Jimat Kos Rm 1billion
Positif ujian air kencing tidak semestinya menjadi bukti seseorang itu penagih, kata pakar pemulihan dan rawatan dadah.
Ketua Jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Mahsa, Prof Dr Hussain Habil berkata bagi mengesahkan seseorang itu penagih mereka perlu diperiksa oleh doktor dan bukan penguatkuasa.
Pengenalpastian sama ada seseorang itu mempunyai penagihan dadah sebenarnya bukan melalui air kencing.Pengesahan penagihan perlu dilakukan melalui pemeriksaan klinikal oleh doktor. Bukan polis. Bukan pegawai penguatkuasa, katanya yang juga pakar kesihatan mental dan bekas presiden Persatuan Psikiatrik Asean.
Beliau menjelaskan sekiranya seseorang diputuskan sebagai penagih hanya berdasarkan keputusan air kencing, maka kaedah tersebut merupakan "suatu kecuaian dalam prosedur pemeriksaan perubatan."
Pandangan Prof Hussain turut dikongsi Pengerusi Kumpulan Reformasi Polisi Dadah, Dr Mohamad Sallehin Abu Bakar.
Kita kena perbetulkan (undang-undang), air kencing positif dadah tak semestinya dia seorang penagih dadah.Saya bagi senario contoh sekumpulan anak muda yang baru habis belajar tamat pengajian mereka di universiti. Mereka mahu bergembira. Maka pergilah ke karaoke. Maka duduklah ramai-ramai.Tetapi salah seorang kawan bawa seseorang yang tidak dikenali mereka. Budak-budak ini berseronok sedangkan kawan baru mereka sedang menghisap kanabis.Dalam keadaan tertutup berjam-jam mereka menghidu asap tersebut. Tiba-tiba datang polis atau AADK dan membuat ujian air kencing.Agak-agak positif tak (air kencing) budak-budak ini? Soalnya.
Menurut Sallehin anak-anak muda dalam senario yang dinyatakannya itu hancur masa depannya kerana akan dihumban dipenjarakan berdasarkan keputusan ujian air kencingnya.
"Anak muda kita, air kencing positif maka mereka akan diheret ke mahkamah. Walaupun mereka tidak mempunyai penagihan tetapi boleh menghadapi hukuman dua tahun (penjara). Apa jadi?
"Masa depannya hancur kerana sabitan rekod jenayah. Tambahan lagi keadaan dalam penjara. Masuk kes kanabis, lepas dua tahun dia jadi profesor dalam bidang dadah pula. Upgrade kepada heroin atau syabu yang jauh lebih memudaratkan,"
Akta lapuk tak pulihkan pengguna dadah
Sallehin turut memberi pendapatnya tentang aspek perundangan yang menjenayahkan pengguna dadah.
Undang-undang lapuk terutamanya Akta Dadah Berbahaya yang digubal pada tahun 1952 tidak dapat memulihkan mereka yang mempunyai masalah penagihan dadah.Sebaliknya menambah stigma masyarakat. Orang yang sama sahaja asyik ditangkap oleh penguatkuasaan. Keluar masuk penjara dan kos urine test ini siapa yang dapat untung tu? Rakyat saja yang rugi, katanya.
Menjelaskan lanjut, Sallehin memberi contoh minuman alkohol yang memerlukan peraturan bagi mengawal-selia penggunaan, penjualan dan pengedarannya.
Peraturan melarang seseorang itu bekerja, mengendalikan mesin atau memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol tetapi undang-undang tidak menjenayahkan arak berlesen dan peminumnya jika diguna bagi tujuan rekreasi.
Kalau dia mabuk kerana minum arak dan menyebabkan kemalangan, maka heretlah orang ini ke mahkamah.Tapi kalau dia nak minum seorang-seorang, itu antara dia dengan tuhan di akhirat nanti.Kalau kes dadah, mereka yang mempunyai masalah penagihan, maka kita rawat dia dengan cara saintifik. Tetapi kalau dia melakukan jenayah lain seperti ragut dan curi, mereka akan dihukum mengikut undang-undang yang sedia ada.Kita bukan mendukung legalisasi dadah tetapi sekadar menggantikan sabitan jenayah pengguna dadah dengan rawatan perubatan. Pengedaran dadah tetap salah, katanya.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad pada 27 Januari lalu menyatakan persetujuannya dengan syor Menteri Undang-Undang Liew Vui Kong supaya undang-undang berkenaan rawatan penagihan dadah perlu dikaji semula.
"Dengan adanya lebih 900 klinik methadone kerajaan dan swasta di seluruh negara serta kewujudan one stop centre bagi tujuan rawatan dengan dibantu oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan dalam memberikan kaunseling dan memulihkan penagih dadah, diharapkan semua pihak memainkan peranan bersama bagi mengatasi isu ini," kata Dzulkefly pada Persidangan Kesihatan Mental dan Ketagihan anjuran Persatuan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Universiti Mahsa, Pusat Penyelidikan Sains Ketagihan Universiti Malaya (Umcas) di Kuala Lumpur.
Takrif pengguna dadah sebagai penjenayah
Prof Hussain yang juga ahli lembaga penasihat senat universiti Mahsa merupakan antara orang yang bertanggungjawab memperkenalkan pemberian ubat methadone bagi merawat ketagihan heroin di negara ini pada awal tahun 2000.
"Sebenarnya hal ini telah kita buat kajian, yang paling berkesan apabila kita buat program pengurangan mudarat (harm reduction) di mana pada 2001, 79.6 peratus kes jangkitan baru HIV yang dilaporkan adalah dari pengguna dadah suntikan (PWID), dan (turun menjadi) 3.44 peratus pada tahun 2017.
"Kita dah tunjukkan kos. Dan bukan sahaja dari segi jangkitan HIV. Yang tidak boleh bekerja boleh bekerja.
"Melalui program rawatan pemberian methadone dan program pengurangan mudarat kadar peserta program yang mendapat pekerjaan juga meningkat," katanya yang juga bekas ketua Jabatan Psikologi Perubatan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Prof Hussain yang turut bertanggungjawab merangka pendekatan psikologi Islam untuk Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) berkata polisi kerajaan sekarang yang mentakrifkan pengguna dadah sebagai penjenayah lebih banyak memberi mudarat.
"Kita tengok lebih memudaratkan. Mereka yang mempunyai masalah penagihan perlu dianggap sebagai pesakit dan bukan penjenayah.
“Kita nak fokus kepada merawat penagihan dadah. Biar polis, penguatkuasa menangani pengedar dadah.
“Kita nak ajukan rawatan secara perubatan adalah lebih kos effective daripada apa yang kita laksanakan sekarang. Ini semua evidence based bukan sekadar cakap,” jelasnya lagi.
Jimatkan kos RM1 bilion
Dr Sallehin pula berkata dari segi kos berbanding dasar memenjarakan pengguna dadah, polisi pengurangan mudarat dianggarkan dapat menyelamatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM1 bilion setahun.
Beliau berkata menurut satu kajian yang dijalankan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat ubatan, Universiti Sains Malaysia (Centre for Drug Research) pada tahun 2018,
Kos tahunan untuk rawatan dan pemulihan seorang penagih adalah RM20,690 bagi penjara RM38,530 untuk pusat Serenti kos rawatan methadone di klinik kesihatan kerajaan cuma RM6560 setahun .
Pertama kita akan selamatkan wang rakyat, sekurang-kurangnya RM1 bilion setahun. Itu hanya yang kita kirakan dari segi kos rawatan dan pemulihan
Suatu kajian yang didanai Bank Dunia dan dijalankan oleh Centre of Excellence for Research in AIDS (Ceria) Universiti Malaya pada 2014 menunjukkan program pengurangan mudarat melalui program rawatan methadone, Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) dan program intervensi psikososial seperti perkhidmatan kaunseling berjaya mengurangkan jangkitan HIV di kalangan pengguna dadah suntikan (PWID).
Kajian tersebut menjangkakan dari 2006 ke 2050 kira-kira RM910 juta kos kesihatan boleh dijimatkan jika terapi methadone dan program pertukaran jarum suntikan diteruskan.
Kajian itu turut menyebut secara puratanya pada tempoh waktu itu (2006-2050), negara akan mendapat pulangan sebanyak RM1.13 bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk program pengurangan mudarat ini, manakala bebanan kewangan kos kesihatan bagi sekitar 23,000 jangkitan HIV dapat dihindarkan pada dekad mendatang.
Sallehin selanjutnya menggesa supaya doktor yang diberi tanggungjawab untuk aspek rawatan penagihan dadah, manakala AADK diperlukan untuk perkhidmatan kaunseling psikososial.
“Apa yang kita harapkan juga, kaedah rawatan ini dipertingkatkan lagi di Malaysia dan kita mahu para doktor yang lakukannya.
“Sebab Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) sudah mengiktiraf penagihan dadah ialah satu penyakit kronik yang mudah berulang (chronic relapsing disease) dan berpanjangan," katanya.
Menurut Klasifikasi Penyakit Antarabangsa WHO pada 1994, masalah ketagihan pada sesuatu bahan merupakan sejenis gangguan mental, ini termasuklah kebergantungan terhadap alkohol dan dadah (sama ada yang haram atau dengan preskripsi doktor).
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://bankami.blogspot.com/2019/01/jimat-kos-rm-1billion.html