Jika Rasa2 Tak Mampu Tunaikan Janji Baiklah Minta Maaf Dan Letak Jawatan Dengan Segera
Di mana-mana ketika ini, semakin ramai yang bersuara menuntut agar kerajaan PH segera menunaikan janji-janji utama yang dibentangkan kepada rakyat sebelum PRU14 lalu.
Bukan saja mereka yang merupakan penyokong BN dan rakyat biasa yang mula menuntut perkara tersebut, malah ketika ini kalangan daripada dalam PH sendiri sudah tidak segan-segan bersuara mengenainya.
Anwar Ibrahim dan Dr. Rais Yatim adalah antara yang agak ke depan mahukan kerajaan menunaikan janji-janji manifesto itu, terutama untuk memungkinkan nasib malang di Semenyih dapat dielakkan sepertimana di Cameron Highlands.
Blog ini juga sudah beberapa kali memuatkan tulisan betapa perlunya manifesto PRU14 segera diusaha untuk ditunaikan sebelum kesan penolakan rakyat kian membesar yang akhirnya menyebabkan PH kecundang dalam PRU15 akan datang.
Realitinya, apakah kerajaan PH ini benar-benar serius mahu menunaikan janji mereka?
Benarkah kekangan kewangan kerajaan benar-benar merupakan halangan yang tidak dapat dielakkan untuk menunaikan semua janji manifesto itu?
Sebagai kerajaan yang berjaya menumbangkan BN buat pertama kali sejak merdeka dan sebahagian kejayaan itu adalah atas janji-janji bulan madu yang dihamburkan kepada rakyat, Tun Mahathir Mohamad dan PH tidak boleh semudahnya lepas tangan atau berlengah-lengah dalam perlaksanaannya.
Rakyat lebih menilai kejayaan kerajaan jika mampu menunaikan banyak janji kepada tersebut berbanding keghairahan Tun Mahathir mahu menjulang namanya kembali di pentas antarabangsa atau kerapnya beliau melawat luar negara.
Bukan tidak penting melakukan lawatan ke luar negara atau menjalin hubungan dengan negara luar, tetapi glamour di pentas antarabangsa tidak akan menyebabkan perut rakyat terisi dengan sendirinya.
Pokoknya, utamakan kepentingan rakyat sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan hal-hal yang lain.
Jika pun beban kewangan merupakan halangan yang terlalu besar, apakah salah jika kerajaan meminjam lagi demi untuk memberi kesejahteraan dan kebahagiaan kepada rakyat sendiri?
Bukankah suatu ketika dahulu Tun Mahathir sendiri pernah menyebut di pentas Perhimpunan Agung UMNO tentang perlunya kerajaan meminjam daripada negara luar yang sedia memberi faedah rendah asalkan negara terus membangun dan kepentingan rakyat sentiasa terjaga?
Lagi pun, kata Tun Mahathir lagi pada waktu itu, jika meminjam pun bukan beliau yang akan membayarnya!!
Isunya, di ketika desakan kian kuat menuntut kerajaan menunai janji manifestonya ketika ini - terutama berkaitan tol, hutang peneroka dan PTPTN, selain beberapa yang lain yang memerlukan komitmen kewangan - kenapa kerajaan tidak sedia untuk meminjam sekali lagi?
Sebaliknya, jika mahu menunggu kedudukan kewangan selesa dan tidak meminjam baru mahu menunaikan janji-janji manifesto itu, sampai bila rakyat harus bersabar?
Apakah setelah ditolak rakyat di peti undi dalam PRU15 nanti maka barulah PH mahu bangun kembali dengan janji-janji barunya?
Dalam hal ini, PH harus sedar peluang kemenangan mereka dalam PRU14 adalah peluang sekali seumur hidup saja.
Kiranya dalam pilihanraya umum akan datang PH kecundang dan ditolak rakyat, percayalah ia tidak akan mampu untuk bangkit kembali.
Gagal menunaikan janji akan membuatkan PH tidak lagi dipercayai sampai bila-bila. Malah dengan hilangnya kuasa PH itu nanti, Bersatu terutamanya akan turut masuk kubur sekali.
Sebab itu, janji manifesto penting sekali untuk tidak dimungkiri.
Menjelang sembilan bulan berkuasa dan didapati masih banyak janji 100 hari gagal ditunaikan, apa lagi janji dalam lima tahun tempohnya, PH mulai sekarang perlu berfikir secara serius dan jika boleh sebulan sekali mesti mengadakan mesyuarat berkenaan bagaimana untuk melaksanakannya.
Boleh?
Jika rasa-rasa menunaikan janji itu terlalu berat dan tidak mampu untuk ditanggung lagi, lebih baiklah PH, termasuk Tun Mahathir dan menteri-menteri kabinet sedia ada agar meminta maaf secara terbuka kepada rakyat dan kemudian meletakkan jawatan dengan segera.
Jangan terus bermuka-muka dan membuatkan rakyat kian terseksa.
Apa kata untuk seterusnya kita cuba pula PM8 menunaikan janji-janji yang tergendala itu? (ShahbudinHusin 30/01/2019)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/01/jika-rasa2-tak-mampu-tunaikan-janji.html