Jerebu Malaysia Bukan Dari Indonesia Menteri
JAKARTA – Indonesia hari ini menafikan berlakunya jerebu rentas sempadan dari republik ini yang menjejaskan negara jiran, Malaysia dan Singapura.
Bagaimanapun kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan (LHK), Siti Nurbaya itu dilihat meragukan apabila sebanyak 1,278 titik panas dikesan satelit Terra Aqua di Sumatera, hari ini.
Malah, jerebu tebal itu mendorong kerajaan tempatan Jambi mengarahkan sekolah di wilayah itu ditutup selama beberapa hari, langkah yang turut diikuti daerah Pekanbaru dan Siak di Riau.
“Langkah pemadaman kebakaran hutan dan tanah terus dilakukan di semua tempat titik kebakaran,” kata Siti Nurbaya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurutnya yang dipetik agensi berita Antara, langkah penguatkuasaan telah dilakukan di Kalimantan Barat dan sebanyak 19 konsesi telah ditutup selepas berlaku kebakaran hutan dengan sebab mencurigakan.
“Kerajaan sedang meneliti petunjuk kebakaran dipercayai disengajakan itu dengan memahami jaringan kerja kebakaran mencurigakan itu,” katanya.
Tambahnya, 99 peratus kebakaran hutan dan tanah di Indonesia adalah disengajakan akibat perbuatan manusia.
“Kami tidak akan membiarkan pihak yang sengaja membakar hutan dan tanah ini. Kami akan dan bertindak tegas terhadap mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG), R. Mulyono R. Prabowo dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 2,510 titik panas dikesan satelit Terra Aqua di negara-negara ASEAN bermula 4 September hingga 7 September lalu.
“Seluruh titik panas tersebut tersebar di beberapa wilayah negara ASEAN antaranya Indonesia (Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah, dan Kalimantan Selatan), Malaysia, Filipina, Papua New Guinea, Vietnam, Timor Leste, dan Thailand,” katanya.
Namun katanya, berdasarkan pemantauan menerusi Satelit Himawari-8, jerebu yang dikesan di Malaysia tidak berpunca dari wilayah Sumatera, tidak seperti yang dilaporkan oleh media asing sebelum ini.
Sementara itu, CNN Indonesia melaporkan, bacaan kualiti indeks udara berbahaya di wilayah Jambi memaksa kerajaan mengeluarkan notis penutupan sekolah di bandar itu untuk beberapa hari.
“Penilaian kepekatan partikulat PM 2.5 pada 8 September pada pukul 9.30 malam waktu tempatan berada di atas standard kualiti dengan nilai 513, yang bermaksud berbahaya dan kerajaan memutuskan sekolah dicutikan,” kata jurucakap kerajaan Jambi, Abu Bakar.
Selain Jambi, sekolah di beberapa daerah Riau termasuk Pekanbaru turut diberikan cuti sehingga Rabu selepas jerebu tebal mengakibatkan jarak penglihatan di daerah itu turun kepada dua kilometer sahaja. – AGENSI
The post Jerebu Malaysia bukan dari Indonesia – Menteri appeared first on Media Serius.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mediaserius.my/jerebu-malaysia-bukan-dari-indonesia-menteri/