Kepulangan Pmx Disambut Meriah Pelbagai Lapisan Masyarakat
Oleh: Noraini Nordin
ULASAN: Terpancar wajah-wajah ceria
Wanita KEADILAN saat menanti ketibaan PMX daripada lawatan kerja setelah
menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA)
kali ke 78 di New York petang semalam.
Kami berkongsi rasa bangga dan gembira untuk menunggu kepulangan
PMX sebagai tanda menghargai kegigihan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha
keras menjulang nama Malaysia ke persada dunia.
Turut bersama kami Ketua Wanita KEADILAN Pusat YB Fadhlina Sidek
yang telah siap sedia menanti PMX 40 minit sebelum pesawat khas beliau mendarat
di Kompleks Bunga Raya, KLIA kira-kira jam 5 petang semalam.
Fadhlina menyerahkan jambangan bunga kepada ibu reformasi yang
kami kasihi Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail yang turut bersama PMX dalam
lawatan kerja tersebut.
Antara pemimpin kerajaan yang menyambutnya ialah Menteri
Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,
Datuk Seri Tiong King Sing.
Misi mencari pelaburan berjaya
Turut serta menyambut kepulangan Perdana Menteri pemimpin parti,
NGO dan kira-kira 500 rakyat daripada pelbagai lapisan, kaum serta agama
sebagai tanda penghargaan dan bangga dengan misi lawatan beliau yang berjaya
mengharumkan lagi nama negara.
Semasa di Amerika Syarikat, selain menyampaikan ucapan di UNGA,
Anwar juga mengadakan pertemuan dengan beberapa syarikat gergasi negara itu
untuk menarik lebih banyak pelaburan dan perdagangan ke negara ini.
Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat dengan 15 syarikat terkemuka
AS yang tersenarai dalam Fortune 500, termasuk Airbnb, Amazon, Perkhidmatan Web
Amazon, Boeing dan Kimberly-Clark di Kelab Harvard.
Pada acara Invest Malaysia New York yang dihadiri para pelabur
pasaran modal ekuiti dan bon dengan nilai aset di bawah pengurusan mencecah
AS$40 trilion pula, beliau memberi penekanan tentang komitmen kerajaan untuk
memastikan suasana pelaburan yang kondusif buat para pelabur asing.
'Jurujual Islam dan ummah'
Di samping itu, sempena lawatan berkenaan, PM turut dijemput untuk
menyampaikan khutbah Jumaat di Pusat Kebudayaan Islam New York.
Penulis (kanan) mengangkat sepanduk mengimbau
25 tahun gelora perjuangan Anwar Ibrahim
Anwar merupakan pemimpin dunia Islam yang pertama dijemput
menyampaikan khutbah di Pusat Kebudayaan Islam tersebut dan topik yang
disentuhnya ialah tentang perdamaian, keharmonian dan toleransi sesama muslim.
Setelah selesai solat Jumaat, Anwar diminta oleh komuniti Islam
New York menyempurnakan lafaz syahadah seorang saudara baharu, Andrew Vinals
untuk memeluk agama Islam.
Ertinya, dalam lawatan ke New York, selain membawa misi negara
dengan menyuarakan beberapa isu penting di pentas UNGA dan menjadi “jurujual”
untuk menarik pelaburan, Anwar dalam masa yang sama juga menjadi 'jurujual
Islam dan ummah' melalui kemunculannya menyampaikan khutbah dan mengislamkan
seorang saudara baru di bumi Amerika Syarikat.
Selamat kembali ke tanahair PMX.
Kami sangat bangga memiliki Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM
Malaysia.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN Pusat
merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/09/kepulangan-pmx-disambut-meriah-pelbagai.html