Kesan Baik Pkp Rapatkan Hubungan Kekeluargaan
ainulillia Ada keluarga tak bernasib baik tinggal dalam suasana kurang kondusif
BANGI – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana bagi  memerangi wabak COVID-19, wajar dijadikan peluang untuk membaiki serta  memperkukuhkan institusi kekeluargaan.
Naib  Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd  Hazizi Ab Rahman berkata, PKP membuka minda masyarakat bahawa ada satu  institusi (keluarga) yang mungkin sebelumnya tidak dipandang berat atau  terlepas pandang, kini perlu diberi perhatian bagi membina keluarga yang  sihat dan sejahtera.
Justeru,  katanya, dari satu sudut, PKP dapat dilihat membawa kesan positif  apabila orang ramai boleh duduk di rumah bersama dengan keluarga  masing-masing. 
“Walaupun  kebanyakan institusi keluarga masih utuh, tapi ia serba sedikit telah  dihakis oleh nilai-nilai kehidupan Barat yang semakin berpengaruh  terutama apabila adanya media sosial. 
“Bila kita  terpaksa berkurung dengan keluarga, ibu bapa dapat mendidik anak-anak,  meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya dalam program Pertiwi  Eksklusif yang disiarkan secara langsung, hari ini.
Mengulas  mengenai kebangkitan isu pembahagian tugas antara lelaki dan wanita di  dalam rumah, beliau menegaskan, masyarakat perlu sedar kedua-duanya ada  kekuatan dan kelemahan, baik lelaki mahupun perempuan. 
“Bila isteri  banyak melakukan kerja rumah, bukan bermaksud suami tidak membantu.  Tetapi dalam konteks yang sebenar, ia sesuai dengan fitrah kejadian  masing-masing. 
“Bila  berlaku PKP, maka perlulah wujudkan kerjasama, faham memahami, kukuhkan  komunikasi sesama adik-beradik dan ibu bapa,” katanya.
Pada masa  sama, Ustaz Hazizi tidak menafikan bahawa terdapat juga kesan negatif  daripada PKP, terutama bagi mereka yang kurang berkemampuan atau yang  tinggal dalam suasana tidak kondusif.
“Di samping peluang mendekatkan hubungan antara keluarga, perlu diakui ada realiti negatif yang perlu ditanggapi dengan baik. 
“Ada situasi  tertentu yang tidak kondusif untuk sesebuah keluarga, lagi-lagi yang  tinggal di rumah yang kecil kaki perseginya. Menjadikan rumah itu  ‘cramp’. 
,”Rumah itu  pada asalnya jadi tempat tidur sahaja. Tapi dalam PKP ini kita terpaksa  duduk di rumah, jadi sukar nak dikawal keadaan itu.
“Emosi  manusia pun sukar dikawal, termasuk komunikasi antara anak-anak dan ibu  bapa dan sebagainya. Itu perkara yang terpaksa dihadapi oleh mereka yang  kurang bernasib baik,” katanya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/kesan-baik-pkp-rapatkan-hubungan.html