Jangan Abai Keaktifan Najib Di Media Sosial Kenapa Serangannya Dibiarkan Begitu Saja
Barangkali tidak sukar untuk kita semua mengakui bahawa tulisan-tulisan bekas Perdana Menteri, Najib Razak di media sosial sejak kehilangan kuasa ini bukan saja semakin menarik, malah dibaca oleh lebih ramai rakyat negara ini.
Beliau juga dilihat sangat aktif sehingga kadangkala dua atau tiga tulisan dimuatkannya dalam sehari.
Dalam satu perbualan dengan sekumpulan anak-anak muda daripada sebuah universiti tempatan di ibukota baru-baru ini, mereka secara terbuka mengakui suka dan tertarik dengan tulisan-tulisan Najib sejak kebelakangan ini.
Berbeza dengan sebelum PRU14 di mana mereka tidak suka dan jarang sekali membacanya, kini mereka mengakui kerapkali menunggu-nunggu munculnya tulisan Najib yang dianggap menghiburkan, menarik, selain berfakta dan ada kebenarannya.
Tulisan Najib di media sosialnya bukan saja dalam bentuk serangan terbuka atau membidas berkaitan pengurusan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan, janji manifesto, perangai menteri-menteri dan sebagainya, tetapi selalu juga dalam bentuk sindiran, menyinis, usikan dan lain-lain lagi.
Sesekali pula beliau akan tampil secara live melalui facebooknya.
Dalam keadaan sudah jatuh dan kini berdepan banyak kes di mahkamah, meskipun ada yang berkata segala apa yang diluahkan Najib ketika ini tidak perlu dipedulikan lagi, namun dalam beberapa hal luahan beliau atau apa yang dtulisnya itu tidak boleh diabaikan atau diketepikan begitu saja.
Misalnya, dalam kritikan beliau tentang soal kejatuhan saham, nasib peneroka Felda, PTPTN, penubuhan syarikat khas untuk mengurus saham dan aset Tabung Haji, penurunan harga minyak dan banyak lagi, ia bukan saja tidak boleh diketepikan semudah itu, malah perlu dijawab atau diperjelaskan dengan pantas oleh pihak kerajaan.
Kita mungkin memahami jika Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri agak terhad masanya untuk memberi respon terhadap semua isu yang dibangkitkan Najib itu, tetapi bagaimana dengan menteri-menteri dan segala pasukan media sosialnya, unit media di Pejabat Perdana Menteri, unit media Pakatan Harapan, unit media Bersatu dan semua penggiat media sosial pro kerajaan yang ada?
Setelah jadi kerajaan dan akses kepada maklumat menjadi lebih mudah, mengapa dibiarkan saja Najib menyerang tanpa henti-henti?
Kenapa semuanya lebih banyak berdiam diri, dan kalau ada pun sesekali Lim Guan Eng menjawabnya, malangnya ia hanya dilakukan beberapa hari kemudiannya?
Kenapa kerajaan ini dilihat tidak begitu cekap dan lembab dalam memberi respon?
Mujurlah hanya Najib seorang saja yang aktif, cuba bayangkan jika Presiden UMNO, Timbalan Presiden yang ada kuasa Presiden, Naib-Naib Presiden, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Puteri juga sama aktif seperti Najib menyerang kerajaan di media sosial sekarang ini?
Membiarkan Najib terus bercakap beserta segala fakta dan angka yang dilampirkannya dan kerajaan Pakatan Harapan pula hanya berdiam diri saja terhadapnya, ia tentu saja suatu kesilapan yang nyata.
Ia malah seperti mengulangi kesilapan kerajaan era BN dan Najib dahulu yang banyak berdiam diri dan tidak tampil dengan jawapan yang meyakinkan berhubung banyak serangan serta bidasan Pakatan Harapan di media sosial.
Tetapi, hasilnya bukan saja sokongan kepada BN semakin merosot hari demi hari, malah akhirnya hilang kuasa sama sekali.
Najib sendirinya rasanya tidak percaya BN akan kalah serta hilang kuasa, mungkin kerana yakin beliau tidak mampu ditumbangkan, namun realitinya penyumbang terbesarnya ialah kegagalan menangani serangan di media sosial itu.
Hari ini Pakatan Harapan sudah berkuasa, fenomena yang sama nampaknya sudah berulang kembali. Serangan terhadap kerajaan bukan saja tidak ditangani, malah banyak yang ditulis Najib pun tidak mampu dijawab dengan baik dan meyakinkan.
Pejuang-pejuang media sosial pro Pakatan Harapan nampaknya tidak lagi rancak dan segagah dulu, meskipun dilaporkan ada sesetengahnya bernaung di bawah pihak-pihak tertentu.
Mereka kini malah sudah sama seperti pejuang maya era BN dahulu yang mula berbalah dan bergaduh sesama sendiri, kadangkala dalam isu remeh dan tiada kaitan langsung dengan perjuangan sebenar.
Apakah kerajaan ini tidak mahu lama memerintah Malaysia? (ShahbudinHusin 01/01/2019)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://shahbudindotcom.blogspot.com/2019/01/jangan-abai-keaktifan-najib-di-media.html