Jawatan Tpm Perlu Ikut Kedudukan Dalam Umno
Siapa paling layak untuk jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang dikhususkan kepada UMNO? Bermacam andaian atau pendapat berlegar di media sosial yang diutarakan oleh pemerhati politik dan ahli akar umbi.
Setiap yang memberi pendapat atau hujah melalui sudut pandang masing-masing. Namun, pada masa sama pendapat atau pandangan itu wajar melihat kepada naratif yang berkaitan dengannya.
Padangan umum melihat, jawatan TPM perlu diisi oleh pemimpin UMNO mengikut kedudukan perjawatan dalam parti. Mereka dipilih oleh ahli yang meletakkan seseorang pemimpin pada satu-satu jawatan. Jawatan dalam parti juga satu bayangan bahawa itulah juga kehendak ahli untuk kepimpinan peringkat negara.
Maka, jika kedudukan dalam parti diambil kira, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi adalah paling layak sebagai kedudukannya sebagai Presiden. Tambahan, beliau pernah menduduki kerusi TPM pada era pemerintahan BN dahulu.
Namun, Zahid seperti dilapor Malaysiakini pada 9 Mac lalu menolak sebarang pencalonan bagi memegang jawatan dalam kabinet.
Menurut laporan itu, Zahid mahu penyokong parti berlapang dada menerima keputusan perdana menteri berhubung pelantikan mana-mana anggota parlimen sebagai anggota jemaah menteri.
Zahid berkata beliau menolak untuk memegang jawatan dalam kabinet Perikatan Nasional (PN) kerana mahu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Selain itu, Zahid juga berkata beliau akan menumpukan untuk "membersihkan diri" di mahkamah berhubung kes-kes yang dikairkan dengannya.
"Saya menolak jawatan kabinet agar dapat fokus mempersiapkan parti menghadapi PRU ke-15.
"Saya akan membersihkan diri saya di mahkamah dan pertuduhan-pertuduhan terhadap saya tidak digugurkan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh peguam negara terdahulu terhadap pemimpin-pemimpin kerajaan sebelum ini," katanya.
Itu jawapan kontra kepada cadangan yang mahukan Zahid dilantik sebagai TPM.
Kalau bukan Zahid, maka susunan seterusnya ialah Datuk Seri Mohamad Hasan. Banyak orang suka kepada cadangan ini.
Persoalannya, Tok Mat Hassan bukan ahli parlimen. Oh... ada kata boleh dilantik sebagai sanator untuk membolehkan dilantik sebagai TPM. Ya, cara ini memang dibenarkan dalam Perlembagaan.
Namun ada dua perkara perlu diketahui. Pertama, untuk melayakkan Tok Mat Hassan menjadi TPM, dia juga perlu dilantik sebagai menteri untuk sebarang portfolio. Ini kerana jawatan TPM tiada dalam perlembagaan. Mana-mana TPM sebenarnya menyertai kabinet atas kedududukannya sebagai menteri.
Jika ingin melantik Tok Mat Hassan sebagai menteri, maka perlulah dirombok kedudukan menteri dalam kabinet dan salah seorang perlu dipecat. Atau ditambah satu kementerian baharu atau dilantik ke jawatan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang sekali gus juga menambah satu lagi jawatan menteri.
Persoalan lain akan berlaku jika Tok Mat Hassan dipilih sebagai TPM ialah dia tidak layak untuk memangku jawatan Perdana Menteri kerana jawatan itu hanya dikhususkan kepada Ahli Dewan Rakyat.
Seterusnya kita lihat pula kepada kedudukan seterusnya iaitu Naib Presiden. UMNO ada tiga jawatan Naib Presiden yang kini disandang oleh Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Dari ketiga-tiga Naib Presiden itu, yang berada dalam kabinet Muhyiddin sekarang hanyalah Ismail Sabri sebagai Menteri Kanan (Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan.
Berdasarkan kepada naratif tersebut, Ismail Sabri dilihat sudah diterima dalam kabinet. Sudah diberi jawatan Menteri Kanan yang bermaksud menteri diyakini Muhyiddin untuk melaksanakan tugas penting.
Ismail Sabri ternyata sepanjang tempoh menjawat menteri kanan telah berjaya melaksanakan tugas dengan baik, terutama dalam memerangi Covid-19.
Malah, ketika pemerintahan Pakatan Harapan (PH), Ismail Sabri telah dilantik sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat yang mana perlantikan itu dipersetujui oleh semua ahli parlimen dari BN dan PAS yang berada di blok pembangkang pada ketika itu.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://sambungtitik.blogspot.com/2020/10/egd.html