Kejiranan 9243
Jiran Sebelah.
Aku tinggal di Blok 3, Felda Kayu Selatan (bukan nama tempat sebenar). Rumah aku ni taklah besar sangat dan taklah kecil sangat. Rumah Felda lama yang sudah dibesarkan sedikit peninggalan kedua ibu bapa yang telah lama pergi.
Aku pun masih bujang, jadi rumah besar bukanlah satu keperluan. Tapi, di sebelah rumah aku, ada lagi sebuah rumah yang agak mewah jugalah. Aku dengar dari orang blok, peneroka tuan punya rumah telah lama meninggal, jadi anak-anaknya telah mengubahsuai rumah berkenaan untuk disewakan.
Aku tak tahu-menahu pasal jiran-jiran di sini sebab baru saja berpindah. Aku sekolah berasrama penuh sejak berumur 12 tahun, masuk ke university, dan terus bekerja sebagai pegawai Felda yang memerlukan aku untuk berpindah randah setiap beberapa tahun. Dan akhirnya sampailah ke kampung sendiri. Memang tak pernah lekat di suatu tempat sahaja.
Selama beberapa bulan aku duduk di sini memang sangat menyeronokkan dengan suasana kampung yang damai. Pagi ke tempat kerja dan pada waktu petang pula berbudi pada tanah yang sekankang kera di tepi rumah. Semuanya normal.
Pada suatu hari sewaktu aku sedang melakukan eksperimen menanam pokok jagung di tepi rumah, aku ternampak ada seorang wanita bersama dua orang anaknya dalam lingkungan usia 8 hingga 10 tahun masuk ke dalam rumah jiran aku yang tak berpenghuni itu. Aku tidak mempunyai prasangka buruk. Nak tegur, segan. Aku terus memerhati sampai kelibat mereka memasuki rumah terbabit.
"Mungkin penyewa baru kot," aku bercakap sendiri.
Aku melihat jam tangan yang melekat di tangan kiri dan hanya ditanggalkan sewaktu ingin mengambil wudhuk. Terperanjat beruk aku. Dah pukul 6.55 petang. Ini semua jagung punya pasal. Aku pun masuk ke dalam rumah, membersihkan diri dan terus ke masjid berdekatan dengan rumah. Aku pulang ke rumah sekitar pukul 9.30 malam. Ada tazkirah. Jadi, kalau dah malam-malam ni, memang mata pun berat. Aku duduk di sofa dan memnghidupkan televisyen. Suaranya aku pasang perlahan.
Tiba-tiba, aku terdengar suara kanak-kanak ketawa. Sungguh riang dan turut di selangi oleh suara wanita dewasa ketawa. Aku tidak merasa janggal, mungkin itu suara jiran sebelah yang baru berpindah. Namun, apabila malam semakin larut, suara tersebut mula bertukar kepada sesuatu yang membuatkan bulu roma aku menegak. Daripada ketawa bertukar menjadi jeritan, jeritan kepada tangisan, dan tangisan kepada suara mengilai. Aku semakin tidak senang duduk tapi aku yakin Allah sentiasa bersama dengan hambanya yang memerlukan. Aku pun mulalah mencurigai sesuatu.
Situasi yang sama berulang hampir setiap hari. Perasaan ingin tahu dalam diri aku semakin membuak-buak. Tapi aku masih tahu batas. Aku tidak akan buat benda-benda yang tak sepatutnya seperti menyekodeng rumah jiran atau lain-lain. Mereka tidak pernah keluar dari rumah sejak hari pertama aku melihat mereka. Nak kata dah pindah... Kenapa bunyi-bunyi daripada rumah ini masih kedengaran ?
Dan segala rahsia terbongkar pada hari itu...
"Hafiz, boleh tolong akak tak ?" Kak Sal datang ke meja aku dengan perutnya yang besar mengandung 8 bulan. "Tolong apa Mak Bunting?" kami semua memang mesra di pejabat. Selain aku dan Kak Sal, ada Farid dan Firdaus.
"Tolong buat bancian dekat setiap blok. Kerja ni sebenarnya tugas akak dengan Daus, takkan kau sanggup tengok ibu-ibu mengandung menapak dari rumah ke rumah semata-mata nak tanya berapa orang dalam rumah tu. Harus terberanak akak kau ni dik," Kak Sal masih memujuk.
"Apa yang saya dapat kalau saya tolong akak ?" aku cuba berbasah-basi. "Dapat pahala... Hahaha ! Takdelah. Nanti akak bagi RM 200. Boleh ?" tawaran yang baik. Rezeki jangan di tolak. "Ok. Boleh," dengan lajunya aku bersetuju.
Maka selepas makan tengah hari itu aku dan Daus pun bertolak menapak dari satu rumah ke satu rumah yang lain. Kami berjaya menyelesaikan dua blok dalam masa 2 jam. Jam menunjukkan sudah sampai waktu untuk pulang namun aku dan Daus telah sepakat untuk menyelesaikan bancian di blok masing-masing sebelum pulang ke rumah. Kami pun berpisah, aku akan menyambung bancian di blok tiga dan Daus akan melakukan bancian untuk blok kediamannya di blok 14.
1 jam berlalu dan aku masih terus melakukan bancian. Aku tiba di rumah aku. Aku tanda 'right' di nombor 1 menandakan hanya seorang yang tinggal di situ dan lalu menempelkan nota bancian pada dinding rumah. Aku bergerak ke rumah jiran aku. Setelah beberapa kali mengetuk pintu dan memberi salam akhirnya pintu di buka.
"Ye... Boleh saya bantu...," ibu berserta kedua anaknya membuka pintu rumah.
"Saya Hafiz daripada Pejabat Felda. Saya nak buat bancian. Kalau boleh saya tahu berapa orang tinggal di sini dan adakah Puan ni penyewa ?" aku keluarkan ayat yang paling professional. Dua anaknya masih di samping si ibu.
"Encik Hafiz ni tinggal di sebelah kan ? Silakan lah masuk,"si ibu berkata lalu berpusing dan berjalan masuk ke dalam rumah.
Aku tak sempat jawab apa-apa lagi. Nak masuk, nanti orang blok fikir apa pula. Nak ditolak, akak tu dah masuk rumah. Daripada pening kepala fikir nak masuk ke tak nak, aku pun masuk jugalah. Aku dibawa duduk di sebuah meja makan di bahagian dapur. Ada 4 buah kerusi, si ibu duduk di hadapan aku, manakala kedua-dua anaknya duduk di kiri dan kanan aku.
"Puan dah lama duduk sini?" sengaja aku berbasah basi dah alang-alang jumpa jiran ni. "Dah nak masuk lima tahun.
Kamu datang sini nak tahu berapa orang yang duduk kan ?" kakak tadi mengulangi pertanyaan aku. "Ye kak. Dan akak menyewa ke?" sekali lagi aku mengulangi pertanyaan di hadapan rumah mereka tadi.
"Jawapan akak ialah tak ada orang yang duduk di sini Encik Hafiz" akak tadi tersenyum sinis anak-anaknya juga. "Eh, akak jangan buat lawak kak. Habis tu akak dengan anak-anak akak ni bukan orang ke ?" aku cuba berlawak.
Namun, ketiga-tiga beranak tadi hanya tersenyum sinis. Perlahan-lahan senyuman sinis mereka berubah menjadi ketawa. Bukan ketawa tapi hilaian lebih tepat lagi. Mereka berdiri serentak dan pemandangan yang aku lihat amat mengerikan.
PERUT KETIGA BERANAK TERBABIT PECAH ATAU LEBIH JELASNYA BERLUBANG !
Aku pun membuka langkah seribu mendapatkan pintu terhampir untuk menenangkan diri. Aku beristighfar dan cuba bernafas secara normal namun, ada bau tidak menyenangkan yang tertangkap oleh hidung. Dan aku menoleh untuk melihat sekeliling ruang kecil terbabit. Aku dapati aku berada di bilik stor bersama tiga mayat yang mula membusuk.
"Ya Allah !" aku sekali lagi mengerah tenaga mendapatkan pintu utama dan menghidupkan motorsikal lalu memecut ke masjid meminta bantuan. Hari pada ketika itu sudah pun mendekati maghrib.
Setelah aku beritahu dengan orang kampung berkenaan peristiwa terbabit, laporan polis segera dilakukan dan anak pemilik rumah juga tiba pada malam itu. Tiga mangsa terbabit dipercayai membunuh diri. Siasatan awal menunjukkan bahawa perut ketiga-tiga mangsa dikoyak menggunakan pisau. Mungkin si ibu membunuh kedua anaknya terlebih dahulu sebelum melakukan hal yang serupa dengan dirinya sendiri.
"Macam mana kamu boleh masuk ke dalam rumah ni?" tuan rumah ditemani pihak polis bertanyakan soalan itu kepada aku yang masih terpinga-pinga.
"Saya dipelawa masuk oleh perempuan dan dua anaknya. Saya datang nak buat bancian, dan diajak masuk oleh mereka," aku menjawab jujur. Tuan rumah dan pegawai polis terbabit saling berpandangan.
"Takpelah. Saya faham. Sebenarnya perempuan tu penyewa saya dari lima tahun yang lalu, tapi dan banyak bulan dia tak bayar sewa. Saya ingatkan dia tak mampu nak bayar. Saya diamkan saja sebab dia memang ibu tunggal dan mungkin memerlukan duit. Saya tak sangka pula jadinya macam ni," tuan rumah terbabit berkata.
Sebelum pergi, dia berkali-kali mengucapkan terima kasih dan memeluk aku dengan erat. Lelaki berusia 40-an itu memberikan aku sejumlah wang sebelum berlalu pergi dengan kereta mewah miliknya. Buat apa dia bagi aku duit? Aku pun tak tahu.
Beberapa tahun berlalu, dan sekali lagi aku harus berpindah ke tempat lain kerana dinaikkan pangkat sebagai pembantu pengurus. Rumah disebelah masih kosong, dan kini rumah aku juga akan kosong. Setelah kes itu diselesaikan tiada lagi gangguan. Tapi apa aku nak buat dekat rumah arwah mak pak aku yang kosong bila aku pergi nanti.
Nak sewakan ke ?
Sumber:
Kisah Xander - JIRAN SEBELAH - Wattpad
Jangan Takut Syaitan dan Hanya Takut Kepada Allah-Malaya Journal.jpg
﷽Segala Puji Bagi Allah dengan sebenar-benar pujian, selawat dan salam ke atas sebaik-baik makhluk, Nabi Muhammad SAW, dan juga ke atas ahli keluarga Baginda serta para sahabat Baginda selepasnya.
Syaitan, iblis atau jin (fasik dan kafir) adalah di antara benda-benda ghaib yang diajarkan oleh al-Quran. Jadi, kita sebagai seorang Muslim wajib mempercayainya tetapi kita perlu ingat. Mereka ini adalah musuh kita dan kita perlu memperkemaskan ilmu kita untuk mengalahkan mereka semua. Kerana syaitan tidak akan pernah berputus asa menghasut anak-anak Adam untuk ke neraka Allah.
Antara dali-dalil tentang syaitan di dalam al Quran.
1. Jangan makan bersama mereka.
Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (Al-Baqarah 2:168)
Kerana syaitan paling banyak makan bersama manusia. Jika kita makan dan minum dengan tangan kiri atau makan tanpa membaca bismillah, itu tandanya kita makan bersama mereka. jadi, pastikan kita sentiasa memperaktikkan sunnah Baginda SAW di dalam setiap kehidupan kita.
2. Syaitan menakutkan kita dengan kemiskinan.
Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. (Al-Baqarah 2:268)
Tetapi anda semua harus faham mereka ini hanya melakukan tipu daya sahaja. Segala janji mereka hanyalah janji dicapati sahaja. Kerana mereka tidak ada kuasa langsung untuk menyekat rezeki daripada Allah SWT. Jadi, jangan takut untuk bersedekah kerana takut tak cukup makan dan khuatir akan jatuh miskin. Itu semua hanyalah bisikan yang tidak ada sebarang mudharat pun.
3. Semua yang disembah selain Allah, akan ada syaitan.
Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala-berhala (makhluk-makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan Syaitan yang derhaka; (An-Nisaa’ 4:117)
Berdasarkan ayat di atas, segala berhala, patung, kubur, bomoh dan apa-apa lagi yang disembah manusia selain Allah adalah tipu daya mereka semata-mata. Mereka inilah punca utama umat islam telah sesat dan jatuh kafir. jadi, kita mesti faham bahawa kita hanya sembah pada Allah SWT sebagaimana firman Allah:
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzaariyaat 51:56)
Antara ciri-ciri Serangan Syaitan.
1. Serangan Was-was.
Serangan ini sangat banyak sekali dan serangan syaitan inilah yang terbesar sekali. Kemuncaknya adalah sehingga, mereka dapat menimbulkan keraguan sampai orang-orang Islam terkeluar daripada Islam tanpa disedari.
2. Menebarkan ketakutan di tengah manusia.
Ketakutan ini adalah dalam segala hal. Sebagai contoh, syaitan menakutkan-nakutkan kita dengan kemiskinan apabila hendak bersedekah di siang hari, takut pengsan berpuasa sunat di siang hari, takut bangun untuk solat di malam hari. Akhirnya, orang-orang Muslim yang berjaya ditakutkan akan ragu-ragu untuk berbakti dengan ibubapa kerana takut isteri marah ataupun membuatkan orang ragu-ragu nak buat ibadah.
Justeru, untuk membantu kita mengalahkan syaitan-syiatan tersebut, Allah berfirman:
Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya (kaum kafir musyrik). Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu (jangan cuaikan perintahKu), jika betul kamu orang-orang yang beriman. (A-li’Imraan 3:175)
3. Menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan orang-orang beriman.
Firman Allah:
Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)? (Al-Maaidah 5:91)
Dengan permusuhan dan kebencian inilah umat islam akan berpecah belah dan saling menumpahkan darah di seluruh dunia. Hal ini sangatlah penting untuk kita menyedarinya kerana masih ramai yang tertipu dengan tipu daya mereka.
4. Syaitan menghalang orang-orang Islam mengingati Allah.
Di antara caranya adalah syaitan memalaskan kita untuk solat berjemaah, berzikir, membaca dan mentaddabbur Quran dan sebagainya. Akibatnya, apabila kita tidak melakukannya, kita menjadi lemah dan mudah untuk dihasut oleh mereka kerana iman yang lemah. Bak kata pepatah, serigala tak makan kambing yang dalam kelompoknya kerana serigala akan target kambing yang keseorangan dan samalah seperti syaitan juga. So, cara terbaik caranya banyakkan berzikir dan pergilah solat berjemaah di Masjid.
5. Syaitan Masuk dalam pintu amarah dan syahwat.
Caranya terbaik untuk mengahalangnya adalah dengan membaca istiazah kalau marah. Manakala, dari segi syahwat pulak, lepaskan syahwat kita pada yang halal sahaja. Contohnya, bersetubuh dengan isterinya.
6. Jangan tergesa-gesa.
Orang Mukmin tidak tergesa-gesa. Kerana ketelitian daripada Allah dan tergesa-gesa pula adalah daripada syaitan. Dua perkara disukai Allah adalah sabar dan tidak tergesa-gesa. Sebab tu salah satu perkara yang ditegah Rasul ﷺ adalah jangan tergesa-gesa ketika solat.
7. Terlampau Kenyang dengan makanan.
Orang islam dilarang makan sampai terlalu kenyang. Makan sekadar secukupnya sahaja kerana ada sesetengah daripada kita yang makan sampai takleh bangun dan terpaksa bukak tali pinggang sebab perut terlampau kenyang. Selain itu, banyaknya makan seseorang itu akan mendatangkan 10 sifat tercela:
Menghilangkan rasa rakut kepada Allah.Menghilangkan belas kasih terhadap orang lain dalam hatinya kerana mereka menyangka semua orang kenyang dan makanan lazat ini dipunya sahaja.Memberatkan ketaatan pada Allah,Tidak mendengar kata-kata hikmah – susah nak konsentrasi dan jadi malas.Jika mengajar, kata-kata mereka tidak dapat menyentuh hati orang lain kerana dikuasai syaitan.Dapat menyebabkan tertimpa banyak penyakit – seburuk-buruk tempat punca penyakit adalah perut. Akan menjadi penyebab penyakit.Syaitan masuk untuk menambah kemalasan dalam ketaatan dan melakukan hal-hal yang diharamkan.Teman yang buruk – syaitan memuji teman yang buruk supaya diikuti kerana teman sangat memberi kesan terhadap seseorang. Tukang minyak wangi dan tukang besi. syaitan akan sentiasa membuatkan kita berkawan dengan orang-orang yang fasik dan zalim.Menggabungkan tempat bakhil, pelit, hasut, rakus harta, fanatik denga mazhab dan hawa nafsu, memikirkan zat Allah dan sangka buruk dengan muslimin yang lain.Cara mengatasi Tipu Daya Syaitan.
Selalu zikrullah supaya syaitan tidak bisa masuk. Kerana dengan zikrullah akan menutup pintu-pintu syaitan.Membaca Istiazah ketika marah.Mengambil Wuduk kerana syaitan itu daripada api dan air akan memadamkan api.Membaca doa dan Isitiazah ketika bersetubuh bersama isteri yang sah.Baca 3 kul, tiup di tangan dan sapu ke seluruh badan.Membaca ayat kursi sebelum tidur.Jangan keluar di waktu maghrib.Jauhkan diri kita daripada tempat syubhat dan tempat ibadah orang kafir kerana laknat Allah sedang turun di situ.Ketika menguap, tutup mulut kerana syaitan akan menguasainya dengan membuatkan rasa mengantuk.Masukkan air ke dalam hidung ketika mengantuk.Kesimpulannya.
Syaitan itu lemah, kecil dan terhina. Orang-orang Islam harus faham kelemahan mereka ini. Sebab dalam filem horror syaitan atau jin digambarkan sangat kuat dan besar padahal itu semua dusta. Mereka hanya mampu bisik sahaja kepada kita dan tidak mampu untuk memcederakan kita secara fizikal.
Jadi, jauhkan diri kita daripada menonton cerita horror jika cerita itu dapat menakutkan kita. Itulah hanya permainan mereka untuk menakutkan kita sahaja. Semua yang buruk akan dihiasi syaitan dan bacalah bismillah serta istiazah untuk mengalahkan mereka. Saya masih ingat lagi pesanan daripada Ustaz Khalid Basalamah, kalau seorang itu tdak takut kecuali pada Allah (sangat dekat dengan Allah), maka syaitan tidak akan berani malah lari apabila berjumpa dengan orang tersebut. Tetapi kalau kita takut pada mereka, syaitan akan menjadi-jadi.
Akhir kalam, syaitan itu sentiasa berusaha untuk menyesatkan manusia. Tidak ada yang dapat menghalang seseorang Muslim untuk ke syurga dengan ibadahnya. Mereka hanya mampu bisik sahaja dan kita tinggal lawan sahaja godaan syaitan ini maka Allah akan menjanjikan kita syurga. Insya Allah.
Sebagai nasihat kepada diri saya dan anda semua, sentiasa berhati-hati dan waspada untuk membezakan adakah itu bisikan syaitan atau nasihat malaikat. Iaitu dengan selalu berhati-hati hidup di dunia ini dengan merasai ada musuh yang sedang membisikkan untuk memjahanamkan kita iaitu syaitan.
Jangan dikuti syaitan itu. Ada dua jalan sahaja, jalan Allah dan jalan syaitan. Pilihlah jalan Allah. Semoga kita sentiasa istiqomah dengan amal ibadah kita hingga ke akhir hayat kita. Aamin.
Wallahua`lam.
Related PostBagaimana Manusia Lalai Ditipu Iblis dan Syaitan
﷽ الحمد لله رب العالمين، وصلى الله وسلم وبارك على عبده ورسوله، نبينا محمد وآله وصحبه أجمعين، وبعد Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Yang Maha Bijaksana,...
8 Lorong Syaitan Yang perlu DijauihiKita sebagai seorang mukmin wajiblah memusuhi syaitan dan iblis, sebagaimana Firman Allah: "Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikan...
Sumber:
Jangan Takut Syaitan dan Hanya Takut Kepada Allah | Malaya Journal
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://peceq.blogspot.com/2019/03/kejiranan-9243.html