Kami Terdengar Bunyi Bising Di Belakang Rumah Kisah Seram Hantu Langsuir Bertenggek Di Pohon Sukun
Langsuir. Korang tahu tak apa beza antara pontianak dan langsuir? Ini kisah aku.
Dulu–dulu sewaktu aku sekolah rendah, perkara ini berlaku di depan mata aku sendiri. Pada suatu malam ketika aku sedang membuat kerja sekolah sambil menonton cerita Senario di TV3 bersama adik beradik yang lain, arwah bapa ku tidak semena–mena keluar rumah, ibuku terkejut lalu mengikut arwah bapa keluar juga. Kami kebingungan apakah yang sedang berlaku di luar rumah ?
Kami terdengar bunyi bising di belakang rumah, ibu masuk semula ke dalam lalu memberi amaran supaya jangan keluar rumah. Namun perasaan ingin tahu aku sangatlah kuat walaupun berasa tidak sedap hati, oleh kerana bunyi bising tersebut datang dari belakang rumah, aku berlari ke dapur untuk melihat sendiri apa yang berlaku. Dengan bantuan tingkap kaca yang berkeping – keping itu dapatlah aku mengintai apa yang berlaku. Kelihatan susuk manusia dalam 4 ke 5 orang sedang mengelilingi pohon sukun kepunyaan kami. Kelihatan seperti pekerja Indonesia yang tinggal berjiran dengan kami. Aku dapat menangkap perbualan mereka walaupun loghat Indonesianya agak pekat.
Dari ruang tamu, ibu memanggil aku menyuruh kembali ke depan, terbantut intaian aku lalu terpaksa bergerak ke depan kembali. Ibu memberi arahan menyuruh kami mengambil air wuduk dan membaca Yassin atau Al-Quran. Kakak terkejut lalu bertanya apakah sebenarnya yang sedang berlaku di luar rumah. Lalu ibu memberitahu di belakang rumah kami ada terdapat seekor langsuir sesat yang sedang bertenggek di pohon sukun kami. YA ALLAH, itu yang terpacul dari mulut kakakku, terus kami semua berkerumun mendekati ibu. Bulu romaku mulai menegang, lalu aku bertanya apakah bentuk langsuir itu, ibu terus menepis pertanyaan aku dan menyuruh kami mengambil wuduk cepat.
Arwah abah masih belum masuk rumah, kedengaran bunyi motor dari rumah sebelah menghampiri rumah kami, jiran – jiran juga ingin tahu apakah yang sedang berlaku seawal jam 9.30 malam tersebut. Senario baru sahaja melabuhkan tirainya, kami pula berasak – asak berhimpitan kerana ketakutan merajai diri. Tidak lama kemudian arwah abah masuk ke rumah dan meminta ibu mengambil secupak beras untuk diberi kepada abang – abang Indonesia tadi. Lantas ibu menuruti arahan dan mengambil secupak beras tersebut.
Aku memberanikan diri bertanya kepada arwah bapa perihal langsuir tersebut, dia memberitahu bahawa langsuir itu masih tak mahu berganjak dari situ walaupun setelah dibaca dengan pelbagai ayat mentera oleh abang – abang tersebut. Aku bertanyakan rupa benda itu, arwah bapa menjawab rupanya seperti helang namun berwarna hitam seperti gagak, badannya bersaiz seperti manusia dewasa, begitu besar berbanding helang biasa, benda itu sedang bertenggek di puncak sukun dengan berkicauan seperti helang tetapi sedikit garau. Terkejut kami adik – beradik memikirkan saiznya sebesar itu, lantas semakin rancak kami membaca Al – Quran, entah surah apa yang kami bacapun tak tahulah.
Apabila beras telah sampai ke tangan abang – abang tersebut, mereka terus membentuk segi empat mengelilingi pohon sukun dengan setiap seorang di setiap sudut, entah apa yang mereka bacakan, mereka lalu mencampakkan butir – butir beras ke arah batang pokok untuk menghalau langsuir itu. Setelah 15 minit berperang barulah benda tersebut beredar, mungkin seperti cacing kepanasan tidak dapat menahan serangan lalu melarikan diri ke arah bukit tidak jauh dari rumah kami.
Setelah itu, barulah ibu membuka mulut, memberitahu yang sudah beberapa malam ibu terdengar bunyi benda itu merengek seperti perempuan, seolah – olah mempermainkan ibu, kadang kala juga benda itu mendengus, tetapi ibu endahkan saja kerana sudah tahu itu bukan benda biasa. Namun pada malam kejadian, abang – abang sebelah rumah yang menyedari benda itu seperti menangis lalu pergi ke belakang rumah untuk melihat sendiri.
Kami ingat benda itu sudah benar – benar beredar, pada pukul 1 pagi aku dan adik aku tersedar serentak apabila terdengar sesuatu sedang mencakar atap, selama beberapa kali, ini bermakna benda itu betul – betul di atas bilik kami. Aku dan adik aku terus berkongsi selimut dan berselubung sambil membaca ayat Qursi sehingga kedua – dua kami terlena, berpeluh kami pada malam itu. Setelah itu, benda itu tidak muncul lagi dalam hidup aku.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://coffeecakehorror.blogspot.com/2019/07/kami-terdengar-bunyi-bising-di-belakang.html