Jumlah Perdagangan Malaysia Dijangka Cecah Rm2 Trilion
KUALA LUMPUR, 4 FEB: Jumlah perdagangan Malaysia dijangka mencecah RM2 trilion pada 2020, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.
Beliau berkata sasaran itu adalah berasaskan kepada jangkaan pemulihan persekitaran ekonomi global serta harga komoditi yang bertambah baik.
“Sasaran yang sihat adalah untuk melihat (jumlah perdagangan) mencecah hampir RM2 trilion (sebelum penularan coronavirus) atau peningkatan 2.0 peratus dalam import dan eksport.
“Ia adalah sasaran yang baik untuk disasarkan kerana kita tidak dapat mencapainya tahun lepas. Mungkin dengan situasi global yang bertambah baik, beserta peningkatan harga minyak sawit mentah dan harga minyak, yang memberi manfaat kepada negara pengeksport minyak seperti Malaysia.
“RM2 trilion adalah sasaran yang baik untuk disasarkan,” katanya kepada pemberita selepas mengumumkan prestasi perdagangan Malaysia bagi 2019, di sini, hari ini.
Jumlah perdagangan negara menguncup sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.835 trilion pada 2019 sejajar dengan permintaan global yang lemah di tengah-tengah ketegangan perdagangan dan keadaan ekonomi luaran yang kurang memberangsangkan.
Lebihan perdagangan Malaysia terus mencatatkan pertumbuhan dua angka bagi tiga tahun berturut-turut, meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM137.39 bilion berbanding RM123.78 bilion pada 2018.
Ini adalah lebihan perdagangan terbesar sejak 2009 yang merupakan pencapaian lebihan perdagangan tahun ke-22 berturut-turut bagi Malaysia.
Eksport turun sedikit sebanyak 1.7 peratus kepada RM986.4 bilion daripada tahun sebelumnya, manakala import susut sebanyak 3.5 peratus kepada RM849.01 bilion.
Perdagangan rendah direkodkan dengan Singapura, Hong Kong, Perancis, Thailand dan Jepun, manakala perdagangan tinggi dicatatkan dengan Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu, Filipina, Kemboja, Mexico dan United Kingdom (UK).
Mengenai kesan daripada perang perdagangan AS-China ke atas Malaysia, Ong berkata eksport elektrik dan elektronik ke AS meningkat ketara dan itu merupakan sebahagian daripada pempelbagaian pengeluaran yang berlaku di Asia Tenggara serta rantaian nilai elektrik dan elektronik global.
“Negara-negara lain mendapat lebih manfaat. Vietnam sudah pastinya mendapat lebih manfaat berbanding Malaysia dari segi strategi pempelbagaian ini tetapi saya rasa kita tidak perlu risau mengenainya.
“Apa yang kita mahu bagi Malaysia adalah peningkatan mampan dari segi perdagangan dan pengeluaran,” katanya.
China kekal sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia bagi 11 tahun berturut-turut dan menyumbang 17.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2019.
Perdagangan dengan China bernilai RM315.19 bilion dengan peningkatan kecil sebanyak 0.2 peratus dari 2018.
Kuantiti eksport minyak sawit dan produk minyak sawit meningkat 10.9 peratus kepada 28 juta tan metrik meskipun penurunan nilai eksport sebanyak 4.0 peratus kepada RM64.84 bilion.
India merupakan destinasi eksport utama bagi minyak sawit dan produk minyak sawit pada 2019 dengan nilai perdagangan meningkat sebanyak 43 peratus kepada RM9.78 bilion, diikuti China (RM9.17 bilion) dan Belanda (RM4.52 bilion).
“Kita yakin dalam berhati-hati yang eksport minyak sawit kita akan berkembang pada 2020. India mengurangkan tarif MSM bagi ASEAN berikutan perjanjian perdagangan bebas kepada 37 peratus pada 2019.
“Baru-baru ini kenaikan tarif meningkat sekali lagi kepada kira-kira 44 peratus tetapi ia bukan ditujukan kepada Malaysia sahaja tetapi juga negara-negara lain yang berada di luar perjanjian perdagangan bebas India,” katanya.
Sementara itu, Ong berkata Dasar Automotif Nasional telah dibentangkan kepada kepada Kabinet dan diluluskan.
“Kita masih menunggu Perdana Menteri memberikan tarikh bila ia akan dilancarkan,” katanya.
-BERNAMA
Free IPTV @5tr0kk +500 Channel
Tonton TV online secara percuma dari handfon atau android box anda!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ohsemput.blogspot.com/2020/02/jumlah-perdagangan-malaysia-dijangka.html