Kafa D Hijrah Sasar Isi Kelompongan Sesi Pembelajaran Di Rumah
Januari 2021 merakamkan genapnya setahun negara kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 setelah kes jangkitannya yang pertama dikesan tahun lalu. Pandemik ini merubah landskap kehidupan yang memaksa masyarakat untuk hidup di dalam normal baharu
Amalan pendidikan negara juga tidak terkecuali. Tiada lagi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka dibenarkan apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) setiap kali negara merekodkan kes jangkitan yang membimbangkan
Pelbagai luahan dan coretan ibu bapa, guru serta pelajar di ruangan media sosial terhadap pendidikan normal baharu ini. Isunya adalah sama. Semua bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran namun berhadapan dengan keterbatasan dalam menyediakan kemudahan yang diperlukan seperti alatan bersesuaian, ruang pembelajaran di rumah yang kondusif, kemudahan dan keupayaan akses internet yang stabil dan lain-lain
Cakna dengan keperluan semua, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri melancarkan rancangan KAFA d’Hijrah pagi ini di TV AlHijrah sebagai Musaadah Covid-19 pendidikan
Rancangan KAFA d’Hijrah adalah rancangan pembelajaran Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di televisyen dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
KAFA d’Hijrah akan disiarkan di saluran TV AlHijrah bermula hari ini, pada setiap Isnin hingga Sabtu, bermula jam 4.30 petang hingga 5 petang. Manakala siaran ulangannya pula adalah pada jam 11.30 pagi dan 6.30 petang
“Usaha TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI bekerjasama dalam program KAFA d’Hijrah adalah strategi baik yang bukan bersifat menandingi tapi mengisi kekurangan pedagogi moden pembelajaran waktu ini agar pelajar tidak tercicir dalam meneruskan proses pembelajaran ilmu agama,” jelas Zulkifli
Beliau menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi atas usaha dan cetusan idea TV AlHijrah, JAKIM dan JAWI yang dilihat amat bertepatan pada waktu ini dalam mengalirkan ilmu kepada anak-anak di rumah
Beliau turut berpesan agar para ibu bapa yang berkelapangan untuk menonton siaran KAFA d’Hijrah bersama anak-anak agar ilmu tersebut dapat didalami bersama seisi keluarga
Turut hadir pada majllis pelancaran program tersebut adalah Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh, Pengarah JAWI, Datuk Haji Mohd Ajib Bin Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris
Namanzee berkata TV AlHijrah bersedia memikul tanggungjawab menerbit serta menyiar rancangan KAFA d’Hijrah bagi mengisi kelompongan sesi pembelajaran di rumah pada waktu ini yang disebabkan keterbatasan kemudahan seperti capaian internet, komputer riba dan telefon bimbit
“Buka sahaja televisyen, barisan guru-guru berkelayakan akan menyampaikan ilmu buat semua. “Minggu pertama bulan Februari adalah minggu pembelajaran bab satu Al-Quran buat pelajar darjah 1 hingga darjah 6. Diikuti subjek Ibadah pada minggu kedua, Sirah pada minggu ketiga dan Jawi serta Khat pada minggu terakhir Februari
“Manakala subjek Bahasa Arab akan disiarkan pada minggu pertama bulan Mac dan diikuti subjek Akidah pada minggu kedua bulan Mac sehingga selesai pembelajaran untuk bab satu. “Minggu berikutnya masuk kepada bab dua dan aturan ini akan diulang pada minggu-minggu seterusnya
“Ini adalah jihad ilmu. Kita mestilah saling bergandingan usaha dan tenaga membantu pelajar-pelajar KAFA ini. Kita mula dulu dengan peringkat sekolah rendah dan kita berhasrat untuk lebarkan skop pembelajaran kepada peringkat menengah juga,” jelas Namanzee lanjut
“Kita tidak mahu anak-anak kita berada dalam keadaan ketidaktentuan serta teraba-raba kerana kelompongan kelas online. Oleh sebab itu, kita pohon semua pihak samada guru, pelajar mahupun ibu bapa untuk memberikan sokongan kepada rancangan ini dan jadikannya sebagai medium pembelajaran yang memudahkan,” katanya
TV AlHijrah turut membuka peluang serta menyeru rakan-rakan korporat untuk turut sama menjayakan misi KAFA d’Hijrah dengan menjadi rakan penaja rancangan ini
Jadi, jangan lupa untuk menonton KAFA d’Hijrah. Sebarang maklumat lanjut mengenai rancangan ini boleh didapati di laman sesawang www.kafa.tvalhijrah.com atau layari laman media sosial Instagram dan Facebook TV AlHijrah
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.mahagosip.com/2021/02/kafa-d-hijrah-sasar-isi-kelompongan.html