Kad Ic Suica Dan Menikmati Ramen Pertama Di Nikoniko Mazemen Akihabara
CATATAN TRIP KE JEPUN | HARI PERTAMA - RABU, 4 DISEMBER 2024
Jemput baca catatan terdahulu —> Naik Keisei Skyliner Airport Express ke Nippori Station
Selesai urusan simpan bagasi di Art Hotel Lungwood, kami kembali ke Nippori Station. Semasa berjalan kaki dari stesen ke hotel tadi, kami perasan ada pintu keluar/masuk stesen yang berbeza dari pintu yang kami lalui tadi - di mana kami perlu menuruni anak tangga yang jauh ke bawah
Jadi kali ini, kami cuba masuk stesen ikut pintu berbeza - melalui pintu utama bangunan
Sedang berjalan, saya nampak sebatang pohon dengan dedaun kuning merah. Tapi sebab segan nak merakam foto di tengah kesibukan manusia, maka saya cuma rakam foto dedaun yang gugur. Jadilah kan! Buat kenangan pertama kali menyaksikan secara dekat warna dedaun pada musim luruh 😀
Zebra Crossing | Untuk ke pintu stesen, kami perlu melintas sebatang jalan kecil. Bagusnya di sini, mereka benar-benar patuh peraturan zebra crossing - iaitu pejalan kaki boleh terus melintasi jalan dan pemandu kenderaan perlu berhenti memberi laluan.
Saya perhatikan - pejalan kaki di sini melintas dengan santai dan pemandu kenderaan menunggu dengan sabar. Ini berbeza di negara kita - terdapat segelintir pemandu kenderaan yang tak tahu peraturan zebra crossing. Nak menuju ke arah negara maju, mentaliti rakyat perlulah berubah - patuhi peraturan dan undang-undang
Kami masuk ikut pintu utama bangunan Nippori Station. Ada pilihan untuk mendaki anak tangga atau menggunakan eskalator. Kalau tak salah ingatan, saya nampak ada lif di suatu sudut yang agak tersorok
Kalau tahu lebih awal tadi, tak perlulah Encik Suami menjinjing bagasi menuruni anak tangga yang jauh ke bawah semasa keluar dari stesen. Tapi laluan tadi dicadangkan oleh Google Maps tentu kerana jaraknya lebih hampir dengan hotel
[Tip] Dengan menggunakan aplikasi Google Maps, kita boleh pilih untuk elak penggunaan tangga. Selepas pilih Directions, pilih mode berjalan kaki, pilih Trip Options - Wheelchair accessible. Tetapi, laluannya mungkin lebih jauh berbanding melalui anak tangga dan bukan semua tempat ada kemudahan lif
⏵ KAD IC SUICABagi memudahkan penggunaan tren selama empat hari di Tokyo, kami membeli kad IC Suica iaitu sejenis kad prabayar. Tak nak beli pun boleh je, cuma leceh sikitlah kena beli tiket setiap kali nak naik tren.
Kad Suica bukanlah kad penjimatan, kalau nak jimat kena beli rail pass. Tapi sebelum beli rail pass wajib buat kira-kira kadar tambang berdasarkan itinerari kita. Kami tak beli sebarang pas sebab fokus cuma berjalan-jalan di sekitar Tokyo dan tak ada itinerari tetap. Jadinya tak berbaloi jika kami membeli rail pass.
Info lanjut berkenaan rail pass boleh baca di Japan-guide.com, siap ada rail pass calculator untuk kira sama ada berbaloi atau tidak pembelian pas tersebut
Kami beli kad Suica di mesin tiket yang tertera ‘Commuter Pass / Suica’ (rujuk foto di atas)
Saya dan Encik Suami bergilir membeli sendiri kad Suica supaya masing-masing dapat pengalaman. Tak begitu susah nak menggunakan mesin tiket kerana terdapat pilihan bahasa Inggeris. Cuma perlu baca setiap arahan dengan teliti dan masukkan maklumat diminta dengan tepat
Semasa membeli kad baharu, deposit 500 yen akan ditolak daripada nilai pembelian. Kami bayar 3,000 yen bagi setiap kad, maksudnya boleh gunakan 2,500 yen sahaja untuk buat transaksi. Wang deposit akan dikembalikan semasa kita pulangkan kad Suica
[Info]IC cards are rechargeable cards that can be used to conveniently pay fares on public transportation and to make payments at many vending machines, shops and restaurants by simply touching the card on a reader for about one second. Dozens of train and bus operators across Japan have started issuing their own IC cards since 2001.
Instead of physical IC cards, it is possible to use digital versions of some of the cards on mobile phones; however, at present, oversea tourists can do this only if they own an Iphone.
Suica is the prepaid IC card by JR East for JR trains in the Greater Tokyo, Niigata and Sendai regions. A special version of Suica, called Welcome Suica, is available to foreign tourists. The special cards are valid for only four weeks, come without a deposit fee, but do not allow for refunds. [Sumber dan info lanjut di Japan-guide.com]
Pelancong asing boleh membeli sama ada kad Suica atau pun kad Welcome Suica. Kami memilih untuk beli kad Suica kerana ada cetakan nama sendiri, baki boleh refund dan penggunaan kad sah selama 10 tahun dari tarikh akhir kad digunakan. Makna kata - dalam masa 10 tahun dari kunjungan terakhir, kami mesti kembali ke Jepun sebab dah ada kad Suica. Alasan yang tak kukuh dan sengaja direka 😆
Kad Suica milik saya
Selepas membeli kad Suica, kami naik tren JR Yamanote Line menuju ke lokasi pertama dalam itinerari - Akihabara. Cara menggunakan kad Suica - sentuh kad pada reader card yang tertera ‘IC’ semasa melalui ticket gate.[Info] The Yamanote Line is a circular train line in Tokyo, Japan that connects many of the city's major stations. It's also known as the “Tokyo Loop Line”.
Suasana di platform menunggu tren. Di luar waktu puncak, orang tidak ramai. Sebenarnya, saya sedikit terkejut melihat keadaan di sini. Saya bayangkan di Tokyo semua sistem pengangkutan rel berwajah moden, tetapi nampaknya sangkaan saya meleset 😄
Kadar tambang dari Nippori Station ke Akihabara Station : 167 yen
⏵ NIKONIKO MAZEMEN, AKIHABARAEkplorasi kami di bumi Tokyo bermula dengan aktiviti JJCM (jalan-jalan cari makan) di Akihabara. Nikoniko Mazemen sebuah kedai makan halal yang terletak di Kanda Sudachō, Chiyoda City menjadi pilihan sebab lokasinya berhadapan dengan Masjid Akihabara. Lepas makan, boleh terus ziarah masjid dan menunaikan solat jamak
Kami berjalan kaki sejauh kira-kira 400 meter dari Akihabara Station menuju ke restoran Nikoniko Mazemen dengan panduan aplikasi Google Maps
Pukul 11.50 pagi, kami tiba di hadapan restoran Nikoniko Mazemen
Kecil je ruang di dalamnya. Kami tak boleh masuk sebab semua tempat duduk dipenuhi pelanggan
Pemilik restoran - seorang lelaki Muslim berasal dari Sri Lanka menyapa kami dan meminta kami duduk menunggu giliran. Deretan bangku tersedia di seberang jalan restoran ini. Selain kami berdua, ada seorang lelaki yang juga sedang menunggu giliran.
Restoran ini terletak di sebatang jalan kecil yang lengang, jadinya tidaklah kami ‘makan asap’ sewaktu menunggu di tepi jalan begini 😄. Sambil duduk menunggu, kami diberi kad menu untuk membuat pesanan
Klik foto untuk paparan lebih jelas
Minuman Ninja Lager - halal beer katanya. Boleh minum ke tidak? Kena kaji pembuatan produk dan hukum berkaitan. Tapi saya tak minat mencuba, jadi tak buat carian berkenaan produk ini
Lebih kurang 10 minit menunggu, kami dijemput masuk restoran
Ruang dalamnya sangat kecil dengan semua pelanggan duduk makan di keliling tempat masak - macam di kaunter bar. Saya tak rakam sebarang foto suasana dalam restoran sebab rasa segan - di hadapan kami para pekerja sedang menyediakan hidangan dan kedudukan rapat bersebelahan dengan pelanggan lain yang sedang makan
Walaupun pemiliknya orang Sri Lanka, saya perhatikan para pekerjanya orang Jepun - berdasarkan rupa wajah dan bahasa pertuturan sesama mereka
Kami tak perlu menunggu lama, satu per satu makanan dihidangkan
Spicy ramen / 1,390 yen. Ini merupakan pengalaman pertama kami makan ramen, sebab tu cuma pesan satu mangkuk supaya tak membazir jika tak kena selera. Tapi rupa-rupanya, rasa ramen pertama kami ini sangat sedap! Tahap pedasnya pun biasa je
Chicken fried dumpling / 590 yen. Makan panas-panas, sangat sedap
Shrimp fry / 390 yen. Yang ini pun sedap rangup gorengan tepungnya
Alhamdulillah, pengalaman makan pertama kali di Jepun yang sangat memuaskan selera. Setelah mencuba ramen di beberapa restoran selama berada di Tokyo, kami sependapat bahawa ramen di sini paling menepati cita rasa
Hasrat hati nak datang makan di sini sekali lagi untuk mencuba masakan Japanese curry, tapi tak berkesempatan. InsyaAllah kalau ke Tokyo sekali lagi, pasti kami akan datang mengulang makan di sini
Kos makan-makan kami di Nikoniko Mazemen sebanyak 2,720 yen
**************************************
NIKONIKO MAZEMEN2 Chome-15-1 Kanda Sudacho,Chiyoda City,Tokyo 101-0041,Japan
Telefon : 03-6320-6573
Waktu operasi :11.30 pagi - 3 petang5.30 petang - 10 malam(Pesanan akhir diterima 30 minit sebelum tamat waktu operasi)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ujieothman.blogspot.com/2025/02/kad-ic-suica-dan-menikmati-ramen.html