Jangan Menghukum Anak Ber Bin Kan Abdullah
Pernahkah  kita terfikir apa perasaannya apabila mendapati nama kita berbin atau  berbintikan Abdullah, sedangkan adik-beradik lain berbinkan nama bapa  kita? Terfikirkah kita bagaimana individu itu hendak berhadapan dengan  masyarakat sepanjang hidupnya dari sekolah sehinggalah berkahwin.                 

       Bagaimana pula pandangan umum terhadap ibu bapanya pula? Ya,  diakui mereka pernah melakukan kesilapan lalu tetapi bagaimana jika  pasangan itu sudah bertaubat.
  Bayangkan macam mana pula pasangan itu hendak mendidik  anak-anaknya untuk menjadi baik, jika kisah lampau mereka terus  terdedah? Ikuti kupasan temu bual wartawan, Sharilfuddin Saa ri dengan  Mufti Perlis, Prof.
Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zai nul Abi din yang negeri itu mempunyai fatwa berbeza berkaitan soal Anak Tidak Sah Taraf.
MINGGUAN: Bolehkah Datuk jelaskan  intipati fatwa yang dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis berhubung kedudukan  Anak Tidak Sah Taraf pada 2013?
MOHD ASRI: Saya nak jelaskan, Perlis bukan sahaja ada fatwa tentang Anak Tidak Sah  Taraf iaitu yang membabitkan individu lahir kurang daripada enam bulan  tempoh perkahwinan, bahkan perkara itu telah menjadi warta kerajaan pada  17 Januari 2013.
Dalam warta itu menyebut, mengikut Peruntukan  Subseksyen 48 (6) Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006, Majlis Agama  Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), setelah diperkenankan  oleh Raja Pemerintah dan memaklumkan kerajaan negeri, dengan ini  menyebabkan fatwa berikut disiarkan iaitu: “Anak yang lahir kurang enam  bulan selepas ibunya berkahwin, boleh dibinkan kepada suami ibunya,  kecuali jika dinafikan oleh si suami”.
Ini bermaksud, dalam kes pihak-pihak yang  terlanjur lalu mereka berkahwin. Empat atau lima bulan (kemudian),  seorang anak dilahirkan dan mereka nak binkan si anak dengan si suami  iaitu bapanya (sedangkan persetubuhan berlaku sebelum perkahwinan), maka  dalam fatwa kita, si anak boleh dibinkan kepada bapanya itu. Saya akan  berikan hujah-hujah dan alasan yang disebutkan nanti.
Untuk pengetahuan, di Malaysia boleh  (berbinkan si bapa) tetapi dengan syarat hanya (anak itu lahir) enam  bulan dan ke atas. (Contohnya) Kalau pasangan bersetubuh luar nikah  tetapi selepas tujuh bulan kemudian lahirkan anak, maka dia dibenar  berbinkan si bapa atas pandangan Mazhab Shafie dan seumpamanya. Namun  Perlis melihat fatwa ulama yang lebih luas dalam hal ini.
MINGGUAN: Apakah kategori Anak Tidak Sah Taraf, boleh Datuk jelaskan?
MOHD ASRI: Yang pertama  ialah Anak Tidak Sah Taraf disebabkan hukum (zina) dan yang kedua,  disebabkan teknikal yang melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).  Bagi melibatkan JPN, iaitu pasangan yang berkahwin di luar negara, tidak  termasuk dalam fatwa Perlis.
Saya hendak jelaskan, kadang-kadang sijil  (nikah) dan surat konsul telah dapat, tetapi di negara ini, ada negeri  cuba menyusahkan dengan cara yang macam-macam, atas alasan kesalahan  kahwin luar negara dan lain-lain lagi. Lalu menyebabkan si anak tidak  dapat didaftar dan JPN telah mendaftar seolah-olah anak itu tidak sah  taraf (berbinkan Abdullah).
Ini merupakan satu bentuk 'kezaliman'. Tidak  dibinkan kepada si bapa sehingga menyebabkan orang menganggap si anak  itu adalah anak di luar nikah. Pihak pendaftaran secara tidak langsung  macam menyebab orang menuduh orang lain berzina. Itu merupakan kesalahan  besar dalam agama padahal dia (pasangan) tidak berzina pun.
Saya hendak beritahu, jika orang berkahwin  secara sah, kamu tidak memberi (pendaftaran anak) sehingga orang lain  menyangka si anak itu tergolong dalam Anak Tidak Sah Taraf, kamu  termasuk dalam dosa menyebabkan orang lain menuduh orang (pasangan)  berzina.
Konsul kita ada, mereka semak dan beri sijil,  maka terima sahajalah. Jabatan agama pun kadang-kadang menyusahkan  urusan pendaftaran.
MINGGUAN: Adakah kategori lain Anak Tidak Sah Taraf yang tidak boleh berdaftar dalam fatwa Perlis?
MOHD ASRI: Menurut fatwa  kita juga, sekiranya dia (pasangan) tidak berkahwin, maka tidak bolehlah  (mendaftar). Misalnya, si ibu melahirkan anak tanpa bapa langsung. Di  situ pada pandangan kita, tidak benarkan. Atau si anak lahir dan si bapa  kata, anak itu bukan anak saya umpamanya, juga tidak boleh.
MINGGUAN: Apakah sebabnya fatwa ini dikeluarkan?
MOHD ASRI: Ini penting, saya  harap wartawan dapat menjelaskannya. Islam adalah satu agama yang  rahmat untuk semua. Apa-apa sahaja fatwa yang menyebabkan dan membawa  derita kepada manusia atau bencana, ia tidak boleh dianggap sebagai satu  rahmat.
Walaupun kadang-kadang kita hormati pandangan  ulama, tetapi kita mesti melihat kepada realiti yang ada. Di sana, ada  beberapa pandangan ulama tentang hal ini.
Fatwa Perlis bukan bersendirian sebaliknya  berasaskan pandangan para ulama, ada pandangan Hasan Al-Basri dalam hal  ini, begitu juga Ibnu Khair, Ibnu Taimiyah, Ibnu Utsaimin dan Dr. Yusuf  Al-Qaradawi yang sama dengan kita (fatwa Perlis). Kerana kita berusaha  untuk menutup aib. Kita kena lihat fenomena bagaimana ia berlaku.
Katakanlah satu pasangan telah terlanjur  (berzina), kemudian mereka kahwin dengan pasangan yang sama dan lima  bulan kemudian lahirlah seorang anak lalu bila dia nak pergi daftar,  tidak boleh dibinkan kepada bapa. Kononnya pihak yang berfatwa  menggunakan alasan itu untuk mendenda si ibu dan bapa kerana berzina.  Tetapi realitinya apa yang berlaku – mereka (pasangan) ini mungkin telah  bertaubat lalu berkahwin.
Kemudian si anak membesar, ibu dan bapa  mungkin sudah jadi orang baik dan hendak membesarkan anak dengan cara  baik. Dia (si anak) pula mendapat adik-adiknya yang lain dan mendapati  dia berbinkan lain iaitu Abdullah manakala adik-adiknya mengikut nama si  bapa, sebagai contoh Ridzwan.
Pastinya si anak itu bertanya kenapakah saya  bin lain, dan adakah bapanya kena beritahu yang saya (bapa) dan ibu  dahulu pernah buat benda jahat, sedangkan agama menyuruh menutup aib.
Dan bagaimana pula dia hendak mendidik  anak-anaknya berbuat baik, esok si anak kata bapa, ibu pun buat benda  jahat. Kemudian menyebabkan aib itu didedahkan pula di sekolah. Apabila  masuk sekolah menengah malu lagi, bapa dia mungkin sudah bertaubat.
Guru turut tahu ni anak luar nikah,  (seterusnya) masuk universiti bangkit lagi. 30-40 tahun nak kahwin,  bangkit lagi sedang mungkin pula bapa atau ibu sudah meninggal dunia.  Bayangkan aib diletakkan kepada seorang mangsa iaitu si anak.
MINGGUAN: Dalam Islam juga turut ditekankan supaya kita menjaga aib orang. Pandangan ustaz? 
MOHD ASRI: Saya hendak tanya  di manakah kebaikan fatwa ini yang memaksa untuk dibinkan dengan  Abdullah, sedangkan realitinya hanya untuk memalu dan mematahkan  semangat orang untuk menjadi baik selain membuka aibnya.
Keduanya, sekarang ini banyak kes seperti ini  iaitu orang yang berbinkan Abdullah, jika semuanya nanti berbinkan  Abdullah.... Kita ada bukan ribu tetapi puluhan ribu dan lama kelamaan,  orang anggap zina ini suatu perkara biasa.
Dulu mungkin orang sembunyi-sembunyi tetapi  sekarang, zina ini seakan-akan dicatatkan (berbinkan Abdullah), akhirnya  semua orang akan tahu dan jadi kebiasaan macam di Barat. Secara tidak  langsung ia seakan-akan memberi galakan. (Nanti ada mengatakan) Tidak  ada masalah pun buat dulu (zina) sebab ramai yang bin Abdullah. Ini  tidak akan jadi aib lagi.
Saya nak tanya, kita sebenarnya hendak denda  siapa dengan hukuman ini? Adakah kita hendak denda si ibu, tidak, kita  menghukum anak. Sebab itu fatwa Perlis menyelamatkan perkara ini. Saya  nak tanya lagi dalam keadaan lain, kalau pasangan bukan Islam masuk  Islam dan membawa anak-anaknya sekali, (mengapa) anak itu terus dibinkan  kepada si bapa. Kita tidak tanya pula enam bulan ke empat bulan ke  (kelahiran).
Mengapa ada pendekatan berbeza dan kita tidak  pernah tanya pun? Oh! itu dulu sebelum dia masuk Islam. Jadi ertinya,  soal apakah yang hendak dicapai... dengan penegasan fatwa ini yang  menyusahkan kita. Sebab itu, susah juga hendak melepasi fatwa Perlis ini  tetapi Alhamdulillah ada kes-kes di Mahkamah Syariah Perlis yang menang  apabila cukup bukti.
Saya anggap Mahkamah Syariah Perlis mestilah  mengikut fatwa Perlis. Jika tidak, ia melanggar titah Duli Yang Maha  Mulia Tuanku Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail)  kerana itu merupakan warta negeri Perlis.
Saya ingin memberitahu rakyat Malaysia,  sesungguhnya agama menyuruh kita menutup aib. Fatwa Perlis yang  dikeluarkan ini tidak lain mempertanggungjawabkan pada orang berkenaan  (pasangan berzina) untuk berkahwin, memberi ruang bagi mereka bertaubat  serta berubah dan menutup keaiban.
MINGGUAN: Apakah asas pengeluaran fatwa Perlis dalam hal ini?.
MOHD ASRI: Kita bersandarkan  kepada hadis sahih Nabi SAW al-walad li-l-firash kerana ada kes pada  zaman Baginda, berlaku perebutan nasab anak antara Sa’d bin Abi Waqqas  dan Abd bin Zamah. Sa’d membuat tuntutan dengan mendakwa bahawa anak  saudaranya, Utbah bin Abi Waqqas beritahu bahawa anak Zam’ah yang masih  kecil sebenarnya adalah anaknya (Utbah).
Namun Abd bin Zam’ah membantah dengan  menyatakan bahawa itu adalah anak bapanya, Zam’ah yang mengahwini ibu  anak berkenaan. Sa’d mengukuhkan dakwaan dengan menyatakan anak  berkenaan jelas menyerupai rupa Utbah.
Kes ini melibatkan wanita itu ‘tidur’ dengan  orang lain tetapi kahwin dengan orang lain. Maka si anak (dilahirkan)  menyerupai orang lain dan bukan suami wanita itu.
Kes ini dibawa kepada Nabi SAW dan baginda  bersabda al-walad li-l-firash, anak dibinkan kepada suami yang ada.  Walaupun rupa (fizikal anak) tidak menyokong. Melainkan orang itu (si  suami) kata, ini bukan anak saya.
Kredit : UtusanMalaysia
Hantarkan luahan kisah anda di sini ==> lamanqaseh/borang
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://www.lamanqaseh.com/2017/06/jangan-hukum-anak-bin-abdullah.html