Jemputan Trump Ke Sidang Asean Langkah Strategik Bukan Isyarat Memihak
HarapandailyOctober 8, 2025Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47, disifatkan sebagai langkah strategik dan pragmatik, bukannya tanda Malaysia atau ASEAN berpihak kepada Washington.
Penganalisis geopolitik Ahmad Firdaus Mohd berpendapat, jemputan itu perlu dilihat dalam konteks realiti baharu dunia pasca-globalisasi yang kini dikawal oleh kuasa ekonomi dan kewangan, bukannya kekuatan tentera semata-mata.
“Suka atau tidak, AS masih menjadi penentu arah ekonomi dunia. Apabila kadar faedahnya dinaikkan, kesannya segera dirasai di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
“Ringgit melemah, pelabur beralih, dan harga barang meningkat,” katanya dalam satu kenyataan analisis.
Beliau menjelaskan, pengalaman dunia menyaksikan bagaimana Washington menunjukkan kekuatan sebenar melalui kuasa mengawal aliran wang global, seperti yang berlaku apabila Rusia disekat daripada akses kepada dolar Amerika pada 2022 selepas menceroboh Ukraine.
Langkah itu, katanya, telah melumpuhkan ekonomi Rusia tanpa sebutir peluru pun dilepaskan, membuktikan bahawa pengaruh kewangan kini menjadi senjata utama kuasa besar dunia.
“Kuasa besar tidak lagi perlu menawan wilayah untuk menundukkan lawan. Cukup dengan mengawal peredaran modal, pasaran dan keyakinan pelabur,” ujarnya.
Dalam landskap antarabangsa yang kini berpaksi kepada tiga kutub utama iaitu Washington, Beijing dan Moscow, beliau menegaskan bahawa pragmatisme adalah pendekatan terbaik bagi Malaysia dan ASEAN.
“Menjemput Donald Trump ke Persidangan ASEAN bukan tanda berpihak kepada Amerika, sebaliknya langkah strategik untuk memastikan rantau ini terus relevan di mata semua kuasa besar,” katanya.
Ahmad Firdaus turut menjelaskan bahawa Trump bukan sekadar tokoh politik kontroversi, tetapi mewakili arus politik baharu di Amerika yang menolak globalisasi dan menuntut kepentingan nasional lebih diutamakan.
“Dunia di mata Trump ialah gelanggang tawar-menawar kepentingan. Dunia sedang berubah daripada sistem berasaskan prinsip kepada sistem berasaskan kepentingan,” tulisnya.
Kemahiran geopolitik
Menurut Ahmad Firdaus, dalam persekitaran global yang kian kompleks, keupayaan Malaysia dan ASEAN untuk berunding dengan semua kuasa besar tanpa terikat kepada mana-mana blok merupakan kemahiran geopolitik yang amat penting.
“Menjemput Trump ke meja rundingan ASEAN ialah isyarat bahawa Malaysia bersedia memimpin dialog, walaupun berbeza pandangan.
“Dunia kini lebih menghargai keberanian untuk berunding daripada keberanian untuk bermusuh,” tegasnya.
Tambahnya, masa depan rantau Asia Tenggara hanya akan terjamin jika ASEAN berani membentuk persekitaran serantau sendiri, bukan sekadar menjadi penonton kepada persaingan kuasa besar dunia.
Kelmarin, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, di Dewan Rakyat berkata, Trump diundang ke Sidang Kemuncak ASEAN pada hujung bulan ini atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, dan bukannya atas jemputan dua hala.
Mohamad Alamin berkata, Malaysia sebenarnya berkewajipan untuk menjemput semua rakan dialog ASEAN selaku Pengerusi ASEAN.
Beliau turut menekankan pendirian Perdana Menteri dan Menteri Luar terhadap Palestin kekal tegas, dan kehadiran Trump boleh memperkukuh usaha ke arah keamanan bersama negara-negara sehaluan seperti Qatar dan Mesir.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2025/10/jemputan-trump-ke-sidang-asean-langkah.html