Keluar Ph Kit Siang Cuma Gertak Saja Kata Mp Pas
MALAYSIAKINI       
Amaran Lim Kit Siang bahawa DAP tidak akan teragak-agak untuk keluar  daripada Pakatan Harapan (PH) jika objektif Malaysia Baru tidak tercapai  hanya gertakan sahaja, kata Anggota Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli  Shaari.
"Pada saya, ia hanyalah gertak sahaja yang mustahil sama sekali dilakukan oleh DAP.
"Jika disebut soal prinsip, DAP sudah pun menggadaikan prinsip dalam isu lompat parti," katanya dalam kenyataan media.
Semalam Malaysiakini melaporkan kenyataan Lim bahawa DAP akan keluar daripada kerajaan PH jika objektif Malaysia Baru diabaikan.
Lim berkata DAP tidak akan sesekali menjadi “lembik” seperti pemimpin MCA.
“Pemimpin-pemimpin  DAP dalam kerajaan akan memainkan peranan penting untuk membina  Malaysia Baru dan menyelamatkannya daripada menjadi demokrasi memalukan,  kakistokrasi, negara gagal dan kleptokrasi global,” kata Lim.
Kenyataan  Lim itu dibuat kira-kira seminggu selepas sebahagian anggota parlimen  Umno bertindak keluar parti dan memberi sokongan kepada perdana menteri,  Dr Mahathir Mohamad.
Berjuang puluhan tahun tapi U-turn
Ahmad  berkata, penasihat DAP itu sendiri pernah mendesak penggubalan  undang-undang anti lompat parti dengan mengemukakan usul di Dewan Rakyat  pada tahun 1976.
Katanya,  beberapa pemimpin mereka termasuk anggota parlimen Bukit Gelugor,  Ramkarpal Singh dan pengerusi DAP Tan Kok Wai juga menggesa kerajaan  membuat pendirian jelas mengenai perbuatan melompat parti.
Malah  katanya, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) juga menyatakan rasa tidak  bersetuju dengan tindakan keluar parti selepas pilihan raya umum kerana  menyifatkan ia bertentangan prinsip parti itu.
"Namun, secara  tiba-tiba, Lim Kit Siang sendiri pada 15 Disember lepas menyatakan  bahawa ahli-ahli Parlimen Umno boleh menyertai Pakatan Harapan dengan  syarat 'terlebih dahulu bertaubat'.
"Kesimpulannya, jika dalam isu  lompat parti yang mereka perjuangkan berpuluh-puluh tahun lamanya pun  boleh u-turn terus bila melihat kebanjiran penyertaan ke parti Bersatu,  apalah sangatnya dengan prinsip Malaysia Baru?".
"Kesimpulannya, Lim Kit Siang hanya cakap besar," katanya. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2018/12/keluar-ph-kit-siang-cuma-gertak-saja.html