Jika Muhyiddin Dijatuhkan Hari Ini Ada Pihak Lain Jatuhkan Anwar Esok
Nizam Zain                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

A'zlan Abu Bakar              KUALA LUMPUR – Episod menukar kerajaan sedia ada dengan  dakwaan mempunyai cukup majoriti kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan  baharu bukan langkah baik kepada negara, apatah lagi ketika semua pihak  sedang bergelut memerangi penularan pandemik Covid-19.
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A’zlan Abu Bakar  merasakan keadaan politik hari ini dilihat hanya mementingkan  kelangsungan ahli politik tertentu dan jika tidak dibendung, cubaan  menggulingkan kerajaan akan berterusan tanpa kesudahan hingga  memangsakan rakyat.
“Kami harap ahli-ahli Parlimen tidak meneruskan pembentukan  kerajaan yang sentiasa berubah-ubah sejak kejatuhan Kerajaan Pakatan  Harapan (PH) lalu yang dilihat tidak akan berkesudahan.
“Seandainya perkara ini berlaku, ahli-ahli Parlimen akan terus  menyusun gerakan mengumpul majoriti sokongan membentuk kerajaan lain  pada masa akan datang.
“Akhirnya memberi kesan kepada rakyat hingga menjejaskan kesihatan,  peluang pekerjaan, pendidikan, aktiviti dan pertumbuhan ekonomi akibat  ketidakstabilan politik ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat  perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah  Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 13 Oktober.
Ia bagi membolehkan Anwar mempersembahkan keterangan lengkap mengenai  jumlah majoriti ahli Parlimen yang kukuh bagi membentuk kerajaan  baharu.
Menurutnya, mengikut Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, YDPA  mempunyai kuasa mutlak memanggil Parlimen untuk bersidang mahupun  membubarkan Dewan Rakyat.
“Pembentukan kerajaan baharu telahpun berlaku pada Mac 2020 apabila  Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik oleh YDPA sebagai Perdana Menteri  Malaysia.
“Mana kewarasan ahli Parlimen hari ini yang berpakat untuk menukar kerajaan semudah ABC.
“Di mana kebijaksanaan mereka ini? Mengapa ahli Parlimen ini mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada?” katanya.
Katanya lagi, jika episod menjatuhkan Perdana Menteri ini berterusan,  tidak mustahil akan ada pembentukan majoriti untuk menjatuhkan Anwar  selepas ini.
“Hari ni Anwar bentuk majoriti untuk jatuhkan Muhyiddin sebagai  Perdana Menteri, esok mungkin boleh jadi akan ada pembentukan majoriti  untuk menjatuhkan Anwar pula
“Ia akan terus berulang sehinggalah ramai rakyat akan mati akibat negara yang dilihat tiada penyelesaian,” katanya.
Dalam masa sama, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk hari  ini di atas kesepakatan antara parti-parti diharapkan untuk meneruskan  permuafakatan.
“Rakyat tahu inilah kerajaan Melayu dan Islam yang dibentuk.  Seandainya kerajaan ini dikhianati oleh antara parti yang bermuafakat  ini, terbukti matlamat mereka membentuk kerajaan Melayu Islam bukanlah  seperti yang dikatakan.
“Tetapi bukti kerakusan kuasa yang mereka ingin perdagangkan untuk kepentingan peribadi.
“Ayuhlah, kita membawa semangat bersama meletakkan keutamaan membina  Malaysia demi kesejahteraan rakyat di dalam saat getir menghadapi  cabaran penularan Covid-19 ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/jika-muhyiddin-dijatuhkan-hari-ini-ada.html