Kenapa Google Tidak Akan Hadir Dengan Peranti Mercu Tahun Ini
HTC, Samsung, Motorola, LG, Huawei dan Asus pernah bekerjasama dengan Google untuk hasilkan peranti Nexus. Nexus pada suatu ketika dahulu adalah satu-satunya peranti yang menjalankan sistem operasi Android asli dengan kemaskini pantas dari Google. Pengeluar lain bangunkan peranti mengikut spesifikasi yang Google inginkan dan Google sediakan segala perisian. Nexus hadir dalam pelbagai bentuk, baik telefon pintar, tablet atau juga pemain media. Tahun 2015, peranti Nexus 6P dari Huawei adalah peranti Nexus terakhir. Tahun 2016, Google memperkenalkan telefon pintar pertama hasil buatan mereka sendiri dengan jenama sendiri – Google Pixel.
Sejak tahun 2016 lagi, Google Pixel adalah peranti mercu premium yang menyasarkan iPhone sebagai pesaing. Sehingga hari ini sudah ada empat generasi Pixel dan sembilan model Google Pixel. Pixel, Pixel XL, Pixel 2, Pixel 2 XL, Pixel 3, Pixel 3 XL, peranti kelas pertengahan Pixel pertama Pixel 3a, Pixel 4 dan Pixel 4 XL. Setiap peranti Pixel ini ada fokus utama, iaitu perisian. Google amat kedekut dengan perkakasan, jadi spesifikasi peranti Pixel adalah hambar jika dibandingkan dengan pesaing. Bermula Pixel 2, Google telah mengubah persepsi ramai peminat teknologi terhadap kemampuan kamera. Sebuah peranti yang hanya memnpunyai satu lensa, mampu mengambil gambar mod potret amat cantik berbanding dengan peranti pesaing yang ada lebih dari dua lensa. Google membuktikan yang perisian adalah segalanya dan lebih penting dari perkakasan.
Dukacitanya, jualan Google Pixel sejak Pixel 3 mula menjunam. Ini adalah kerana sehingga hari ini jualan Google Pixel terhad di beberapa negara sahaja. Tetapi itu bukan sebab utama. Sebab utama adalah, Google Pixel menghadapai masalah yang sama seperti zaman Nexus dahulu. Banyak masalah perisian dan perkakasan. Jualan Pixel 3 adalah yang paling teruk. Banyak masalah yang tidak dapat dibaiki atau lambat dapat dibaiki. Pixel 2 mengahadapi masalah skrin, Pixel 2016 menghadapi masalah bootloop, dan ada juga masalah bateri dilaporkan.
Tahun 2019, pertama kali Google kembali hadir dengan peranti kelas pertengahan sejak Nexus 5X. Google memperkenalkan Pixel 3a dan Pixel 3a XL. Ia adalah peranti yang telah menyelamatkan kutipan jualan Google Pixel. Di Amerika Syarikat, Pixel 3a adalah peranti yang paling berbaloi dimiliki kerana perisian yang ditawarkan dan kemampuan kamera yang hebat. Harga jualan di sana juga adalah rendah dan ramai orang mudah mendapatkannya. Berbeza dengan negara kita, di Malaysia pelbagai jenama melancarkan pelbagai model dan variasi peranti kelas pertengahan. Di sana pilihan adalah terhad jadi, Pixel 3a adalah pilihan bijak. Kemudian hujung tahun 2019, Pixel 4 dan Pixel 4 XL diperkenalkan. Ia memfokuskan kepada perkakasan baharu, seperti sensor radar Soli dan sistem keselamatan 100% berasaskan wajah.
Seperti Pixel 3 dan lain-lain, harga jualan adalah mahal dan masalah tiba. Perkara ini membuatkan Google sedar akan kesilapan mereka dan perlu mencari jalan lain. Setakat ini, tiada laporan mengenai jualan Pixel 4. Mungkin Google malu untuk kongsi ke dunia. Di Malaysia, permintaan set import Pixel 4 juga amat rendah jika dibanding pada zaman Pixel 2. Selepas beberapa bulan, muncul imej tertiris dan informasi mengenai Pixel 4a. Ia menggunakan rekaan serba baharu di hadapan dan rekaan belakang yang sedikit hodoh. Tetapi itulah Google, berani dengan rekaan yang tidak masuk akal. Pixel 4a mungkin akan menyelamatkan jualan Pixel 4 dan menaikkan nama Pixel kembali. Di sini bermulalah satu anggapan, yang Google sudah mengalah. Google tidak akan hadir dengan peranti mercu lagi.
bonito/sargo = "photo_pixel_2019_midrange_config"
coral/flame = "photo_pixel_2019_config"
needlefish = "photo_pixel_2019_config"
sunfish = "photo_pixel_2020_midrange_config"
bramble/redfin = "photo_pixel_2020_config"
Take that for what you will.
— Cee Stark (@Cstark_27) March 11, 2020
Beberapa minggu lepas, semasa peranti Pixel 4a tertiris. Individu yang memiliki peranti tersebut telah kongsi APK kamera kepada beberapa media. Dalam kod APK tersebut terdapat barisan kod memberi petanda mengenai peranti-peranti Pixel.
bonito/sargo = “photo_pixel_2019_midrange_config”
coral/flame = “photo_pixel_2019_config”
needlefish = “photo_pixel_2019_config”
sunfish = “photo_pixel_2020_midrange_config”
bramble/redfin = “photo_pixel_2020_config”
Tidak faham? Akan saya jelaskan. Di hadapan setiap barisan kod adalah kod nama peranti, bonito/sargo adalah Pixel 3a dan 3a XL, coral/flame adalah Pixel 4 dan Pixel 4 XL, needlefish adalah kod nama produk yang peranti hanya diuji dan tidak dilancarkan, sunfish adalah kod nama untuk Pixel 4a dan akhir sekali adalah bramble/redfin jelas sekali adalah Pixel 5 dan Pixel 5 XL. Setiap kod “photo_pixel_[tahun]_[midrange/atau tiada]_config” memberi petanda mengenai jenis peranti. Berdasarkan maklumat tertiris, Pixel 4a tidak akan ada variasi XL dan hanya akan ada satu peranti sahaja. Kod nama ini membuktikan hal yang sedemikian, hanya sunfish sahaja. Tiada nama lain.
Mari kita lihat kod nama bramble dan redfin. Dalam artikel bulan Januari yang lalu, sudah saya laporkan mengenai peranti-peranti Pixel. sunfish adalah peranti Snapdragon 730, yang mana kita sudah tahu itu adalah Pixel 4a. Kemudian ada kod bramble dan redfin yang disenarikan untuk dijana dengan Snapdragon 765. Iaitu dua peranti Pixel dengan cip kelas pertengahan dan sokongan 5G. Ikut aturan setiap kod nama, ini membuktikan Pixel 5 dan Pixel 5 XL adalah sebuah peranti kelas pertengahan dan bukan lagi peranti mercu.
Persoalannya kenapa?Harga kos peranti mercu sekarang adalah tinggi. Lihat S20 Ultra yang kos sahaja sudah melebihi RM2000. Menurut analisis yang dilakukan oleh Tech Insights, kos komponen menghasilkan peranti ini ialah $528 (~RM 2209)sebuah. Komponen paling mahal iala modul-modul kamera berharga $107.5 (~RM 450) diikuti oleh $81 (~RM 339) untuk pemproses dan diikuti pula oleh $67 (~RM 280) untuk skrin. Kebiasaannya komponen paling mahal ialah skrin seperti yang dilihat pada anggaran kos iPhone XS Max sebelum ini.
Cip pemproses adalah kedua mahal. Ini kerana Qualcomm mewajibkan pengeluar membeli sekali modem 5G mereka. Jadi, setiap peranti yang dijana Snapdragon 865 dan Snapdragon 765 secara automatik menyokong 5G. Kos paling mahal adalah modul kamera, kita tahu yang Google tidak akan menggunakan modul kamera yang besar, banyak lensa seperti pesaing – jadi mereka akan jimat di situ. Sebaliknya akan menggantikan kepada kos seperti cip radar dan Soli. Dengan kos yang tinggi dan sejarah jualan Pixel yang mengecewakan, Google pasti sedar yang mereka tidak mampu bersaing dengan pesaing-pesaing lain. Jadi, langkah mudah untuk terus kekal hidup dalam arena telefon pintar adalah hadir dengan peranti kelas pertengahan yang harga tidak masuk akal dan masih kekal berkuasa.
Jujur dari saya sendiri, saya tidak kisah mengenai spesifikasi peranti Pixel. Kekuatan Google adalah pada perisian. Jadi tidak kira cip apa yang digunakan, ia kurang berprestasi dalam bermain permu. Ia hanya sesuai untuk tugasan harian dan kamera. Jika menggunakan cip kelas mercu tetapi prestasi kelas pertengahan, kenapa tidak terus sahaja gunakan cip peranti kelas pertengahan?
Bukan Google sahaja sedar akan hal ini. Baru-baru ini, LG juga dilaporkan tidak akan mempunyai peranti mercu untuk LG G9. LG G9 dikatakan turut akan menggunakan cip pemproses Snapdragon 765. Ini kerana ingin berjimat, seperti yang saya katakan tadi cip kelas mercu Snapdragon diwajibkan dengan model 5G X55. Kos amat tinggi. Tetapi ini tidak bermakna, peranti LG akan datang tidak akan ada ciri-ciri sebuah peranti mercu. Fungsi, ciri dan rekaan dikatakan akan kekal premium dan kelihatan seperti peranti mercu. Tetapi dalaman adalah peranti kelas pertengahan.
Jadi apa kata anda mengenai Pixel 5 adalah sebuah peranti kelas pertengahan. Jika spekulasi ini benar, yang mana kami yakin ianya benar. Adakah anda akan membeli Pixel 5 tanpa berfikir dua kali? Atau perlu lihat terlebih dahulu harga jualan? Pixel 4a pasti akan dijual lebih murah dari Pixel 5. Pixel 5 akan menjadi peranti kelas pertengahan premium Google dan 4a adalah kelas pertengahan biasa. Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://penlawak.blogspot.com/2020/03/kenapa-google-tidak-akan-hadir-dengan.html