Keluarga Keutamaan Syafiq Kyle
"Syafiq Kyle!" Demikian jeritan dan teriakkan penduduk Kuala Pilah, Negeri Sembilan, khususnya yang menunggang motosikal sewaktu menelusuri jalan besar berhadapan rumah pelakon itu sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Perkara hampir serupa mungkin sudah biasa dialami kebanyakan bintang ternama lain ketika pulang berhari raya.
Bagi Syafiq pula, sensasi dikenali seluruh ahli masyarakat dalam kampungnya mula dirasai sejak drama rantaian Nur mencipta kegilaan luar biasa selepas ditayangkan sepanjang bulan Ramadan tahun lalu.
Begitulah antara impak besar yang berbekas dalam diri banyak orang sejak pemilik nama lengkap Mohd. Syafiq Shamim Abd. Razak itu cemerlang membawakan watak protagonis bernama Ustaz Adam.
“Saya masih ingat lagi ketika pulang ke kampung tahun lalu, ramai penunggang motosikal menjerit memanggil nama saya ketika melintas di depan rumah. Jadi, tetamu yang hadir juga bertambah berbanding daripada kebiasaan.
“Agak terkejut juga pada waktu itu. Tetapi, apabila difikirkan, itu merupakan perkara biasa. Lebih-lebih lagi apabila sanak-saudara memuat naik lokasi rumah saya di kampung dalam laman sosial,” jelas Syafiq tersenyum mengenangkan kembali momen manis tersebut.
Naib juara Hero Remaja 2011/2012 tidak kisah dikunjungi peminat ketika berada di kampung halaman. Cuma, apa yang dirisaukan adalah berhubung juadah makanan yang disediakan sama ada mencukupi atau pun tidak.
“Kalau mahu datang berjumpa, saya tidak kisah sangat. Cuma tidak berapa molek kerana kami tidak menyediakan makanan yang mencukupi.
“Maklumlah, makanan yang tersedia untuk keluarga sahaja. Tetapi tetamu yang datang bertandang terlalu ramai,” jelasnya.
Ayah
Mengenai perancangan hari rayanya pada tahun ini, pelakon filem Gol & Gincu Vol. 2 itu mungkin akan menyambut kedatangan 1 Syawal di Kuala Lumpur (KL) terlebih dahulu sebelum pulang sebentar ke Kuala Pilah.
“Melihat keadaan ayah yang kurang sihat dan memikirkan keadaan sesak di rumah di Negeri Sembilan, saya berpendapat lebih baik sambut hari raya di KL sebelum pulang ke kampung sekitar tengah hari.
“Sebelum malam, kami boleh pulang semula ke KL,” tutur Syafiq yang lebih kerap menziarahi rumah saudara-maranya yang kebanyakan terletak di ibu kota.
Terlanjur berbicara mengenai keadaan ayahnya, Abd. Razak Husin yang diserang strok pada September tahun lalu, Syafiq menjelaskan, orang tuanya itu berada dalam keadaan stabil.
Bagaimanapun, ayahnya memerlukan dorongan yang kuat untuk terus melakukan aktiviti fisioterapi supaya anggota badan mampu digerakkan semula.
“Menurut doktor, ayah tidak mungkin pulih sepenuhnya. Tetapi, dia mampu untuk bergerak dan melakukan aktiviti normal seperti biasa.
“Jadi, saya dan keluarga tidak mahu terus memanjakan ayah dan berusaha untuk membantunya bergerak ketika melakukan rutin harian,” katanya yang menghabiskan banyak masa bersama keluarga sepanjang bulan puasa.
Watak
Seperti sudah menjadi jenama dalam dirinya, watak Ustaz Adam begitu melekat dalam diri Syafiq Kyle.
Tidak kira peringkat usia, seluruh rakyat Malaysia yang mengikuti drama Nur dan Nur 2 pasti mengenali keperibadian dan kemurnian hati karakter yang dijayakan oleh lelaki berusia 29 tahun itu.
Sebagai pelakon, Syafiq berasa terharu dan menerima impak positif yang dicetuskan oleh watak tersebut dengan hati terbuka.
Cuma, apa yang dirisaukan adalah asimilasi watak berkenaan dengan jalan cerita Nur pada masa akan datang, jika naskhah tersebut dikembangkan untuk kali ketiga.
“Saya bukan tidak terbuka jika ditawarkan untuk terlibat dalam Nur 3 atau sebarang cadangan penerbitan Nur dalam format lain.
“Cuma, saya mahu kesinambungan Nur bersebab. Saya tidak mahu kesinambungan tersebut berlaku sekadar untuk menyambung cerita,” ujar Syafiq.
Dia sebenarnya lebih selesa, jika penerbit membikin naskhah lain berbanding terus menerbitkan kesinambungan Nur.
“Pada pendapat saya, penerbit mampu menghasilkan drama lain dengan konsep yang ada pada Nur. Saya jangkakan, hasilnya nanti akan menjadi lebih hebat,” ujar Syafiq lagi.
Ditanya adakah dia pernah menerima maklum balas secara langsung terhadap lakonannya sebagai Ustaz Adam, ini jawapan Syafiq.
“Ada dua insiden yang saya lalui berkaitan dengan drama Nur dan Ustaz Adam. Pertama, ada seorang pemandu Grab yang berkahwin dua, mengakui salah seorang isterinya berubah ke arah kebaikan selepas menonton Nur.
“Selain itu, saya juga pernah ditegur oleh seorang lelaki dalam sebuah lif. Kata lelaki itu, dia tidak suka melihat penerbit menggunakan agama untuk dijadikan drama.
“Pertama kali berdepan respons sebegitu, saya terima komen-komen mereka sebaik-baiknya,” kata Syafiq sambil tersenyum.
Bercerita tentang perancangan selepas raya, Syafiq bakal memasuki set penggambaran sebuah filem baharu terbitan Astro Shaw.
Bergenre suspen seram, Syafiq menyifatkan naskhah tersebut sebagai suatu kelainan berbanding dua buah filem yang dijayakan sebelum ini.
“Selepas membaca skrip awal, saya dapat rasakan naskhah ini lain daripada yang lain. Segalanya masih dalam peringkat awal, cuma apa yang boleh saya katakan, filem ini persis seperti filem-filem Korea dan Hindustan,” ujar Syafiq menutup perbualan.
Populariti Syafiq Kyle tular satu kampung disebabkan drama bersiri fenomena, Nur.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/06/keluarga-keutamaan-syafiq-kyle.html