Jejaki Keindahan Hong Kong 8 Tempat Buktikan Bandar Ini Semakin Mesra Muslim
Jejaki Keindahan Hong Kong, 8 Tempat Buktikan Bandar Ini Semakin Mesra Muslim
Sebagai seorang Muslim, melancong ke negara yang majoritinya bukan Islam kadangkala mempunyai cabaran tersendiri. Mana tidaknya, soal makanan halal dan kemudahan solat perlu diberi perhatian. Namun kini, semakin banyak destinasi dunia yang menyediakan kemudahan mesra Muslim untuk pelancong.
Hong Kong misalnya, menawarkan pelbagai pilihan restoran halal, masjid dan hotel yang sesuai untuk percutian tanpa rasa ragu. Baru-baru ini SK sendiri berpeluang merasai pengalaman mesra Muslim di bandar penuh sejarah ini.
Selama lima hari di sana, SK sempat menjelajah pelbagai tarikan popular termasuk Disneyland. Dalam artikel ini, SK akan kongsikan pengalaman lengkap di lapan lokasi utama yang wajib anda kunjungi.
Sebelum SK bawa anda jelajah ke lapan lokasi utama, jom SK kongsikan dulu tentang penginapan. Sepanjang lima hari di Hong Kong, SK tinggal di hotel yang mesra Muslim, mudah diakses dengan pengangkutan awam dan berdekatan dengan beberapa tempat makan halal.
The Mira Hotel yang terletak di Tsim Sha Tsui juga sangat strategik kerana dipenuhi dengan kedai-kedai yang menjadi tumpuan ramai hingga lewat malam.
Melangkah masuk ke dalam bilik, SK ‘disambut’ dengan dekorasi selamat datang dan bungkusan sejadah di atas meja. Selain bilik yang mewah dan selesa, SK juga teruja apabila terdapat petunjuk arah kiblat yang disediakan bagi memudahkan urusan solat.

Lebih menarik apabila bidet khas turut disediakan di dalam tandas, jadi tidak perlu risau mengenai kebersihan ketika ‘melepaskan hajat’.
Makanan di hotel ini juga tidak kurang hebatnya. Dengan variasi menu halal, SK berpeluang menjamu selera di restoran Cuisine Cuisine. Enam hidangan yang disediakan mempunyai keunikan rasa yang tersendiri, menjadikan makan malam pada hari pertama di Hong Kong penuh makna.
Selain itu, pastinya ramai yang tertanya-tanya mengenai makanan untuk sarapan. Tidak perlu risau, terdapat bahagian makanan halal yang disediakan setiap pagi khusus untuk Muslim.
Ketua Bahagian Hotel dan Perkhidmatan, Alexander Wassermann berkata proses untuk mendapatkan pensijilan halal adalah sangat ketat dan teliti. Setiap tahun, jabatan agama yang bertanggungjawab di bandar itu akan melakukan audit bagi memastikan setiap bahan, resipi dan keseluruhan dapur memenuhi standard halal yang telah ditetapkan.

8 lokasi wajib dikunjungi, rasai pengalaman mesra muslim
Ocean Park
Tanpa berlengah lagi, mari kita teroka lokasi pertama yang patut ada dalam senarai bila pergi ke Hong Kong iaitu di Ocean Park. Selain kemeriahan permainan taman tema, SK juga dapat menyaksikan gelagat panda yang dinamakan Ying Ying dan Le Le ketika di sana.
Semestinya haiwan itu menjadi tarikan utama kerana ia dikenali dengan kecomelannya. Tanpa berbuat apa-apa pun, ia tetap menarik perhatian ramai. SK juga dapat melihat panda merah dan kawanan penguin di dalam South Pole Spectacular.

Paling SK tidak dapat lupakan ketika berada di sana ialah berpeluang menaiki kereta kabel sambil menikmati pemandangan lautan dan pergunungan yang begitu menakjubkan. Jika anda ingin membayangkannya, pengalaman ini seakan-akan menaiki kereta kabel di Langkawi, cuma di Langkawi perjalanannya lebih lama sedikit, memberi kita lebih masa untuk menikmati panorama indah.

Selepas penat menjelajah setiap tarikan di Ocean Park, SK sempat berhenti menikmati hidangan ringan di kiosk makanan halal, Clown Corner. Kiosk ini mempunyai sijil halal yang disahkan oleh The Incorporated Trustees of The Islamic Community Fund of Hong Kong, jadi boleh menjamu selera tanpa ragu.
Lebih mengujakan apabila terdapat ruang solat yang turut disediakan, jadi anda tidak perlu risau mengenai lokasi untuk sembahyang walaupun berada di sini hingga ke petang.

Tiba waktu makan tengah hari, SK bergerak ke restoran JADE di The Fullerton Ocean Park Hotel untuk menjamu selera. Sambil menikmati pemandangan laut, SK menyantap enam hidangan halal yang menyelerakan.
Hidangan yang paling SK tidak boleh lupa sehingga ke hari ini ialah daging lembu tumis bersama kacang madu dan walnut rangup. Kelembutan daging itu membuatkan ia ‘cair’ apabila berada di dalam mulut dan dipadukan dengan kerangupan kacang walnut dan kacang panjang madu.

Tidak dilupakan juga, The Fullerton Ocean Park Hotel turut menyediakan kemudahan solat kepada pengunjung Muslim.

The Peak Tram
Sebelum menjejakkan kaki ke Hong Kong, SK sempat meneliti beberapa tarikan popular di bandar ini menerusi TikTok dan antara yang paling kerap muncul ialah video tentang The Peak Tram. Setelah berpeluang merasainya sendiri, barulah SK benar-benar memahami mengapa ia begitu mendapat perhatian.
Selain keunikan estetiknya, The Peak Tram membawa pengunjung menikmati pemandangan menakjubkan bandar Hong Kong dari sudut berbeza.
Perjalanan singkat menaiki bukit curam ini berakhir di puncak yang dikenali sebagai Victoria Peak atau The Peak, di mana pengunjung boleh ke Sky Terrace 428 dan menikmati panorama 360 darjah. Ia menampilkan gabungan pemandangan Pelabuhan Victoria, deretan pencakar langit dan kawasan Kowloon di kejauhan.
Tempat itu juga terkenal dengan Mei Lok Photo Studio yang terdapat di Peak Galleria. Di sini, pengunjung dapat menyaksikan pelbagai barangan lama Hong Kong dari tahun 70-an hingga 80-an, khususnya berkaitan studio dan filem.
Aqua Luna Evening Harbour Cruise
Seperti yang diketahui, Hong Kong merupakan bandar pelabuhan terkenal kerana kedudukannya di pesisir Laut China Selatan. Tidak hairanlah jika deretan kapal dan bot dapat dilihat menghiasi perairannya, terutama ketika menjelajah di sekitar kawasan pelabuhan.
Disebabkan itu juga, terdapat pelayaran kapal santai yang ditawarkan untuk memberi peluang kepada pelancong menikmati pemandangan bandar Hong Kong dari atas laut.
SK berpeluang untuk merasainya sendiri menerusi Aqua Luna Evening Harbour Cruise. Pelayaran santai itu menyusuri Victoria Harbour, menampilkan pemandangan bangunan yang tersergam indah.
Tarikan seperti ini sangat digemari SK kerana dapat melihat suasana bandar dengan tenang sambil merasai angin laut yang bertiup lembut. Namun, bagi yang mudah mabuk laut, anda disarankan mengambil ubat terlebih dahulu kerana ombak yang sedikit bergelora mungkin membuatkan anda berasa mual atau pening.
Selesai ‘berlayar’, SK menikmati hidangan makan malam di restoran Tagline di Empire Centre. Restoran ini menawarkan variasi makanan India dan Arab yang semestinya menggunakan bahan halal. Walaupun kebanyakan menu mungkin sering dirasai di Malaysia, namun Tagline menyerlah dengan gaya persembahan yang lebih moden serta keunikan rasa yang tersendiri.

Masjid Jamia
Bila sebut mengenai pengalaman mesra Muslim di Hong Kong, perkara pertama yang muncul di benak fikiran setiap orang adalah masjid. Untuk pengetahuan, Masjid Jamia merupakan masjid pertama yang dibina di Hong Kong.
Ia berdiri megah sejak tahun 1840-an, sekaligus menjadikannya masjid tertua di bandar ini.
Dihiasi dengan warna hijau mint, masjid ini tersergam indah di tengah-tengah bandar yang sibuk. Namun, suasana nyaman dapat dirasai sejurus memasuki kawasannya, seakan terlupa sejenak dengan hiruk-pikuk di bandar itu.

SK sempat menemu bual Ketua Imam, Muhammad Arshad mengenai program yang disediakan di masjid ini dan bagaimana pihak masjid berhubung dengan komuniti setempat termasuk bukan Muslim.
“Komuniti Islam di Hong Kong sebenarnya sangat aktif. Walaupun jumlah kami kecil, mungkin hanya sekitar 2 hingga 3 peratus daripada keseluruhan penduduk.
“Kami terdiri daripada masyarakat Pakistan, India, Bangladesh, Afrika dan sebilangan kecil Arab. Namun, majoriti daripada populasi Muslim di sini sebenarnya terdiri daripada saudari-saudari kita dari Indonesia,” katanya.

Menurutnya lagi, komuniti Muslim di sini mempunyai hubungan yang baik dengan pihak kerajaan, wakil diplomatik dan jabatan-jabatan kerajaan.
“Selain itu, kami juga menjalin hubungan yang erat dengan penganut agama lain. Kami kerap mengadakan lawatan timbal balik antara gereja dan masjid, serta menganjurkan pertemuan dan dialog antara agama secara berkala.
“Kadang-kadang program tersebut diadakan di masjid ini dan kadang-kadang di Masjid Kowloon dan Pusat Islam, yang merupakan masjid terbesar di Hong Kong,” ujarnya.
Masjid Kowloon
Jika Masjid Jamia dikenali sebagai masjid tertua, Masjid Kowloon pula merupakan yang terbesar di Hong Kong. Terletak di tengah-tengah bandar Tsim Sha Tsui, Masjid Kowloon dihiasi dengan seni bina marmar putih yang menakjubkan serta kubah utamanya yang megah.
Masjid ini terletak sangat hampir dengan hotel tempat SK menginap, jadi SK ke sana hanya dengan berjalan kaki. Seperti yang SK kongsikan sebelum ini, kawasan sekitarnya memang dipenuhi premis perniagaan dan sentiasa menjadi tumpuan ramai.
Justeru, keberadaan Masjid Kowloon di lokasi ini amat strategik bagi pelancong Muslim, sama ada yang menginap di hotel berhampiran mahupun yang datang untuk membeli-belah di sekitar kawasan Tsim Sha Tsui.
Masjid ini mempunyai dua tingkat dan mampu memuatkan sehingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa, menjadikannya antara pusat ibadah paling besar dan penting bagi komuniti Muslim di Hong Kong.
PMQ
Selain membeli-belah di Tsim Sha Tsui, SK juga sempat menjelajah PMQ yang terletak di Jalan Aberdeen. Untuk pengetahuan, tapak bangunan PMQ pada asalnya ditubuhkan sebagai The Central School pada tahun 1889, ia menjadi pusat pendidikan Barat kepada orang ramai di peringkat rendah dan menengah atas.
Lebih setengah abad kemudian, ia telah diubah menjadi kuarters polis. Namun pada 2014, kompleks itu telah dihidupkan semula sebagai PMQ dan menyediakan peluang kepada warga tempatan untuk memasarkan barangan jualan mereka.
Selain kedai-kedai aksesori, pakaian dan cenderamata, terdapat satu restoran halal di PMQ yang boleh disinggah iaitu BKK Thai Street Food. Sesuai dengan namanya, restoran tersebut menyediakan hidangan Thailand yang pastinya ‘kena’ dengan selera orang Malaysia.

Pulau Lamma
Satu lagi pengalaman ‘belayar’ yang tidak dapat dilupakan di Hong Kong apabila dapat berkunjung ke Pulau Lamma dengan menaiki feri. Di sini, SK dapat merasai suasana yang lebih tenang kerana terletak jauh daripada kesibukan bandar.
Pulau Lamma terkenal dengan perkampungan nelayan yang masih terpelihara sehingga ke hari ini dan banyak makanan laut yang segar diperolehi daripada kawasan tersebut.
Jadi bila sudah datang ke sini, tidak sah kalau tidak menyantap makanan lautnya. SK telah menjamu selera di Rainbow Seafood Restaurant dan melihat sendiri proses penyediaan makanan di situ.
Dari ikan hingga ke sotong dan ketam, bahan-bahan yang digunakan untuk membuat hidangan tersebut adalah halal dan dimasak dengan teliti.
Selain itu, SK juga sempat melihat kawasan ternakan ikan dan pelbagai spesies laut di perkampungan itu.
Hong Kong Disneyland
Disneyland boleh dikatakan sebagai kemuncak kepada jelajah SK di Hong Kong. Mana tidaknya, ia merupakan tarikan paling popular di sana dan wajib pergi.
Sebelum meneroka di dalam taman Disney, SK mengisi perut terlebih dahulu di Crystal Lotus yang terletak di Hong Kong Disneyland Hotel. Dengan suasana yang mewah, pelbagai menu halal boleh dicuba di sini.

Selepas itu, SK bergegas untuk melihat perarakan yang menampilkan pelbagai watak popular Disney. SK juga berjalan-jalan di pelbagai tarikan dalam taman tema tersebut.
Disebabkan cuaca yang kadang kala terlampau panas, SK sarankan anda untuk membawa payung, topi dan cermin mata ketika di sana. Paling penting, periksa dahulu ramalan cuaca agar dapat bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan.
Penat berjalan, tiba masanya untuk menunaikan kewajipan sebagai Muslim. Disneyland menyediakan ruang solat yang dipanggil sebagai Quiet Room. Jika anda ingin ke sini, anda perlu mencari kawasan Mystic Point.
Di samping itu, SK juga menjamu selera sekali lagi di Wayfinders’ Table yang rasmi dibuka pada 12 September lalu. Bertemakan kisah legenda Moana, restoran ini menawarkan hidangan makanan halal dengan sentuhan resipi daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.

Seterusnya, SK berpeluang menyaksikan pertunjukan lampu dan bunga api pada waktu malam. Lebih istimewa, pertunjukan itu bersempena dengan ulang tahun Hong Kong Disneyland yang ke-20. Menyaksikan sendiri pertunjukan itu di depan mata merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Ia juga menjadi penamat yang bermakna untuk penjelajahan selama lima hari di Hong Kong.

Secara keseluruhan, perspektif SK terhadap Hong Kong berubah sepenuhnya selepas merasai sendiri pengalaman mesra Muslim di sana. Sebelum ini, Hong Kong yang SK kenali melalui media dan kaca televisyen hanyalah sebuah bandar moden yang dipenuhi pencakar langit serta pusat beli-belah mewah.
Walaupun belum mencapai tahap sempurna, semakin banyak lokasi dan perkhidmatan di sana yang mula menyesuaikan diri dengan keperluan pelancong Muslim. Dari restoran halal hingga masjid yang mudah ditemui, segalanya menunjukkan betapa bandar ini semakin inklusif dan memahami keperluan pelancong pelbagai latar.
Untuk maklumat lanjut mengenai pengalaman mesra Muslim di Hong Kong, anda boleh layari laman web Hong Kong Tourism Board. #JelajahHongKong.
The post Jejaki Keindahan Hong Kong, 8 Tempat Buktikan Bandar Ini Semakin Mesra Muslim appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/10/07/jejaki-keindahan-hong-kong-8-tempat-buktikan-bandar-ini-semakin-mesra-muslim/