Kempen Anti Sawit Kerajaan Malaysia Akan Saman Eu Kata Menteri

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dengan  kerjasama Jabatan Peguam Negara akan memfailkan tindakan undang-undang  terhadap Kesatuan Eropah (EU) membabitkan kempen anti-minyak sawit oleh  blok berkenaan.
Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali  berkata tindakan itu diambil menerusi Mekanisme Penyelesaian Pertikaian  (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).
Dalam satu  kenyataan semalam, beliau berkata tindakan terbabit juga berdasarkan  asas dan justifikasi serta selaras dengan prinsip amalan perdagangan  yang telah digariskan oleh WTO.
"Polisi  yang dilaksanakan oleh EU dalam 'Delegated Regulation' di bawah Arahan  Tenaga Boleh Diperbaharui EU II (EU RED II) yang telah mewujudkan  sekatan yang tidak sewajarnya ke atas usaha kemampanan dan kelestarian  yang telah dan sedang dilaksanakan oleh Malaysia, seterusnya menyekat  amalan perdagangan bebas," katanya.
Menurut Mohd Khairuddin,  tindakan diskriminasi oleh EU tersebut akan menyebabkan lebih tiga juta  rakyat Malaysia yang terlibat dalam rantaian industri sawit negara  menerima impak negatif termasuk lebih setengah juta pekebun kecil sawit.
EU  telah meluluskan EU RED II pada Disember 2018 dan seterusnya 'Delegated  Regulation' pada Mac 2019 yang merupakan peraturan pelengkap di bawah  EU RED II.
Ia antara lainnya menerangkan mengenai kriteria atau  metodologi menentukan sama ada sumber dalam pengeluaran biobahan api  menyebabkan kadar perubahan guna tana secara tidak langsung (ILUC) yang  tinggi atau rendah serta kesannya terhadap pelepasan gas rumah hijau.

Mohd  Khairuddin berkata 'Delegated Regulation' berkenaan juga dilihat  mempunyai kekurangan dari segi ketelusan serta kredibiliti saintifik.
"Terdapat  banyak andaian yang dibuat memberi gambaran tidak tepat terhadap amalan  kemampanan dan kelestarian industri sawit negara," katanya.
Malah,  katanya, ia juga dilihat berat sebelah apabila hanya minyak sawit  dikategorikan sebagai mempunyai kadar risiko ILUC tinggi dalam kalangan  minyak sayuran bagi sumber biobahan api.
"Berdasarkan 'Delegated  Regulation' tersebut, minyak sawit telah dikategorikan sebagai mempunyai  kadar ILUC yang tinggi, sekali gus menyebabkan jumlah eksport minyak  sawit negara ke EU dijangka akan terkesan.
"Ini memandangkan  biobahan api dengan kadar ILUC tinggi tidak diambil kira dalam pengiraan  sasaran tenaga boleh diperbaharui," katanya.
Dalam perkembangan  lain, Mohd Khairuddin berkata Malaysia akan turut terlibat sebagai pihak  ketiga dalam kes yang telah difailkan oleh Indonesia. 
"Penglibatan  Malaysia ini sebagai tanda sokongan dan solidariti serta komitmen  Malaysia sebagai negara pengeluar sawit untuk bersama Indonesia dalam  menangani isu kempen anti-minyak sawit," katanya.
Beliau turut  menegaskan bahawa Malaysia akan terus komited mempertahankan kepentingan  industri sawit yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan  sosioekonomi negara.
- Bernama
MR :  Tindakan baik, tapi jangan sekerat jalan seperti PH dalam isu Batu Putih
 Untuk dapatkan berita daripada kami secara terus,
sila subscribe via telegram  https://t.me/mindarakyat dan untuk forum sila ke https://t.me/mindarakyatt


  ............oo000oo...........
MINDARAKYAT
http://mindarakyat.blogspot.com/
[email protected] 
   
  


 
 ©1439 Hakcipta Tak Terpelihara
Anda digalakkan untuk mengambil apa-apa bahan di dalam laman ini  untuk tujuan penyebaran, tanpa perlu memberitahu kepada pihak kami.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://mindarakyat.blogspot.com/2020/07/kempen-anti-sawit-kerajaan-malaysia.html