Kerajaan Nak Rakyat Bayar Lebih Banyak Cukai Dalam Sst Najib
ainulillia Rakyat tetap gembira walaupun nilai cukai tak telus, sindir bekas PM
BANGI– Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjangkakan lebih  banyak kategori barang atau perkhidmatan akan dikenakan cukai oleh  kerajaan Pakatan Harapan (PH). 
Beliau  berkata demikian mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen  hari ini, bahawa kerajaan sedang menjalankan proses penambahbaikan bagi  memantapkan lagi pelaksanaan Cukai Jualan Dan Cukai Perkhidmatan (SST).
“Saya yakin apabila diuruskan dengan baik, pada tahun akan datang, hasil SST akan lebih daripada GST,” kata perdana menteri.
Najib  berkata, kenyataan Ahli Parlimen Langkawi itu membawa makna bahawa PH  mempunyai hasrat untuk meningkatkan lagi kutipan cukai daripada rakyat.
“Pagi tadi,  PM ke-7 memaklumkan kepada Parlimen bahawa kerajaan PH sedang menambah  baik cukai SST supaya hasil SST akan lebih tinggi daripada hasil GST.
“Ini  bermakna kerajaan PH ada hasrat untuk meminda cukai SST supaya lagi  banyak kategori barang atau servis akan dikenakan cukai jualan dan cukai  servis,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, miliknya, hari ini.
Malah, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan yakin ini bukan kali pertama PH melakukan perkara sedemikian.
“Cukai SST  bermula 1 September 2018. Tiba-tiba pada 31 Disember 2018, mereka secara  senyap-senyap umumkan empat lagi kategori akan termasuk dalam cukai SST  (sehingga hari ini Lim Guan Eng tak pernah sebut perkara ini pun)  bermula 1 Mac 2019.
“Akibatnya,  kanak-kanak ke taman tema, mereka yang basuh baju di dobi, mereka yang  pergi kursus atau tuisyen dan mereka yang beli saham dan banyak servis  lain lagi dikenakan cukai,” katanya.
Mengulas  lanjut Najib percaya matlamat kerajaan PH adalah jelas iaitu mereka mahu  rakyat membayar lagi banyak cukai dalam bentuk SST berbanding Cukai  Barang dan Perkhidmatan (GST).
“Ini tak  penting kerana selama nilai cukai dibayar tak nampak dalam resit dan  cukai itu tak telus, rakyat tetap gembira,” sindirnya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/10/kerajaan-nak-rakyat-bayar-lebih-banyak.html