Kenapa Buat Bukan Bukan Belakang Aku Tular Video Lelaki Rempuh Teman Wanita
Hasimi Muhamad, Astro Awani
Rakaman video berdurasi 1 minit 19 saat itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dan sehingga kini telah ditonton lebih 500 ribu kali. - Gambar dari rakaman video
SEBUAH rakaman video memaparkan kejadian seorang lelaki bertindak memukul seorang wanita dipercayai teman wanitanya, tular di laman sosial Twitter, sejak Jumaat.
Rakaman video berdurasi 1 minit 19 saat itu dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial dan sehingga kini telah ditonton lebih 500,000 kali.
Berdasarkan rakaman, lelaki terbabit pada mulanya kedengaran memarahi teman wanitanya sebelum dilihat ‘naik hantu’ lalu bertindak melanggar wanita itu dengan motosikalnya.
Mengulas lanjut mengenai kejadian tersebut, Muhamad Khalil Jamian, 30 tahun, yang merakam dan menularkan insiden itu berkata, kejadian berlaku di kawasan sebuah kondominium di Bangsar South kira-kira pukul 9 malam, pada Jumaat.
Khalil berkata beliau tidak menyangka insiden itu yang pada mulanya dianggap ‘menggelikan hati’ bertukar tegang.
Jelas Khalil, lelaki terbabit pada awalnya langsung tidak meninggikan suara sehinggalah sesuatu berlaku yang menyebabkan dia bengang lalu memukul mangsa.
“Ada pertengkaran sikit-sikit, tetapi saya rasa mungkin wanita itu ada melakukan sesuatu.
“Saya ada dengar dia marah, ‘Shahirah, kenapa you buat benda bukan-bukan belakang aku?’. Lelaki terbabit pada awalnya menangis dan kemudian dia tinggalkan wanita itu sebab dia enggan naik motosikal.
“Lebih kurang satu minit kemudian, lelaki terbabit berpatah balik dan cuba bersemuka. Ada pertengkaran sikit sehinggalah dia memusing motosikalnya lalu melanggar wanita itu,” kata Khalil ketika dihubungi Astro AWANI, pada Sabtu.
Melihat keadaan semakin tegang, Khalil bertindak menjerit dari tingkat atas rumahnya dengan harapan lelaki terbabit akan menghentikan serangan ke atas mangsa.
Dakwa Khalil, selain dilanggar, mangsa turut ditampar, ditumbuk dan dipukul di bahagian kepala menggunakan beg tangan.
Katanya, insiden itu berlaku begitu pantas dan beliau tidak sempat berbuat apa-apa.
“Serangan itu berlaku dalam masa kurang dua minit sebelum pasangan itu beredar. Kalau saya turun mungkin mereka sudah tidak berada di situ.
“Tambahan pula, kawasan rumah saya dipagari dengan dinding konkrit, dan saya perlu turun dan menaiki kereta terlebih dahulu untuk keluar dari kawasan rumah.
“Kalau saya hubungi polis, mungkin mereka tidak sempat tiba pada waktu yang tepat,” katanya sambil mengakui bahawa ia insiden pertama seumpanya yang berlaku di situ.
Khalil berkata sekiranya kejadian serangan itu berlarutan dalam jangka masa yang panjang, sudah tentu beliau akan pergi melindungi wanita itu.
Namun, beliau secara peribadi berpendapat lelaki terbabit tidak berniat untuk menyakiti mangsa kerana daripada apa yang didengarinya, pemuda terbabit begitu mengambil berat terhadap kekasihnya.
“Saya ada dengar perbualan (lelaki terbabit), ‘aku ni bagi makan kat kau hari-hari, kenapa kau sampai hati buat aku macam ni?' Jadi, saya rasa dia masih ada sifat caring.
"Kalau wanita itu tidak melakukan apa-apa (kesalahan), wanita itu pun tidak akan duduk macam tu (berdiam diri), dia akan lawan. Mungkin ada perkara yang kita tidak tahu. Tak boleh buat andaian,” katanya.
Khalil berkata beliau akan membuat laporan polis di balai polis dalam masa terdekat berhubung kejadian tersebut.
Susulan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak cepat membuat andaian dan menjadi masyarakat yang lebih prihatin dengan menghulurkan bantuan sekiranya melihat insiden sedemikian.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/kenapa-buat-bukan-bukan-belakang-aku.html