Kehidupan Selepas Zaman Belajar Kerja Atau Berniaga
Apabila difikirkan semula, saya rasa zaman yang paling seronok adalah zaman belajar. Ketika zaman belajar kita tidak perlu fikir tentang komitmen kewangan yang perlu kita hadapi.
Peranan kita cukup mudah.
Kita hanya perlu fikir untuk datang ke kuliah, menduduki peperiksaan, bersiap sedia dengan kuiz, siapkan assignment dan sesekali kita perlu buat pembentangan.
Namun setelah tamat zaman belajar kita semua akan melalui alam pekerjaan. Maka bermula saat ini kita perlu lebih bertanggungjawab dengan kehidupan kita dan perlu mula menyusun atur perbelanjaan kita.
Setelah masuk ke alam pekerjaan kita jangan pula lupa untuk membayar kembali hutang-hutang yang kita pernah lakukan semasa belajar dulu terutama sekali hutang PTPTN.
Kalau anda rasa anda tidak mahu menggunakan wang gaji anda untuk membayar hutang PTPTN, saya syorkan anda wujudkan sumber pendapatan tambahan khusus untuk membayar hutang tersebut.
Mungkin saya boleh cadangkan anda wujudkan satu aplikasi permainan yang boleh menjana pendapatan untuk anda. Berkenaan dengan cara untuk membina aplikasi tersebut anda boleh rujuk pada panduan ini.
Sila baca artikel saya sebelum ini yang bertajuk: Kerja part time membina aplikasi permainan berserta dengan potensi pendapatan
Persoalannya ialah adakah semua orang yang habis belajar akan dapat pekerjaan?
Saya rasa jawapannya adalah ya dengan syarat individu tersebut tidak begitu memilih dalam soal mencari pekerjaan.
Sanggup mula bekerja dengan gaji yang tidak begitu lumayan, berani untuk berpindah rumah sekiranya pekerjaan tersebut jauh dari tempat tinggal, sanggup untuk belajar sesuatu yang baru sedangkan pekerjaan yang dipohon ini berbeza dengan ilmu yang dipelajari semasa di kolej atau universiti sebelum ini.
Sekiranya pada peringkat permulaan dia tidak berjaya dapatkan pekerjaan yang diidam-idamkan, dia boleh lakukan apa-apa kerja buat sementara waktu. Apa yang penting, dia ada sumber pendapatan untuk menampung kehidupan dan membayar komitmen.
Proses untuk mencari pekerjaan bukannya susah. Anda boleh memohon pekerjaan menerusi khidmat yang disediakan oleh laman web mau kerja dot my.
Untuk peringkat permulaan mohon sahaja apa-apa kerja yang anda rasakan sesuai dengan kelayakan anda. Cuba kerja dalam masa 3 ke 6 bulan dan niatkan dalam hati, tujuan bekerja ini adalah untuk menimba pengalaman.
Pengalaman yang anda bakal lalui dalam pekerjaan yang pertama ini anggaplah sebagai satu pengalaman berharga untuk anda masukkan dalam resume permohonan kerja yang akan datang.
Memang biasa kita dengar nasihat yang menyuruh graduan untuk mencari pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian di peringkat Universiti atau kolej.
Namun nasihat yang jarang jarang kita dengar adalah nasihat yang menggalakkan graduan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan sebaik sahaja tamat pembelajaran.
Saya berpendapat jika seseorang itu mempunyai semangat keusahawanan, dia patut membina asas perniagaan dan mula menimba pengalaman ketika masih belajar lagi.
Gunakan masa yang terluang untuk merangka strategi perniagaan dan merancang perjalanan bisnes yang bakal dijalankan.
Pada zaman ini kita tidak semestinya memerlukan premis perniagaan untuk menjalankan perniagaan. Perniagaan boleh dimulakan pada bila-bila masa dengan bantuan Internet.
Jika anda ingin menceburkan diri dalam bidang jualan anda boleh terus bermula untuk membuat jualan melalui platform yang disediakan oleh laman web shopee. Selain Shopee, anda juga boleh menggunakan platform jualan seperti Lazada untuk membuat jualan.
Latih diri anda untuk mendapatkan pengalaman menjual sesuatu melalui Internet. Menerusi pengalaman ini anda akan faham mengenai selok-belok dunia perniagaan.
Sedikit sebanyak anda akan faham apa itu customer service, apa yang dinamakan sebagai aktiviti pemasaran dan persoalan bagaimana mengendalikan operasi sesuatu perniagaan.
Saya kira ini lebih baik berbanding sesetengah pelajar yang terlibat dengan bisnes berasaskan Multi Level Marketing. Jika bisnes yang diceburi itu memang betul mempunyai produk atau perkhidmatan yang baik itu tidak ada masalah.
Namun dari pengalaman saya sendiri, golongan pelajar ini sering dijadikan sasaran oleh individu yang tidak bertanggungjawab untuk menceburi skim cepat kaya.
Pada mulanya para pelajar ini disajikan dengan idea-idea yang nampak menarik di mana melalui sistem yang diperkenalkan ini para pelajar boleh menjana pendapatan dengan mudah dan lumayan tanpa perlu bersusah payah. Misalnya, duit boleh masuk walaupun sewaktu sedang tidur, semasa makan, atau ketika sedang sibuk ke kelas.
Namun setelah mereka percaya dengan sistem tersebut, rupa-rupanya para pelajar ini perlu membawa masuk seberapa banyak yang boleh kawan-kawan yang dikenali di universiti. Lagi ramai kawan yang dibawa masuk ke dalam sistem lagi banyak pendapatan yang boleh dihasilkan.
Pendapatan kita pula akan berjalan dengan sendirinya, apabila orang yang kita bawa masuk ke dalam sistem turut melakukan perkara yang sama. Kita panggil ini sebagai sistem overriding. Kita menumpang sedikit komisen dari hasil kerja orang bawahan kita.
Sistem seperti ini tidak begitu baik sebabnya, dalam sistem ini, pendapatan yang terhasil adalah bergantung kepada berapa banyak orang yang menyertai skim yang ditawarkan.
Orang yang menyertai skim tersebut juga mahukan habuan yang besar sama seperti yang dijanjikan kepada kita. Lama-kelamaan setelah habis bilangan pelajar yang telah menyertai program tersebut dengan sendirinya sistem tersebut akan runtuh.
Sebaik-baiknya jika ingin menyertai sesuatu perniagaan pilihlah perniagaan yang fokus untuk menjual barang dan memenuhi keperluan kelompok pelanggan tertentu.
Perniagaan seperti ini lebih memberikan fokus kepada keperluan golongan sasaran. Golongan sasaran ini, membeli sesuatu produk kerana produk tersebut memang diperlukan dan bukannya sebab mahukan ganjaran dalam bentuk wang ringgit.
Jika produk dibeli kerana mahukan ganjaran wang ringgit ada kebarangkalian produk yang dibeli itu tidak digunakan langsung.
Memandangkan kita sedia maklum produk tersebut mungkin tidak akan digunakan langsung jadi buat apa kita nak sediakan produk yang berkualiti? Saya rasa kalau guna sampah pun tak ada masalah.
Orang yang masuk ke dalam sistem hanya mahukan skim buat duit dan bukannya nakkan produk tersebut.
Inilah sebabnya jika anda perasan, orang yang cuba mengajak kita untuk menyertai skim seperti ini jarang sekali bercerita tentang produk. sebaliknya mereka akan habiskan masa kita untuk bercerita tentang betapa hebatnya skim tersebut dan betapa kayanya kita akan jadi setelah menjadi sebahagian daripada ahli.
Tapi kalau kita Fokus kepada memenuhi keperluan dan kehendak golongan sasaran, misalnya kita target kelompok pengguna yang membela kucing dan kita jual makanan kucing. Setiap bulan mereka pasti akan beli makanan untuk kucing.
Kita dapat memenuhi keperluan mereka dan dengan berbuat demikian kita dapat sedikit keuntungan daripada jualan makanan kucing tersebut. Dalam situasi ini pembeli puas hati dan kita juga puas hati sebab dapat untung. Ini adalah situasi menang-menang.
Apapun semuanya terpulang kepada anda. Buatlah keputusan yang sewajarnya agar nanti tiada penyesalan di kemudian hari.
The post Kehidupan selepas zaman belajar – Kerja atau berniaga? appeared first on Sabree Hussin Dot Biz.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://sabreehussin.biz/kehidupan-selepas-zaman-belajar-kerja-atau-berniaga/