Jangan Guna Telefon Bimbit Ketika Petir
Oleh Saleha Md Salleh 

BARU-BARU ini, seorang lelaki maut, manakala tiga lagi cedera selepas  di panah petir ketika bermain bola sepak di Setia Alam, Selangor.  Mangsa dikatakan sedang berada di padang bola dan memegang telefon  bimbitnya.
 Insiden ini adalah satu pengajaran kepada semua  bahawa sambaran kilat boleh meragut nyawa dan ia boleh berlaku  bila-bila masa tanpa kita ketahui. Sekiranya cuaca mula gelap dan  terdengar guruh dari langit, itu adalah petanda hujan dan petir kilat  juga akan berlaku.
 Memahami kronologi kejadian petir,  guruh dan kilat akan memberikan kefahaman menyeluruh bagaimana ia boleh  mengakibatkan kematian. Suhu di bumi adalah bergantung kepada masa dan  jarak cahaya matahari terhadap sesebuah kawasan.
 Suhu dan  kelembapan sesuatu tempat pula dipengaruhi oleh keadaan udara dan akan  mengalami proses kitaran sejatan. Sejatan yang berlaku adalah proses di  mana wap air akan terhasil dari permukaan takungan air yang dipengaruhi  oleh suhu panas sehingga kandungan wap air yang sangat banyak  menyebabkan udara berada pada kadar lembap.
 Penghasilan awan komulus
  Penghasilan wap air yang banyak akan naik ke atmosfera bagi  menstabilkan tekanan udara. Wap air atau udara panas akan ke permukaan  atmosfera dan menghasilkan awan komulus sehingga terjadinya awan yang  mempunyai ruang udara tidak stabil, berlengas dan bergolak kuat dikenali  sebagai awan komolunimbus.
 Daripada pembentukan  komolunimbus, ribut petir akan terjadi dalam keadaan bersel dengan  diameter 3 hingga 5 kilometer dan ketinggiannya melebihi 10 kilometer.  Melihat kepada karakter sel ribut petir, kita boleh membayangkan  bagaimana impak yang akan berlaku kepada subjek yang dipanah, sudah  pasti ia boleh membunuh dan meragut nyawa.
 Tambahan lagi purata  tempoh hidup petir kilat adalah 15 hingga 30 minit dan sepanjang laluan,  kilat petir boleh menyebabkan kemusnahan teruk dan sangat membahayakan  operasi penerbangan. Proses kilat petir ini adalah juga satu proses  nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang didefinisikan oleh pertubuhan  kaji cuaca sedunia.
 Nyahcas elektrik ini akan berlaku  apabila perbezaan tekanan yang tinggi antara atmosfera dan bumi yang  akan menghasilkan petir. Sudah pasti ketika petir berlaku ia akan  menarik lebih banyak objek yang merupakan konduktor terhadap aliran  elektrik seperti palang besi, pokok, kenderaan dan bahan berunsurkan  logam.
 Kilat petir juga akan terus ke permukaan bumi  terutama di kawasan lapang dan kelajuan bagi sesuatu petir dianggarkan  300 kilometer sejam seperti kelajuan kereta formula 1, sekiranya berlaku  perlanggaran dan kesannya boleh menyebabkan kematian.
 Medium pembumian elektrik
  Oleh itu, langkah berhati-hati harus diutamakan dengan tidak berada di  kawasan lapang di mana arus kilat lebih mudah dan berpotensi tinggi  untuk berlaku kerana bumi adalah medium pembumian elektrik yang sangat  baik.
 Kita juga perlu mengelak daripada berlindung di  kawasan pokok kerana ketinggian pokok boleh dijadikan elektrod kilat  untuk ke permukaan bumi. Sekalipun kita berada di rumah, seharusnya kita  tidak menggunakan peralatan elektrik seperti televisyen kerana ia akan  disambar petir dan boleh menyebabkan litar pintas sehingga berlaku  kebakaran.
 Rumusannya, setiap individu perlu  menitikberatkan kesan kilat dan petir ini agar kejadian malang yang  boleh meragut nyawa tidak berulang dan ia boleh dielak. Setiap individu  juga haruslah mengambil langkah berhati-hati apabila cuaca mula gelap  dan mendung kerana kilat petir akan berlaku dengan tiba-tiba dan tidak  dapat dijangka.
*Penulis adalah Pensyarah Matematik, Pusat Asasi UiTM, Kampus Dengkil  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2019/03/jangan-guna-telefon-bimbit-ketika-petir.html