Kadar Pengangguran Terengganu Tinggi Solusi Kerajaan Pas Hantar Pekerja Ke Selangor
Solusi menghantar tenaga kerja Terengganu ke Selangor sebagai memenuhi janji manifesto pilihan raya Pas dikritik banyak pihak.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu, Azan Ismail, kerajaan Pas sepatutnya lebih kreatif dalam mewujudkan peluang pekerjaan, bukannya mengeksport anak muda ke negeri lain bagi memenuhi janji mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan.
"Pemikiran pemimpin Pas negeri ini nampaknya berceralu. Di mana mereka terdesak, hampir 4 tahun jadi kerajaan tiada apa janji maniefsto yang dapat ditunaikan.
"Malah keadaan ekonomi negeri menjadi bertambah buruk. Kadar pengangguran memuncak dan tidak pernah dialami sebelum ini. Jabatan Tenaga Kerja umumkan pengangguran di Terengganu antara tertinggi di Malaysia.
"Oleh kerana terdesak itu, dua tiga hari lepas mereka buat majlis melepaskan rombongan (anak muda) pergi bekerja di Selangor," katanya kepada Suara Keadilan.
Tegas Azan, penghijrahan tersebut sepatutnya dielakkan berikutan Terengganu telah pun dikenali sebagai negeri menua, dengan banyaknya tenaga kerja muda merantau ke Pantai Barat Semenanjung dan malah Singapura sejak berdekad dekad lalu.
"Perkara ini tidak wajar berlaku. Orang tua yang berumur ditinggalkan dan anak muda berhijrah. Dulu kita guna pendekatan mewujudkan pekerjaan di tempat masing masing untuk menseimbangkan kependudukan dalam negara
"Bukankah Terengganu banyak sumber untuk disertai oleh golongan muda? Tetapi kerajaan Pas tidak berjaya mengeksploitasi sumber ini bagi mewujudkan peluang pekerjaan, menarik pelabur jauh sekali lah.
"Bayangkan anak anak muda kita terpaksa bekerja di negeri lain, ini menjadikan sumber tenaga kerja di Terengganu semakin merosot. Hal ini sangat tidak baik untuk perkembangan tenaga kerja mahir atau kurang mahir di negeri ini
"Kesannya perkembangan ekonomi tidak akan berjalan rancak. Aktiviti ekonomi hanya setakat kerja kerajaan, aktiviti petroleum dan gas tetapi tidak pula disertai oleh anak anak tempatan," katanya.
Azan turut mencabar kerajaan Pas, apakah peluang pekerjaan yang ditawarkan di Selangor itu tidak boleh diwujudkan di negeri berkenaan.
Tambahnya, pekerjaan yang dijanjikan seperti operator pengeluaran kilang dan dengan pendapatan yang kecil seharusnya boleh disediakan sekiranya pemimpin Kerajaan Negeri berfikiran lebih kreatif.
"Pekerja yang digalakan oleh Pas ini bidang apa, yang digalakkan ke Selangor? Pekerja kilang? Pendapatan pun tidak seberapa.
"Masalah sosial pula yang akan memuncak. Kita tahu di Selangor persaingan sengit, kejutan budaya, dan yang dihantar itu bukannya (pekerjaan) bergaji besar. Jadi ini adalah satu keputusan yang bercelaru dan tidak mencerminkan sebuah Kerajaan Negeri yang memandang ke hadapan.
"Kerajaan Pas Terengganu bukan sahaja gagal tetapi membahayakan struktur tenaga kerja di negeri ini," katanya lagi.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/01/kadar-pengangguran-terengganu-tinggi.html