Jamal Abdillah Wany Hasrita Sertai Genre Hael Husaini
Bukan mudah untuk seseorang legenda keluar dari ruang dunianya kemudian mencuba perkara baharu, yang mungkin di luar kotak fikirnya selama ini.
Bagaimanapun, situasi berbeza dilalui pemilik gelaran Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah yang tidak keberatan mencuba genre baharu menerusi sebuah single duet bersama penyanyi muda, Wany Hasrita bertajuk Belenggu Rindu.
Ciptaan sepenuhnya Hael Husaini dan Ezra Kong, Belenggu Rindu sememangnya kedengaran berbeza dan di luar kotak. Melodinya sama seperti karya-karya yang pernah dihasilkan oleh duo itu menerusi Anta Permana dan Hajat.
Jamal menyatakan persetujuan berduet dengan Wany kerana memikirkan lagu berkenaan boleh menarik perhatian pendengar terutama generasi muda, memandangkan rentaknya yang rancak dan mesra telinga.
“Saya rasa tiada masalah untuk mencuba dan memahami genre budak-budak baharu zaman sekarang. Ini zaman mereka, jadi saya perlu belajar menyesuaikan diri untuk kekal relevan. Wany juga seorang penyanyi muda berbakat besar dan mempunyai suara yang merdu.
“Lagi pun, saya bekerjasama dengan nama-nama hebat masa kini untuk projek ini. Jadi saya yakin, Belenggu Rindu sebuah eksperimentasi yang bagus,” luah Jamal ketika ditemui pada majlis pelancaran single berkenaan di Suka Sucre Bistro, Cheras, baru-baru ini.
Tumpang
Sengaja mencuit rasa pelantun Kekasih Awal dan Akhir itu, bagaimana jika gandingan bersama Wany, Hael dan Ezra yang menjadi rebutan ramai dianggap sebagai agenda menumpang populariti mereka, Jamal hanya tertawa.
Ternyata lelaki berusia 60 tahun itu bersahaja jika dilabel sebegitu.
Tambah Jamal, tiada salahnya menumpang populariti kerana gabungan tersebut akan menguatkan lagi jenama Belenggu Rindu.
“Kalau orang mahu kata Jamal Abdillah tumpang populariti Wany, Hael dan Ezra, silakanlah kerana hal itu tidak memberi kesan kepada saya malah membantu untuk lagu ini semakin dikenali,” katanya lagi.
Bercakap perkara yang sama, Wany Hasrita pula menyuarakan bahawa isu siapa tumpang populariti siapa tidak harus ditimbulkan.
Baginya, Jamal sendiri sudah mempunyai pengikut, bahkan pengaruh penyanyi kelahiran Bintang RTM (1979) itu jauh lebih gah berbanding dirinya.
Menyifatkan dirinya beruntung apabila Jamal yang merupakan idolanya sejak kecil menerima tawaran untuk berduet bersama, Wany berharap gabungan vokal mereka akan diterima peminat.
“Berduet dengan Jamal Abdillah memang menjadi salah satu impian saya apabila melangkah masuk dalam industri. Saya berterima kasih kepada syarikat rakaman FMC kerana menjadikan impian itu satu kenyataan,” ujarnya.
Hormat
Bercerita tentang pengalaman merakam lagu bersama Jamal, Wany pada mulanya bimbang seandainya tidak mencapai piawaian vokal seperti yang diharapkan penyanyi itu.
Sangkaannya ternyata meleset.Jamal sebaliknya senior yang senang bekerjasama dan banyak memberi tunjuk ajar dari segi penghayatan lagu.
Mengakui mengambil masa untuk lebih mesra namun sebagai junior, Wany mula menyesuaikan diri dengan keperibadian Jamal yang lebih suka memerhati dan memberi nasihat secara berkias.
“Saya ada meminta nasihat untuk bertahan lama dalam industri. Antara perkara yang beliau tekankan adalah sentiasa menepati masa supaya orang mudah bekerja dengan kita.
“Kami merakam lagu secara berasingan kerana itu pilihan Jamal selesa bersendirian ketika rakaman,” luah Wany menutup perbualan.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://artismeletop.blogspot.com/2019/09/jamal-abdillah-wany-hasrita-sertai.html