Keluarga Sihat Tonggak Warga Emas Sejahtera
Dr Aniza (kanan) sedang memeriksa seorang warga emas di Program Kesejahteraan Warga Emas Bersama Komuniti Terengganu, semalam.
Oleh : Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 13 Oktober -
Keluarga yang sihat merupakan tunggak penting dalam melahirkan individu dan komuniti sejahtera termasuk warga emas untuk memastikan mereka menjalani kehidupan lebih produktif dan sejahtera.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pembangunan), Fakulti Perubatan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Madya Dr. Aniza Abdul Aziz berkata, apabila warga emas mendapat sokongan dan perhatian daripada keluarga dalam aspek penjagaan maka ia menyumbang kepada kesihatan fizikal dan mental mereka.
"Daripada dapatan kita, soalan yang dikemukakan siapa menjaga warga emas. Alhamdulillah, mereka dijaga anak-anak dan ia satu dapatan yang baik dan dilihat memberi sesuatu yang baik kepada proses penuaan yang sedang berlaku," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh wakil Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Program Kesejahteraan Warga Emas Bersama Komuniti Terengganu di Kampung Masjid Haji Kadir, Jalan Pasir Panjang, di sini semalam.
Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Penyelidik Skim Geran Penyelidikan Fundamental (FRGS) , Fakulti Perubatan, UNIsZA dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Pejabat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK), serta Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), bermula sejak seawal subuh dan berakhir tengahari mendapat sambutan yang baik daripada warga emas setempat.
Tambah Dr Aniza, program ini adalah program yang pertama dalam proses mendapatkan data untuk menilai status kesejahteraan warga emas setelah diadakan ‘pilot projek’ di Gong Tok Nasek dan akan diikuti dengan tujuh daerah lain sehingga hujung tahun ini.
Katanya, kajian ini bertujuan menilai status kesihatan warga emas dan mengenalpasti faktor-faktor penentu penuaan sihat di kalangan warga emas di Terengganu Kajian ini penyelidikan bermatlamat untuk membina indeks ramalan penuaan sihat (HAPI) bagi warga emas.
"Peserta juga akan dinilai dari segi kognitif (ingatan dan pemikiran), ststus psikologi/emosi, social, fizikal (kekuatan genggaman, kelajuan berjalan), pemakanan serta status kawalan penyakit (tekanan darah dan paras gula).
"Untuk mencapai tahap emosi dan mental yang baik warga emas perlu mendapat sokongan yang sangat baik daripada ahli keluarga, saudara-mara, rakan sebaya, penduduk setempat dan jiran-jiran, serta mengamalkan pemakanan yang sihat dan menjalankan aktiviti fizikal serta mendapatkan rawatan secara berkala," jelasnya.
Sumber: teganukita.net
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.terengganu11.com/2019/10/keluarga-sihat-tonggak-warga-emas.html