Kaitan Pakatan Harapan Pertubuhan Sivil Dan Prn Melaka
SUATU PANDANGAN
Oleh Hassan Abdul Karim
Pakatan Harapan (PH) tidak boleh lagi bagi janji dalam Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka pada bulan November hadapan.Kecuali PH mula bertindak sekarang selaras dengan apa yang dikatakan dan apa yang diperjuangkan selama ini, barulah PH akan dipercayai.PH telah diberi peluang menjadi kerajaan selama 22 bulan setelah menang PRU-14, jauh lebih pendek berbanding tempoh lima tahun pemerintahan Taliban kali pertama di Afghanistan (1996 – 2001).Kebaikan dan kejayaan PH dalam tempoh 22 bulan bersejarah itu dalam beberapa hal terserlah juga. Tetapi kelemahan dan janji-janji tinggi yang gagal dipenuhi juga jelas kelihatan. Rakyat tidak mudah lupa dengan kata-kata bekas Pengerusi PH ketika itu yang juga Perdana Menteri bahawa Manifesto PH bukannya kitab suci.Report Card PH selama memerintah dalam kerajaan pertamanya selama 22 bulan itu berwarna-warni, dengan lulus berwarna biru dan gagal berwarna merah. Banyak merah daripada biru nampaknya.Sebelum menang PRU-14, PH bertahun-tahun lamanya mesra dan berlibaturus dengan pertubuhan-pertubuhan sivil di Malaysia. Tetapi selepas PH tumbang pada akhir Februari tahun 2020, pertubuhan-pertubuhan sivil tidak lagi ghairah untuk mendampingi PH apatah lagi untuk menolong PH bangkit kembali. Di mana silap PH? Apakah dosa PH?Pertubuhan-pertubuhan sivil sebenarnya berasa serik dan terkesan seperti dikhianati apabila PH mengecap kuasa dan para pemimpinnya mulai merasai nikmat segala keistimewaan sebagai golongan pemerintah yang berkuasa, lalu dalam sekelip mata disaksikan lari dari idealisme perjuangan asal yang dikongsi bersama oleh pertubuhan-pertubuhaan sivil tersebut.Sekarang rakyat di seluruh negara menjadi pemerhati yang ada kepentingan untuk menilai kembali PH.Walaupun PRN Melaka ini berlaku di negeri antara terkecil di Semenanjung dan di seluruh Malaysia, tetapi Melaka yang bersejarah itu sering disebut dengan ungkapan, “Melaka – di mana tempat semuanya bermula”.Justeru itu keputusan PRN Melaka nanti boleh ditafsirkan sebagai potret wajah PH, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) khususnya di mata rakyat.PRN di Melaka yang Hari Mengundinya pada 20 November nanti selepas melalui kempen dengan norma baru di mana segala aktiviti politik hampir keseluruhannya dilarang oleh SOP KKM dan MKN akan menjadi semacam referendum rakyat. Referendum rakyat itu khususnya terhadap tiga buah gabungan parti-parti politik PH,BN dan PN yang mendominasi landskap politik Malaysia sejak Sheraton Move. Langkah Sheraton membawa kesan politik yang besar juga di Malaysia, di mana persaingan dalam sistem dua parti, antara BN dengan PH selama berdekad telah runtuh dan kini pertandingan untuk mendapatkan sokongan rakyat kelihatan lebih terbuka dengan kehadiran lebih ramai peserta.Jika BN dan PN bertempur sesama sendiri di Melaka, maka senario itu memberi kelebihan kepada PH dalam pertandingan tiga penjuru.PH akan menjadi benefisiari hasil dari peseteruan BN dan PN, bukannya kerana kelebihan polisi PH atau kekuatan sebenar PH.Tetapi jika BN dan PN membuat U-turn dan berdamai sebelum Hari Penamaan Calon pada 8 November nanti, ada kemungkinan PH akan menggigit jari kerana terlepas peluang kemenangan mudah.Justeru itu PH perlu menjaga imej dan prinsip politik perjuangannya agar terserlah di Melaka. Imej politik yang baik bagi PH di Melaka mungkin akan kekal positif di mata rakyat sehinggalah PRU ke-15 nanti sebagai gabungan politik pelbagai kaum, agama dan budaya yang berintegriti, boleh dipercayai kerana adil, amanah, demokratik dan tidak mengejar fatamorghana kuasa semata-mata.Untuk menang jangka panjang, bukannya jangka pendek sekadar PRN Melaka sahaja, maka PH perlu mendapatkan semula sokongan pertubuhan-pertubuhan sivil yang masih kelihataan dingin dan merajuk terhadap PH.Memang benar pertubuhan-pertubuhan sivil selalu menuntut itu dan ini terhadap kerajaan yang berkuasa. Tetapi itu adalah peranan mereka dan demokrasi itu memang bising selalunya.Memang benar juga pertubuhan-pertubuhan sivil tidak boleh memberi undi kepada PH untuk memenangi PRN di Melaka nanti. Tetapi pertubuhaan-pertubuhan sivil ini tidak boleh PH pinggirkan. Restu dan dokongan pertubuhan-pertubuhan sivil memberikan keabsahan atau legiitimasi terhadap kewujudan PH.Sekarang pertubuhan-pertubuhaan sivil sedang memerhati siapa-siapa yang akan menjadi calon-calon PH dalam PRN di Melaka.Geng Berempat yang mencontohi Langkah Sheraton di Petaling Jaya, dan cuba ditiru untuk dibawa ke bumi Hang Tuah dan Hang Jebat di Melaka, mempunyai sebab tersendiri mengapa mereka tidak disenangi oleh pertubuhan-pertubuhan sivil yang pernah menyokong PH selama ini.PH ada beberapa hari sebelum hari Penamaan Calon. PH ada pilihan sama ada menerima keempat-empat susuk itu, atau memilih tiga dari berempat, atau sekadar dua dari berempat atau menolak kesemuanya.Isu Geng Berempat di Melaka itu yang kini berada di atas meja Majlis Presiden PH untuk diputusakan akan dinilai oleh semua pihak, bukan sahaja oleh pertubuhan-pertubuhan sivil tetapi juga di kalangan anggota setia dan penyokong atas pagar PH berjuta orang di seluruh negara. Mereka semua mempunyai locus standi menentukan nasib PH dalam Pilihanraya Umum Negara yang akan datang.Isu “high moral ground” yang selama ini memberi kelebihan kepada PH dalam mendepani regim BN pimpinan Najib Razak dulu yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa sehinggalah BN tumbang.Isu “high moral ground” juga memberi kelebihan imej baik kepada PH dalam menentang kerajaan PN yang dianggap kerajaan tidak sah taraf kerana terbentuk melalui pintu belakang, hinggalah PN juga tumbang.Imej PH sebagai gabungan parti-parti politik yang kekal mahu memberikan harapan kepada 32 juta rakyat Malaysia sebagai pilihan terbaik rakyat yang membawa agenda perubahan atau reformasi akan terhakis dan tercemar apabila PH dianggap dua kali lima, sama sahaja semacam BN dan PN jika PH tersalah buat pilihan kerana mengambil mana-mana susuk di kalangan Geng Berempat itu menjadi calon PH dalam PRN Melaka nanti.Peringatan telah dibuat. Kini terserlahlah kepada kepimpinan tertinggi PH membuat keputusan.Hassan Abdul KarimAhli Parlimen Pasir Gudang (Keadilan/PH)29 Oktober 2021 (Jumaat)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/10/kaitan-pakatan-harapan-pertubuhan-sivil.html