Kerana Covid 19 Ramai Jual Motor Kerana Terdesak
GEORGETOWN: Ramai golongan B40 terutama pekerja kilang yang diberhentikan kerja dan peniaga yang terjejas ekoran pandemik Covid-19 di negeri ini bertindak nekad menjual semula motosikal di kedai termasuk yang baharu dibeli dua bulan bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Bukan setakat itu, ada dalam kalangan mereka terpaksa ‘memajak’ geran motosikal dalam tempoh enam hingga setahun dengan kadar faedah kurang 10 peratus.
Pemilik motosikal berkenaan dikatakan sanggup berbuat demikian kerana terdesak mahu menggunakan wang bagi membeli barangan keperluan rumah, membayar hutang dan untuk menampung kehidupan selepas diberhentikan kerja akibat pandemik.
Seorang kerani jualan sebuah kedai motosikal, Hana Ahmad, 30, berkata, pihaknya menerima sebanyak 60 peratus penjualan semula motosikal yang kebanyakannya jenis Honda EX5, Honda Wave, Modenas, Yamaha LC, 125Z dan Lagenda sejak Mei tahun lalu.
Menurutnya, majoriti daripada pelanggan terdiri dalam kalangan mereka yang sudah berumah tangga termasuk warga emas yang berusia 60 tahun ke atas.
“Boleh dikatakan setiap hari mereka (pelanggan) datang ke kedai untuk menolak atau menjual semula motosikal. Ada juga mahu menolak motosikal yang tidak sampai setahun dibeli termasuk jenis Yamaha Y15 dan Yamaha Legenda baharu.
“Ada juga yang kami terpaksa menolak untuk membeli semula disebabkan perniagaan ini turut terjejas akibat pandemik Covid-19 dan ada yang sanggup merayu supaya kami membeli biarpun pada harga serendah kurang RM1,000.
“Tetapi sebilangan besarnya kami akan membeli semula pada harga RM3,000 ke bawah bergantung pada keadaan dan jenis motor tersebut selain simpati dengan nasib yang dialami mereka terutama warga emas yang jarang menaiki motosikal,” katanya di sini semalam.
Selain itu jelas Hana, dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada pemilik motosikal datang meletakkan geran di kedai berkenaan sepanjang tempoh sama.
“Mereka terpaksa memilih berbuat demikian disebabkan terlalu terdesak dan sayang akan motosikal yang dibeli secara tunai sejak enam bulan lalu menerusi duit titik peluh bekerja sebagai operator kilang lebih 10 tahun lalu.
“Kami juga perlu melihat beberapa perkara sebelum mengambil geran tersebut termasuk meneliti keadaan motosikal dan latar belakang pemilik motosikal terbabit sama ada mempunyai rekod tunggakan mahupun sebaliknya.
“Kami mampu membayar wang cagaran geran kepada mereka serendah RM2,000 ke bawah termaktub pada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu seorang lagi pengusaha kedai membaiki motosikal, Hirman Ahmad, 40, pula memberitahu, dianggarkan seramai 60 individu datang ke kedainya untuk menjual semula motosikal terpakai sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tahun lalu.
Namun katanya, dia terpaksa menolak untuk membeli semula motosikal tersebut disebabkan perniagaannya juga terjejas ekoran pelaksanaan PKP sejak Mac tahun lalu.
“Sebelum PKP, saya tiada halangan untuk membeli motosikal terpakai daripada pemiliknya dengan harga yang berpatutan.
“Namun disebabkan keadaan ketika ini, saya terpaksa menolak rayuan mereka yang kebanyakannya sangat memerlukan duit untuk membeli makanan kepada keluarga,” tambahnya.
Sumber : UTUSAN ONLINE
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://darisungaiderhaka.blogspot.com/2021/02/kerana-covid-19-ramai-jual-motor-kerana.html