Kerajaan Akan Laksana 5 Program Berskala Besar Atasi Miskin Bandar Hilang Pekerjaan Kata Annuar
Bernama

Menteri  Wilayah Persekutuan Annuar Musa meninjau keadaan sambil menikmati 
buah  durian bersama-sama 44 gelandangan dari Pusat Transit Gelandangan Kuala  
Lumpur yang sedang menjalani rawatan di Drugs Intervention Community  Malaysia 
di Sungai Soi, Kuantan, hari ini. (Gambar Bernama)   KUANTAN: Kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan akan  melaksanakan 5 program berskala besar bagi membantu menyelesaikan  masalah miskin bandar dan kehilangan kerja, kata Menterinya Annuar Musa.
 Beliau berkata pengumuman program itu yang dijadualkan dibuat secara  berperingkat mulai minggu hadapan menunjukkan kerajaan mendengar dan  prihatin kepada permasalahan rakyat, khususnya golongan miskin bandar.
 Selain itu, Annuar berkata, beliau juga akan bertemu dengan pengusaha  dan pemilik firma atau syarikat kontraktor besar pada Selasa ini untuk  berbincang mengenai peluang pekerjaan yang boleh ditawarkan oleh mereka  kepada rakyat tempatan di Wilayah Persekutuan.
 “Sebelum ini kita hanya meluluskan pelan dan mereka yang  menentukan siapa yang hendak diambil bekerja, termasuk pekerja asing.  Tetapi dalam keadaan pasca wabak Covid-19, kita lihat ramai yang hilang  kerja atau jatuh miskin kerana tidak dapat meneruskan perniagaan seperti  biasa.
“Apa yang kita cuba lakukan ialah membantu mereka supaya syarikat ini  secara sukarela menyenaraikan jumlah pekerja yang mereka perlukan dan  jika boleh, kita minta keutamaan diberikan kepada warga tempatan yang  benar-benar memerlukan kerja,” katanya.
 Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau keadaan 44  gelandangan dari Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur yang sedang  menjalani rawatan di Drugs Intervention Community Malaysia di Sungai Soi  di sini, hari ini.
 Beliau juga optimis pertemuan itu dapat menawarkan lebih 5,000  peluang pekerjaan. Selain sektor pembinaan, kementeriannya juga meninjau  peluang untuk mereka yang mencari kerja melibatkan diri dalam bidang  perniagaan atau penjajaan.
 “Kita akan cuba permudahkan untuk mereka yang ingin bekerja atau  berniaga kerana sebelum ini, banyak peluang berniaga diambil warga asing  sehinggakan ada antara mereka menjadi kaya-raya di sini.
“Seharusnya, peluang itu diberikan kepada rakyat tempatan,” katanya.
 Mengulas mengenai lawatan itu, Annuar berkata, semua  gelandangan terlibat secara sukarela menawarkan diri untuk menjalani  rawatan mulai pertengahan bulan ini untuk tempoh sehingga 3 bulan dengan  kos dibiayai kementeriannya.
 Proses pemulihan itu, menurut Annuar perlu dilakukan sebelum mereka  boleh mengubah kehidupan, sama ada dengan mencari kerja atau mengikuti  kelas kemahiran sebagai persediaan untuk kembali kepada masyarakat.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/kerajaan-akan-laksana-5-program.html