Kereta Mewah 1 500 Cc Dan Kebawah Tidak Akan Dapat Subsidi Petrol Lim
THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: menegaskan bahawa kereta mewah tidak akan menerima subsidi petrol Ron 95 meskipun mempunyai kapasiti enjin 1,500cc ke bawah.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kajian sedang dibuat mengenai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol berkenaan yang dijangka akan berkuat kuasa suku kedua tahun depan bagi memberi manfaat melangkaui golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Kita nak kaji macam mana kita boleh perluaskan supaya kita tidak hanya hadkan kepada B40 tetapi yang saya ingin tegaskan yang pakai kereta mewah jangan harap, itu kita tidak akan berikan,” katanya kepada pemberita di Parlimen, semalam.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM2 billion bagi memberi subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta persendirian dengan kapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.
Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.
Mengenai Bon Samurai, Lim berkata kerajaan merancang menggunakan hasil daripada bon itu bagi membiayai semula atau menggantikan pinjaman sedia ada yang didominasi asing dan bagi projek pembangunan.
“Kami akan membincangkan dan memutuskan perkara itu kemudian nanti dan ia akan dilakukan sebelum Mac (tahun depan),” katanya.
Dalam pembentangan Belanjawan 2019, Lim mengumumkan tawaran Kerajaan Jepun untuk menjamin sehingga lebih kurang RM7.4 bilion untuk penerbitan bon Samurai bertempoh 10 tahun pada kadar kupon 0.65 peratus.
Sementara itu, mengenai pengurusan fiskal negara, beliau berkata kerajaan akan terus menumpukan kepada konsolidasi fiskal namun ia akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun dan bukannya setahun.
“Alasan mengapa kita mahu melakukannya dalam masa tiga tahun dan bukannya setahun adalah kita merasakan kebajikan sosio ekonomi perlu diberikan keutamaan. Pada masa yang sama, ia akan membantu mengembangkan ekonomi,” katanya.
Dalam Belanjawan 2019, kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, tiga peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021 dan seterusnya berkurangan kepada sekitar dua peratus dalam jangka masa sederhana.
Mengenai perkembangan lain, Lim berkata kerajaan akan meneruskan pembayaran bon 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk mengelak daripada mungkir meskipun mencabar perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan dana negara Abu Dhabi, International Petroleum Investment Co (IPIC), yang dicapai tahun lepas.
“Malaysia tidak boleh gagal membayar (kerana) kita mempunyai reputasi antarabangsa kita sendiri untuk dilindungi. Jika kita mungkir membayar, pasti akan ada penurunan serta merta gred penarafan dan kita tidak mahukan itu.
“Walaupun ia adalah untuk membiayai 1MDB, kita terpaksa membayar pemegang bon tetapi amaun yang kita bayar, kita gunakannya sebagai tuntutan terhadap mereka yang bertanggungjawab,” katanya.
Peguam Negara Tommy Thomas sebelum ini menyatakan Malaysia akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap perjanjian penyelesaian antara 1MDB dan IPIC di atas asas penyelesaian itu diperoleh secara penipuan atau dengan cara yang bertentangan dengan dasar awam.—Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/11/kereta-mewah-1500-cc-dan-kebawah-tidak.html