Kelebihan Di Sebalik Bacaan Doa Selepas Azan
Semenjak kecil kita diajar untuk membaca doa selepas azan. Setiap kali masuk waktu solat (Asar dan Maghrib terutamanya), televisyen akan menyiarkan alunan azan yang mendayu-dayu, diikuti bacaan doa selepas azan. Saya akan tekun mendengar. Lama-kelamaan, tanpa sedar, doa tersebut melekat.
Namun mengapa kita disuruh untuk membaca doa selepas Azan? Apakah manfaat yang terkandung di sebalik doa tersebut?
Jabir bin ‘Abdillah RA telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ، حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Barang siapa yang mendengar azan dan berdoa – Ya Allah, Wahai Tuhan yang telah mensyariatkan seruan azan dan sembahyang yang akan didirikan. Kurniakanlah kedudukan yang tinggi dan terpuji yang engkau telah janjikan kepada junjungan kami Nabi Muhammad dan kehormatan – luluslah baginya syafaatku baginya pada hari kiamat
(Sahih Bukhari: 614)
Subhanallah rupanya Nabi SAW sendiri telah menjanjikan syafaat buat orang yang membacanya. Inilah bacaan sebenar yang sahih daripada Nabi SAW yang patut diamalkan.
Mengapa Kita Perlu Mendoakan Nabi
Di dalam doa tersebut terkandung permintaan kepada Allah supaya Nabi SAW dikurniakan kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Jika difikirkan, tanpa doa tersebut pun Allah pasti akan memberi kedudukan yang mulia kepada Rasulullah SAW kekasihNya.
Namun tanpa kita sedari, Rasulullah SAW ingin memberi kita cara yang mudah dan singkat untuk mendapatkan syafaat baginda di akhirat. Hanya dengan melakukan sunnah ini sahaja kita mampu mendapatkan pertolongan daripada Nabi SAW di saat tidak ada syafaat daripada manusia lain yang mampu membantu kita kelak.
Maka luangkanlah waktu sebentar selepas Azan untuk membaca doa ini. Mudah-mudahan, di saat kita memerlukan pertolongan baginda kelak, Nabi SAW mengenali dan mengingati kita yang pernah mendoakan baginda.
Sumber: tzkrh.com
The post Kelebihan Di Sebalik Bacaan Doa Selepas Azan appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/kelebihan-di-sebalik-bacaan-doa-selepas-azan/