Kenapa Lantik Semula Shaik Hussein Dalam Perda Ketika Masih Ada Kes Mahkamah
MALAYSIAKINI
Bekas  pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) Haniff Khatri  Abdulla mempersoalkan pelantikan semula Timbalan Ketua Umno Pulau Pinang  Shaik Hussein Mydin ke dalam lembaga Perda.
Haniff mempertikaikan  pelantikan itu berdasarkan dua tuntutan sivil terhadap Shaik oleh bekas  lembaga Perda semasa era BN atas dua plot tanah yang dikatakan dijual  di bawah nilai pasaran.
Shaik Hussein, yang dilantik sebagai  timbalan ketua Perda dari tahun 2013 hingga 2019, baru-baru ini dilantik  semula sebagai ahli lembaga pengarah Perda.
Sementara bekas  pengerusi Perda dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Shabudin Yahya, yang  berdepan tindakan undang-undang bersama Shaik Hussin, telah dilantik  sebagai pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan  (Felcra).
Malaysiakini telah cuba menghubungi Shaik Hussein untuk mendapatkan komen.
Dalam catatan Facebooknya hari ini, Haniff Khatri menyorot bahawa kedua-dua saman itu masih dibicarakan di mahkamah.
"Sememangnya  ia adalah tanggungjawab dan kuasa serta budi bicara menteri di  Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang terkini iaitu Dr Abdul Latiff  Ahmad untuk membuat lantikan ahli lembaga Perda yang berkaitan.
"Namun,  persoalan yang penting yang perlu dibincangkan di sini adalah bukankah  integriti dan tadbir urus agensi Perda akan dipersoalkan rakyat sebagai  bakal terjejas, dengan pelantikan semula seorang bekas timbalan  pengerusi dan ahli lembaga Perda terdahulu, yang masih menghadapi  tindakan dan tuntutan sisvil yang diambil terhadapnya oleh Perda  sendiri, di atas kausa tindakan antara lain, misfeans dalam jawatan  dan/atau kemungkiran tanggungjawab fidusiari?
"Sebagai bekas  pengerusi Perda, masih menjadi tanggungjawab saya untuk mengutarakan  kemusykilan berhubung pelantikan semula Dr Shaik Hussein Mydin sebagai  Ahli Lembaga Perda kerana ia mencetuskan pelbagai persoalan," katanya.
Haniff  mempersoalkan bagaimana Shaik Hussein dapat menjalankan tugasnya ketika  kedua-dua kes itu masih belum selesai di mahkamah.
"Apakah pula  masa hadapan kedua-dua tindakan mahkamah yang diambil oleh Perda  terhadap mereka yang disaman itu, dan adakah kedua-dua tindakan mahkamah  itu akan dikompromikan, berlawanan dengan kepentingan Perda dan  penduduk luar bandar dan miskin negeri Pulau Pinang?
"Bagaimana  pula dengan moral dan tanggungjawab serta hak pihak pengurusan dan  pegawai serta kakitangan Perda yang telah bertungkus lumus membantu ahli  lembaga terdahulu dalam menyediakan bahan-bahan serta  keterangan-keterangan, yang membantu keputusan oleh lembaga terdahulu  untuk mengambil kedua-dua tindakan mahkamah terbabit, dan adakah pula  kedudukan dan keselamatan pihak pengurusan, pegawai dan kakitangan Perda  berkenaan juga akan dikompromi dan terjejas?" soalnya.
Haniff kemudian mendesak Abdul Latiff untuk mempertimbangkan semula pelantikan Shaik Hussein.
Pada  2016, Laporan Ketua Audit Negara 2015 telah menyebut Perda dan Shabudin  didakwa menjual tanah di bawah harga pasaran, dan menyebabkan kerugian.
Pada  13 dan 14 Februari, Perda mengemukakan dua tuntutan terhadap Shabudin,  Shaik Hussein dan bekas lembaga pengarah atas dua penjualan tanah yang  didakwa dilakukan di bawah nilai pasaran.
Kedua-dua kawasan seluas  9.36 ekar itu berada di Kampung Tok Keramat, Nibong Tebal, bernilai  RM17.7 juta dan 5.8 ekar di Sungai Baong, Jawi, bernilai RM1.9 juta.
Haniff mendakwa kes-kes tersebut melibatkan tuduhan penipuan, penyalahgunaan kuasa, dan kecuaian.
Shabudin  menafikan melakukan sebarang kesalahan dan mempertahankan tindakan itu,  dengan mengatakan bahawa tanah Kampung Tok Keramat dijual dengan harga  murah pada harga RM1.2 juta kerana terletak berhampiran sungai dan  terdedah kepada hakisan tanah.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/05/kenapa-lantik-semula-shaik-hussein.html