sesuatu yang memang betul dan ada rujukan yang betul.
Biasanya untuk golongan pencari ilmu ini, dia tak ada masalah untuk temui sumber rujukan yang ada kredibiliti.
Golongan yang bermasalah ini adalah mereka yang tak suka cari ilmu, kemudian memandai-mandai buat tafsiran sendiri berdasarkan kepada kefahaman sendiri (yang belum tentu betul).
Memandangkan kita adalah manusia biasa, yang boleh tersilap, maka pada setiap masa kita kena terima kemungkinan bahawa kita mungkin tersilap pada satu-satu perkara.
Jika kita yakin bahawa kefahaman, atau fakta yang kita bentangkan adalah betul tetapi sebenarnya salah, itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ia adalah satu situasi yang agak memalukan, tetapi penting untuk menyedarinya kerana ia membuka peluang untuk pembelajaran dan pembetulan.
(1) Terima kebarangkalian bahawa kita boleh buat silap
Oleh sebab kita ini tidaklah terlindung atau dilindungi daripada melakukan kesalahan dan kesilapan seumpama ini, maka pada setiap masa kita perlu terima kebarangkalian, bahawa kita boleh salah!
Kalau topik yang dibincangkan adalah topik yang kita jarang-jarang dengar, kemungkinan untuk kita buat silap itu memang akan ada.
Keyakinan semata-mata tidak menjamin bahawa kita berada dipihak yang benar.
Melainkan kalau keyakinan itu memang berpunca daripada fakta dan data yang kita biasa gunakan.
Pada saya, adalah lebih selamat kalau kita selalu beringat, bahawa apa yang kita tahu tu mungkin betul pada pandangan kita, tetapi ia mungkin silap pada pandangan orang lain, atau tidak tepat mengikut konteks dan situasi.
(2) Cari sumber Maklumat yang sahih
Pastikan kita menyemak kefahaman kita dengan rujukan atau pakar yang dipercayai. Dalam hal ini, kita perlu jadi seorang yang suka membaca dan mencari ilmu.
Jalan ini memang agak sukar sedikit, tapi percayalah, ianya memang sangat berbaloi. Tak rugi kita jadi seorang yang berilmu, dan melengkapkan diri kita dengan ilmu-ilmu yang betul.
Elakkan hanya bergantung kepada pendapat orang sekeliling atau maklumat dari sumber yang tiada kredibiliti. Zaman media sosial seperti sekarang ini, maklumat bertukar penerima dengan sangat laju.
Adakalanya maklumat yang palsu pun disebarkan tanpa segan silu.
Mungkin orang yang rajin sebarkan dan jadikan perkara tersebut viral tu, sebenarnya seorang yang cetek ilmu juga agaknya.
(3) Cuba dengar dulu pandangan orang lain
Membaca beberapa buku-buku berkaitan dengan topik komunikasi, membuatkan saya tersedar beberapa perkara.
Rupa-rupanya, kebanyakkan orang ada masalah untuk menjadi seorang pendengar yang baik. Saya ingatkan masalah ini hanya berlaku di negara kita, rupanya dekat negara lain pun sama juga halnya.
Kalau tak, tak kanlah sampai orang putih pun bagi nasihat yang lebih kurang sama.
Jadi pendengar yang baik terlebih dahulu, sebelum nak jadi seorang yang bagus dalam bab komunikasi.
Orang lain mungkin ada sudut pandang, pengalaman atau fakta yang kita belum tahu.
Jangan anggap perbezaan pandangan sebagai satu bentuk cabaran terbuka untuk menguji setinggi mana tahap ego kita.
Sebaliknya jadikan ia peluang untuk belajar, dan mengenali individu yang berada dihadapan kita dengan lebih baik.
Amalkan Sikap Bertanya, Bukan Menghukum
Sebelum kita gelabah nak betulkan setiap perkara yang tak kena pada diri kita, ada baiknya kita gunakan pendekatan bertanya soalan.
Benda yang kita tak pernah dengar, atau baru pertama kali dengar, bunyinya memang agak pelik.
Tak perlu tergesa-gesa nak kata yang orang tersebut buat salah.
Macam mana kita boleh tahu orang tu salah atau betul, kalau kita sendiri sebenarnya tak ada pengetahuan langsung berhubung perkara tersebut.
Jadi, kita diam dan dengar sahaja. Kalau nak cakap sesuatu, kita gunakan kaedah bertanya.
Rasa macam susah nak percaya?
Tak apa, balik nanti, kita buat pembacaan dan kajian lanjutan.
Kaedah yang sama kita boleh praktikkan kepada diri kita sendiri. Kita tanya soalan kepada diri,
“Kenapa saya percaya perkara ini? Adakah terdapat bukti yang menyyokong ataupun bercanggah dengan apa yang saya tahu?”
Ada orang terlalu taksub dengan topik alam bunian dan dia bercerita seolah-olah dia tahu semua benda. Tapi, apa sebenarnya sumber rujukan?
Adakah dari mimpi?
Atau bayangan-bayangan mahupun bisikan halus yang terlintas difikiran?
Bukankah lebih baik kalau kita cari rujukan, dari individu yang lebih berpengetahuan mengenai alam jin dan apakah perbahasan-perbahasan dari ulama terdahulu berhubung perkara tersebut.
Uji Kefahaman Melalui Perbincangan
Cuba terangkan apa yang anda faham kepada orang lain.
Kadang-kadang, melalui percubaan ini, kita sendiri akan sedar di mana kelemahan atau kesilapan kefahaman kita. Kalau kita masih ada perkara yang masih belum faham atau ada perkara yang kita tak dapat nak jelaskan, itu tandanya kita masih perlu belajar lagi.
Manusia tidak sempurna, dan salah faham adalah sebahagian daripada perjalanan pembelajaran. Kuncinya ialah bersedia untuk mengubah perspektif apabila berhadapan dengan bukti atau maklumat yang lebih baik.
Kalau kita sendiri ada kesukaran untuk menerangkan kefahaman kita kepada orang lain, bermakna kita sendiri masih belum betul-betul faham.
Tapi dari pengalaman saya, selalunya orang macam ini memang tak akan mengaku kelemahan diri. Dia lebih selesa untuk katakan, orang lain yang tak faham, dan sia-sia kalau terangkan, sebab orang tu tak akan faham.
Entahlah.
Saya rasa, diri dia pun sebenarnya tak faham.
Nanti kalau dia cuba terangkan benda yang dia tak faham, terdedahlah kebenaran yang sebenarnya dia sendiri salah fahaman.
Manusia ini, memang pelbagai ragamnya.
Kita sendiri perlu bijak, nak bercampur dengan manusia yang bagaimana ragam dan peelnya?
The post Kesan Dunning Kruger – Macam PAKAR tapi sebenarnya tak appeared first on Blog Sabree Hussin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.sabreehussin.com/kesan-dunning-kruger/