Kelebihan Bulan Ramadan Dari Segi Spiritual Kesihatan
Kelebihan Bulan Ramadan Dari Segi Kesihatan & Spiritual ~ Bulan Ramadan adalah merupakan bulan suci yang dinantikan oleh umat Islam.
Pada bulan ini, umat Islam diwajibkan untuk berpuasa setiap hari, bermula daripada terbit matahari sehinggalah terbenamnya matahari, selama sebulan.
Tidak dapat disangkal lagi, bulan penuh keberkatan ini mempunyai pelbagai kelebihan terutamanya dari segi kesihatan dan spiritual.
Berikut dikongsikan lebih lanjut mengenainya.
BACA JUGA: Niat Puasa Ramadan – Lafaz Niat Harian / Sebulan (JAKIM)
Bulan Ramadan & Ibadah Puasa
Ibadah puasa adalah merupakan rukun Islam yang ketiga. Umat Islam diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan sepertimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Nama Lain Bulan Ramadan
Terdapat beberapa nama lain bulan Ramadan yang menggambarkan kelebihannya, antaranya ialah;
1. Syahrul Quran (Bulan Quran)
Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185, yang bermaksud:
“Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran sebagai hidayah (petunjuk) kepada manusia dan keterangan-keterangan tentang petunjuk dan pemisah antara yang hak dan yang batil”.
2. Saiyidus Syuhur (Penghulu sekalian bulan):
Bulan Ramadan Ramadan mendapat gelaran sebagai Penghulu sekalian bulan kerana kelebihan dan keistimewaanya.
Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya manusia mengetahui keistimewaan Ramadan, nescaya mereka ingin supaya sepanjang tahun itu adalah Ramadan” -Hadis Riwayat al-Thabrani, Ibnu Khuzaimah & al-Baihaqi.
3. Syahrul Sabr (Bulan Kesabaran)
Ibadah puasa adalah ibadah yang perlu dilakukan dengan kesabaran. Allah menjanjikan ganjaran pahala yang tidak terbatas kepada orang-orang yang bersabar. FirmanNya dalam Surah Al-Zumar ayat 10, yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang bersabar akan disempurnakan (ganjaran) pahala mereka tanpa batas”.
4. Syahrul Magfirah (Bulan Keampunan)
“Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu”. – Hadis Riwayat al-Imam Nasai’e, Ibn Majah, Ibn Habban dan al-Baihaqi.
5. Syahrul Rahmah (Bulan Rahmat)
Daripada Abu Hurairah, yang bermaksud:
“Suatu ketika Nabi SAW menaiki mimbar, Baginda bersabda: Amin, Amin, Amin. Baginda SAW ditanya:
Wahai Rasulullah, apabila engkau menaiki mimbar, engkau telah berkata amin, amin, amin. Maka Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Jibril a.s. telah datang kepadaku, lalu Jibril berkata:
Barangsiapa yang bertemu dengan bulan Ramadan tetapi tidak diampunkan baginya maka dia akan dimasukkan ke dalam neraka serta dijauhkan (daripada rahmat) oleh Allah SWT Katakanlah Amin (wahai Muhammad). Maka aku katakan: Amin.” – (Hadis Riwayat Ibnu Hibban)
6. Syahrul Barakah (Bulan Berkat)
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadan (dengan kelebihan yang lain): Bulan penuh keberkatan, Allah memfardhukan puasa atas kamu, dibuka pintu-pintu Syurga, dikunci pintu-pintu neraka, dibelenggu Syaitan (supaya tidak mengganggu umat Muhammad SAW daripada melakukan pelbagai ibadat), di dalamnya ada Malam Qadar iaitu satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa yang tiada diberikan kebajikan malam itu maka sesungguhnya dia tidak diberikan kebajikan kepadanya” – (Hadis Riwayat al- Nasai’e)
7. Syahrul Najah (Bulan Kemenangan)
Dalam sejarah Islam, terdapat beberapa peperangan dan perjuangan jihad menentang musuh-musuh Islam yang dimenangi dalam bulan Ramadan seperti perang Badar al-Kubra, perang Ahzab, perang Hittin dan perang Ain Jalut.
8. Syahrul Jud (Bulan Murah Hati)
Nabi Muhammad SAW telah bersabda dalam hadisnya yang bermaksud:
“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapat pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” – Hadis Riwayat al-Tirmidzi.
Kelebihan Bulan Ramadan
Dari Segi Spiritual
1. Meningkatkan Ketakwaan Kepada Allah
Ibadah puasa pada bulan Ramadan dapat membantu meningkatkan ketakwaan kepada Allah. Hal ini ada disebutkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 183;
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Takwa adalah konsep dalam Islam yang mempunyai maksud takut melanggar perintah Allah dan melakukan apa yang diperintahkanNya.
Sesiapa yang memiliki takwa akan berusaha mengendalikan hawa nafsu dan menghindari perbuatan dosa, serta berupaya untuk melakukan kebaikan serta amal soleh.
2. Melatih Kesabaran
Ibadah puasa melatih kita untuk sentiasa bersabar dalam menjalani kehidupan seperti mana kita bersabar menahan lapar dan dahaga semasa berpuasa dan sabar dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
3. Melatih Diri Agar Bersifat Pemurah
Bulan Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk melatih diri agar bersifat pemurah dan tidak kedekut.
Dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga seharian, ia memberi kesedaran dan empati terhadap orang lain yang sering berada dalam kelaparan kerana kesukaran hidup.
4. Doa Mudah Dikabulkan
Bulan Ramadan adalah waktu yang istimewa di mana doa-doa memiliki peluang lebih besar untuk dikabulkan.
Kita dianjurkan untuk banyakkan berdoa sebelum berbuka, serta memanfaatkan bulan ini untuk bangun tengah malam (tahajud) untuk solat dan berdoa kepada Allah apa yang dihajatkan.
Selain itu, pada bulan ini juga terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu Malam Lailatul Qadr.
Pada malam ini, segala doa akan dikabulkan dan amal ibadah yang dilakukan dianggap lebih baik daripada seribu bulan.
5. Diampunkan Dosa
Pada bulan Ramadan, segala dosa-dosa yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah sekiranya individu tersebut berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan penuh keikhlasan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu”. (HR Bukhari)
Dari Segi Kesihatan
1. Membantu Mengawal Paras Gula Dalam Darah.
Apabila berpuasa, tubuh akan mengalami perubahan metabolisme yang dapat membantu mengawal kadar gula dalam darah.
2. Mengurangkan Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular
Puasa dapat membantu mengurangkan faktor risiko penyakit kardiovaskular melalui beberapa mekanisme yang berkaitan dengan perubahan pola makan dan gaya hidup selama bulan puasa.
3. Menurunkan Berat Badan
Kelebihan bulan Ramadan adalah salah satu cara menurunkan berat badan dengan sihat. Jika sebelum ini anda makan 4 kali sehari, namun apabila berpuasa anda akan makan hanya dua kali sahaja.
Perubahan pola makan ini sangat membantu dalam menurunkan berat badan. Selain itu, pastikan anda memilih makanan yang sihat dan seimbang semasa berbuka dan sahur bagi memastikan tubuh anda kekal bertenaga walaupun berpuasa.
4. Meningkatkan Daya Tumpuan
Perut yang kosong dapat membantu otak kita memberikan tumpuan yang lebih baik berbanding apabila perut penuh kekenyangan.
5. Mengatasi Ketagihan
Selama bulan Ramadan, umat Islam menahan diri dari makanan, minuman, dan perilaku tertentu yang membatalkan puasa bermula daripada terbit fajar hingga terbenam matahari.
Rutin ini dapat membantu memberi kesempatan kepada mereka yang mengalami ketagihan untuk menghadkan atau menghentikan ketagihan seperti merokok dan sebagainya.
Semoga dengan kemuliaan dan kelebihan bulan Ramadan ini kita dapat lebih bersemangat dan berusaha sebaik mungkin untuk beribadah kepada Allah SWT dan mengamalkan amal kebaikan yang dituntut.
Sumber:
Pawana Ramadan: Ramadan, Bulan Penuh Keistimewaan. Majlis Keselamatan Negara
Bayan Linnas Siri Ke-62: Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadan. Mufti Wilayah Persekutuan
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/kelebihan-bulan-ramadan/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=kelebihan-bulan-ramadan