Keadilan Kesal Spr Pdrm Hentikan Program Jelajah Anwar
Pemimpin-pemimpin KEADILAN meluahkan kekesalan di atas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memberhentikan program terakhir Jelajah Sabah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama calon DUN Inanam, Peto Galim yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Perkara itu berlaku ketika Anwar baru berucap selama 10 minit dalam program tersebut apabila pasukan SPR dan PDRM tampil dan memberitahu program itu tidak boleh diadakan kerana tidak mempunyai permit sah.
"Kita diminta untuk tamatkan program. Mereka kata kita tidak ada permit walaupun permohonan sudah dibuat. Bahagian polis yang uruskan permit ini tutup pada hari minggu.
"Tidak apa, saya tidak mahu mencipta sebarang masalah, jadi kita tamatkan di sini," kata Anwar.
Pengarah Strategi KEADILAN, Sim Tze Tzin berkata KEADILAN sememangnya sudah pun menghantar permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan program tersebut, namun menganggap SPR dan PDRM gagal memahami kesukaran untuk parti politik berkempen.
"Mereka (PDRM) tutup Sabtu dan Ahad, program ini pula dirancang sehari sebelum itu iaitu Jumaat malam. Jadi, Sabtu pagi kita hantar permohonan tetapi bahagian yang uruskan itu tutup. Bukan kami sahaja, DAP pun menghadapi masalah sama.
"Kami minta SPR supaya lebih memahami situasi kami. Kempen hanya diadakan 14 hari sahaja dan program ini adalah atas permintaan rakyat, mereka nak dengar Anwar berucap.
"Tapi apabila kami minta kerjasama SPR dan PDRM, kita tidak dapat jadi kita harap mereka boleh memahami parti politik yang bertarung dalam PRN Sabah. Berilah kerjasama kepada kami, kerana kami pun beri kerjasama sepenuhnya kepada mereka," katanya.
Naib Presiden KEADILAN, Xavier Jayakumar pula menggesa ketua polis negara melihat isu ini dengan lebih serius.
"Ini musim pilihan raya, saya nak minta ketua polis tengok isu ini, pasal apa polis tutup hari Sabtu dan Ahad.
"Kita bergerak sebagai parti politik bersama calon 24 jam sehari. Malah, program ini diadakan di kawasan tertutup.
"Kita bagi kerjasama tapi bagilah kita peluang, kalau kita minta permit bagi sahajalah sebab ini PRN, ini hak rakyat, ini suara kami dan beri pilihan untuk rakyat memilih kerajaan," katanya.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/09/keadilan-kesal-spr-pdrm-hentikan.html