K Pop Pentagon Tidak Jemu Buat Eksperimen Lagu Demi Kepuasan Peminat
ALASAN tidak mahu menjadi penghibur yang membosankan mungkin kedengaran remeh. Namun, itulah matlamat utama kumpulan PENTAGON dari Korea Selatan.
Kumpulan yang ditubuhkan di Seoul pada 2016 dan dianggotai Jinho, Hui, Hongseok, Shinwon, Yeo One, Yan An, Yuto, Kino dan Wooseok ini tampil dengan misi untuk mencabar diri dari pelbagai aspek. Namun, muzik yang berkualiti tetap agenda utama mereka.
Jika diikutkan, mereka mahu melakukan banyak eksperimen, namun tidak mahu membosankan peminat dengan satu sisi sahaja dalam muzik.
Disebabkan itu, mereka bekerja-keras untuk album terbaru berjudul "WE:TH".
"Setiap masa, kami mencari idea bagaimana muzik yang patut kami sajikan untuk peminat serta audiens yang lebih besar. Kami cabar diri dengan menyuntik elemen baharu dalam setiap album.
"Kami percaya lagu Daisy dan album baharu kami adalah pengembaraan berbeza. Ia adalah karya kami sendiri. Banyak genre yang sudah PENTAGON lakukan. Setiap genre itu kami berjaya laksanakan dan tiada sekali pun rasanya kami gagal berbuat demikian," kata Hongseok.
Menurut mereka, pembabitan dalam program Road to Kingdom sebelum ini adalah pengalaman sangat berguna. Ia berjaya membentuk mereka berfikiran lebih tajam dalam bekerja.
Menurut Yeonne, untuk menjadi penghibur terkemuka, ia bukan sekadar menakluki carta muzik, tetapi setiap inci gerak-geri mereka perlu dititikberatkan termasuk cara pemakaian dan konsep kumpulan.
"Road to Kingdom amat membantu meluaskan perspektif kami mengenai cara menguasai pentas. Ia turut membantu kami memberi perhatian terhadap setiap perkara antaranya pakaian dan konsep.
"Program itu juga membantu kami mempromosikan nama PENTAGON dan menonjolkan kemampuan kami," katanya.
Shinwon berkata, secara peribadi dia mahu melihat semua yang membantu mereka sama ada secara langsung atau tidak tersenyum bangga.
"Kami mementingkan konsep dan selalu tampil lebih garang, tapi kali ini kami mahu kelihatan lebih menawan pula.
"Semestinya kami mahu menjadi nombor satu dalam program muzik. Saya berdoa supaya semua orang baik peminat, rakan anggota dan kakitangan kami tersenyum selepas aktiviti promosi ini tamat," katanya.
Yan An yang terpaksa pulang sebentar ke China sebelum ini pula mengakui seronok dapat kembali menyertai rakan-rakannya.
Yang pasti, dia kembali dengan tenaga berbeza yang turut disalurkan dalam album baharu itu.
"Niat saya mahu kembali ke Korea Selatan tahun ini begitu membuak-buak. Menerusi album ini, anda akan menyedari saya berjaya memperbaiki diri selepas tempoh berehat itu. Saya sangat gembira dapat kembali di pentas bersama anggota kumpulan yang lain," katanya.
Bercerita mengenai Yan An, Kino berkata, dia sangat kagum dengan kemahiran Yan An menari sebaik dia kembali dari China.
Dia juga memuji semangat Yan An yang sanggup berguru secara peribadi di negaranya bagi membuktikan kemampuan dirinya.
"Kami terkejut melihat tariannya kini sangat baik. Ketika di China, dia banyak habiskan masa menjalani latihan tarian terutama gaya tarian ular tedung semakin dikuasainya,"
katanya.
Berbicara mengenai album baharu itu, Kino berkata, ikatan antara mereka kian erat selepas penghasilannya.
"Setiap langkah, setiap minit dan setiap album PENTAGON adalah proses mengeratkan ikatan antara kami. Kombinasi idea untuk tampilkan pembaharuan sememangnya cukup istimewa,
" katanya.
Kino berkata, bukan mudah untuk menghasilkan album terutama apabila ada lagu yang terpaksa disimpan kerana hanya perlu memilih enam lagu saja."
Memandangkan kami tahu setiap kekuatan dan kelemahan masing-masing, jadi kami hasilkan lagu yang terbaik untuk kami. Menerbitkan muzik sendiri memberikan ruang untuk kami salurkan mesej menerusi lirik yang ikhlas.
"Memang bukan mudah. Semua lagu yang dihasilkan setiap anggota bagus-bagus belaka dan sedih tidak dapat dimuatkan semuanya," katanya.
Baru-baru ini, PENTAGON tampil dalam satu persembahan istimewa bagi meraikan kemunculan mereka semula selepas berehat.
Sidang media maya yang diadakan selepas itu turut disertai puluhan media dari Asia.
펜타곤(PENTAGON) - '데이지(Daisy)' M/V (Performance Ver.)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://viralglamour.blogspot.com/2020/10/k-pop-pentagon-tidak-jemu-buat.html