Kaji Semula Salur Peruntukan Covid 19 Kepada Penyelaras Dun Selangor
Nizam Zain                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Ahli  Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar merangkap Ketua  Pembangkang, Rizan Ismail bercakap kepada media selepas mengadakan  pertemuan dengan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa pada hari ke 36  Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak Covid-19 di Menara  Seri Wilayah, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI 
PUTRAJAYA – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari  perlu mengkaji semula pemberian peruntukan khas Covid-19 kepada  penyelaras kawasan pembangkang yang dilantik dalam kalangan pemimpin  politik Pakatan Harapan (PH).
 Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, sudah sampai masanya  Amirudin mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan yang menyalurkan  peruntukan khas Covid-19 kepada semua kerajaan negeri tanpa mengira  perbezaan fahaman politik.
 “Besar harapan kami agar Menteri Besar Selangor dapat  menyalurkan satu peruntukan khusus kepada wakil-wakil rakyat pembangkang  di Selangor sebagaimana Kerajaan Persekutuan memberi RM10juta kepada  semua negeri di dalam negara kita untuk bantuan Covid-19 ini.
 “Kita sehingga kini masih menanti satu perutukan khusus daripada  Menteri Besar Selangor kepada semua ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di  Selangor tanpa seorang pun tercicir,” katanya kepada MalaysiaGazette  hari ini.
 Terdahulu, Rizam bersama tiga lagi ADUN Barisan Nasional (BN) iaitu  Datuk Mohd Imran Tamrin (Sungai Panjang), Datuk Rosni Sohar (Hulu  Bernam) dan Zakaria Hanafi (Semenyih) mengadakan pertemuan dengan  Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa di Kementerian Wilayah  Persekutuan (KWP).
 Sebelum ini, tular di media sosial surat pekeliling daripada pejabat  Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahawa sembilan ADUN pembangkang  dikecualikan daripada mendapat peruntukan khas sehingga RM30,000.
 Sebaliknya, peruntukan untuk kawasan pembangkang akan diserahkan  kepada penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dilantik dalam  kalangan pemimpin politik PH.
 Rizam juga mengesahkan bahawa walaupun Perintah Kawalan Pergerakan  (PKP) Fasa Ketiga namun wakil rakyat pembangkang masih tidak dilibatkan  dalam usaha membantu rakyat berdepan dengan wabak Covid-19.
 “Saya melihat mereka menyusun mengikut cara mereka. Setakat ini  kerajaan negeri hanya berurusan dengan pengerusi-pengerusi MPKK. Kami  tidak dilibatkan sama sekali sebagai wakil rakyat pembangkang di kawasan  masing-masing,” katanya.
 Lebih dikesali ketika rakyat bergelut untuk mendapatkan bekalan  keperluan dan hilang punca pendapatan, orang ramai masih tidak tahu  kewujudan penyelaras kawasan yang diberikan peruntukan Covid-19.
 “Oleh kerana itu, wakil rakyat pembangkang terpaksa selain daripada  peruntukan yang mereka ada mereka terpaksa keluarkan juga duit kocek  sendiri memandangkan rakyat hari ini kebanyakannya yang dia tahu ialah  wakil rakyat, dia tak tahu ada penyelaras DUN dan sebagainya.
 “Mereka hanya tahu tempat pergantungan rakyat itu adalah wakil rakyat  sebab itu kami kamu Menteri Besar memberikan peruntukan khas kepada  kami untuk membantu masyarakat, lebih-lebih lagi untuk menghadapi  Ramadan dan Syawal akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/04/kaji-semula-salur-peruntukan-covid-19.html