Jemaah Haji Malaysia Yang Selalu Dirindui
BETAPA rindu orang Malaysia hendak mengerjakan haji, rindu lagi agaknya penjual barangan di sekitar Masjid Nabawi dan Masjidil Haram dengan jemaah negara ini.
Tanyalah siapa pun yang pernah pergi ke Mekah dan Madinah pasti antara cerita yang dikongsikan selain beribadat ialah keramahan penjual bangsa Arab yang boleh bertutur bahasa Melayu.
“Dari mana? Malaysia? Masya-Allah, tabarakallah saya suka. Malaysia bagus. Pemurah. Lima ringgit, sepuluh ringgit. Murah-murah, cantik-cantik.”
Itu antara dialog yang sering dituturkan peniaga asing itu. Namun cerita ini tidak lagi kedengaran sejak tahun lalu. Ia bersambung lagi tahun ini.
Tiada lagi fenomena pergi satu beg balik lima beg. Beg beranak orang panggil. Entah sampai bila episod ini akan bersambung belum dapat dipastikan.
Sebelum pandemik, dianggarkan 2.5 juta umat Islam akan berhimpun di Tanah Suci saban tahun yang pasti melonjakkan bisnes daripada tukang gunting rambut hinggalah kepada tauke restoran dan hotel lima bintang.
Daripada jumlah itu, 31,600 orang merupakan jemaah haji Malaysia. Ketika itu jugalah mereka akan mendapat kawan baharu. Bercerita mengenai kehidupan, kesihatan dan kemanisan beribadah.
Melalui perkenalan singkat melarat minum teh tarik di Restoran D’Saji atau makan aiskrim selepas selesai bertahallul. Persahabatan itu pula akan berpanjangan apabila pulang ke Malaysia.
Bagaimanapun, ketika ada segelintir bakal jemaah haji bersiap sedia untuk ke sana, satu berita gempar lewat petang Sabtu lalu telah menutup peluang mereka untuk berwukuf di Arafah tahun ini.
Keputusan kerajaan Arab Saudi tidak menerima jemaah luar negara kerana bimbangkan penularan Covid-19 disambut dengan perasaan bercampur baur.
Ada yang reda. Ada yang menangis lantaran sudah masuk tahun kedua dinafikan hak menunaikan rukun Islam kelima itu walaupun nama sudah berada di dalam senarai Lembaga Tabung Haji. Belum ada rezeki.
Keputusan itu juga menandakan ibadah haji tahun ini eksklusif untuk penduduk Arab Saudi dan sesiapa yang menetap di situ.
Tiada apa yang kita boleh lakukan kerana ketika ini Covid-19 masih mengganas di peringkat global melainkan sama-sama berusaha dan berdoa agar virus jahat ini segera pupus.
Sebenarnya selain beribadat, tujuan umat Islam pergi ke tanah haram ialah ingin melihat athar (kesan) sejarah Islam.
Kadang-kadang ia lebih membuatkan hati menjadi runtun dan sebak menjiwai kepayahan Nabi SAW dan para sahabat mempertahankan Islam.
Cukuplah sekadar membayangkan bagaimana baginda dan Abu Bakar mendaki Jabal Nur yang dipenuhi batuan tajam untuk bersembunyi di dalam Gua Hira ketika dikejar orang suruhan Abu Jahal.
Ketika kita berada di dalam kenderaan, perhatikan juga keadaan sekeliling dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah atau sebaliknya.
Jika di dalam bas pun sudah berasa lama, bagaimana agaknya keadaan Rasulullah SAW dan sahabatnya itu merentasi padang pasir ketika peristiwa hijrah.
sumber: Kosmo online
The post Jemaah haji Malaysia yang selalu dirindui appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suaraviral.org/jemaah-haji-malaysia-yang-selalu-dirindui/