Kemeriahan Malam Di Jalan Raja Alang Kampung Baru Kuala Lumpur
Catatan kisah hari Jumaat malam Sabtu lalu
Saya dan encik suami ke Jalan Raja Alang, Kg. Baru untuk makan malam dan melihat kehidupan malam di sini. Pada bulan Mac lalu kami pernah mengunjungi bazar Ramadan di jalan ini. Tapi tak perasan kedai apa yang ada di kanan kiri jalan sebab masa tu jalanan dipenuhi dengan deretan gerai jualan bazar Ramadan
Jalan Raja Alang ni terletak betul-betul di sebelah Tamu Hotel. Keluar saja dari pintu lobi hotel, terus menuju ke kiri. Kalau nak ke Jalan Raja Muda Musa (lokasi syurga makanan), ambil ke kanan dan perlu jalan kaki jauh sikit
Ini foto di kawasan simpang empat berhampiran hotel dan laluan masuk ke Jalan Raja Alang. Eh, ada kedai Azhar Food! Azhar Food ni pemborong pelbagai jenis kerepek yang terkenal di Rengit, Johor. Terkenang kalau dulu hampir setiap kali menjelang hari raya kami akan ke Azhar Food di Rengit untuk membeli pelbagai kerepek dan kuih raya sebagai hidangan di rumah mak-mak kami dan rumah kami sendiri. Sekarang ni dah bertahun saya tak menjejak kaki ke sana. Nak membeli di sini, tapi tak beroperasi pula
Beginilah suasana malam di Jalan Raja Alang, meriah dengan kedai makan dan gerai jualan. Jalanan di sini jadi sempit dengan meja-meja makan yang diletakkan di bahu jalan. Juga sesak dengan kenderaan yang tak putus-putus
Tamu Hotel, Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan menara Masjid Jamek Kampung Baru, sudut pandang dari Jalan Raja Alang
Sekarang ni kan musim durian, jadi sana sini ada menjual durian. Besar saiz buah durian yang dijual di sini. Tapi semuanya tak pamerkan harga, cuma ada tag nama varieti durian je
Kami berjalan ke belakang lagi, dari jauh kami nampak deretan susunan gerai seperti jualan pasar malam. Meriah dengan lampu cerah dan orang ramai. Tapi kami tak teruskan langkah kaki ke situ. Kami memilih ke lorong kanan, jalanan yang kurang meriah dengan cahaya lampu tetapi sesak dengan kenderaan dan orang ramai. Sempat saya melihat papan tanda nama jalan - Jalan Raja Bot
Apa yang menarik di Jalan Raja Bot, di sebelah bahu jalan terdapat deretan lori kecil bersusun dengan barang jualan di atas belakang lori masing-masing. Antara yang saya nampak - ikatan besar serai, petai dan balang besar berisi rebung. Encik suami kata, sini tempat jualan borong. Saya tak merakam sebarang foto di sini kerana terlampau sesak, tak sesuai
Perut semakin lapar. Kami berpatah balik ke Jalan Raja Alang untuk cari makan pula
Berbeza dengan Jalan Raja Muda Musa, di Jalan Raja Alang ini terdapat begitu banyak kedai makan dan gerai makanan Indonesia. Keliru juga nak masuk yang mana satu. Kami akhirnya memilih Kedai Makan Upik - Khas Masakan Minang.
Sate Padang menjadi pilihan makan malam kami. Orangnya cuma berdua, tapi beli tiga set! Kami ambil tiga jenis Sate Padang - ayam, daging dan perut. Kali terakhir kami makan berat pada waktu tengahari tadi, itu yang sekarang kelaparan sangat jadi tamak membeli 😄
Setiap set Sate Padang ada lima cucuk sate dan potongan nasi impit. Dicurah kuah pekat dan ditabur bawang goreng rangup. Harganya RM6 / set, sama saja harga ayam/daging/perut. Cara persembahan hidangan dan kuahnya memang berbeza berbanding sate yang biasa kita makan
Ini merupakan kali pertama saya mencuba Sate Padang di Malaysia. Sebelum ini saya pernah makan Sate Padang sewaktu berkunjung ke Pekanbaru dan Medan di Indonesia. Setakat ini, rasa Sate Padang di Restoran Bundo Kanduang, Pekanbaru tetap paling sedap menurut cita rasa saya. Sate Padang di Kedai Makan Upik ni pun sedap juga - lembut isi ayam dan dagingnya (kecuali sate perut tak lembut), kuahnya juga tak terlalu pedas. Habis kami makan semuanya, terlebih kenyang pulak 😅
Minuman pilihan kami - jus alpukat (avokado) dan jus oren ‘o’ (tanpa gula). Setiap satu berharga RM5
Selesai makan, kami kembali ke bilik penginapan di Tamu Hotel. Mata mengantuk dan badan pun letih setelah seharian ke sana sini.
Begitulah suasana kemeriahan malam di Jalan Raja Alang. Kalau menginap di Tamu Hotel tapi malas nak berjalan cari makan ke Jalan Raja Muda Musa, bolehlah ke Jalan Raja Alang. Cuma di sebelah hotel, dekat dan lebih mudah. Terdapat juga kedai 7-Eleven di sini, mudahlah kalau kita ada keperluan tertentu
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2023/06/kemeriahan-malam-di-jalan-raja-alang.html