Jelapang Baluh Rumah Padi
Kedah digelar negeri jelapang padi. Kelantan pula melalui usaha Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menjenamakan sebagai baluh padi.
Apakah jelapang padi dan baluh padi? Jelapang adalah rumah padi yang juga dipanggil kepuk padi iaitu tempat menyimpan padi yang telah kering untuk kegunaan pada masa hadapan atau apabila diperlukan.
Buah padi yang disimpan masih dalam kulit sama ada telah dileraikan atau masih pada tangkai. Biji padi yang masih pada tangkai diikat menjadi gemai.
Padi disimpan bersama tangkai untuk dijadikan benih pada musim akan datang. Buah padi yang disimpan dengan tangkai boleh tahan lebih lama.
Rumah padi didirikan tidak jauh dari rumah besar. Rumah padi menjadi identiti kepada 'kekayaan' pemiliknya. Jika rumah padi berukuran besar, bermakna keluarga ini mempunyai kawasan bendang yang luas.
Ada keluarga yang tidak mempunyai rumah padi. Padi yang dituai hanya disimpan di bawah rumah atau di tempat tertentu.
Rumah padi dibuat menggunakan bahan asas seperti rumah biasa atau bahan lain yang boleh berdiri sebuah rumah padi dan mampu menyimpan padi.
Penggunaan buluh yang dibelah dan dianyam dijadikan dinding rumah padi. Bahan lain digunakan ialah batang nibung, batang kelapa dan atap biasanya menggunakan atap nipah.
Rumah padi tidak mempunyai tingkap. Hanya ada satu pintu utama untuk keluar masuk.
Dalam rumah padi biasanya terdapat para untuk menyimpan gemal atau gemai padi. Ada juga galang buluh atau batang kayu diletakkan melintang untuk diletakkan gemal padi.
Pada bahagian bawah rumah padi biasanya dijadikan tempat untuk menyimpan peralatan membajak dan baja.
Sekarang ini rumah padi tidak lagi berfungsi, biarpun mungkin masih ada rumah padi yang dibiarkan berdiri di tempat asalnya. Ini kerana padi yang dituai biasanya terus dibawa ke kilang.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bicaramentari.blogspot.com/2019/03/gth.html