Jabatan Alam Sekitar Pahang Mendakwa Kualiti Air Di Tasik Chini Di Kategorikan Bersih
KUANTAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang mengesahkan kualiti air Tasik Chini, Pekan sehingga kini dikategorikan bersih berdasarkan pemantauan yang dilakukan jabatan itu.
JAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia berdasarkan pemantauan bermula pada 2005 lagi.
"Terdapat 15 stesen pemantauan kualiti air Tasik Chini di lokasi yang ditetapkan dengan kekerapan pemantauan sekali sebulan di setiap stesen.
"Empat parameter utama yang diukur ialah Keperluan Oksigen Biokimia (BOD), Pepejal Terampai (SS), Nitrogen Amonia (AN) dan Besi (Fe).
"Secara umumnya didapati bahawa data kualiti air bagi tahun 2020 sehingga Mac 2021 menunjukkan kualiti air Tasik Chini dalam kategori bersih.
"Tahun lalu bacaan purata bagi empat parameter ialah BOD = 1.99 mg/l yang berada pada Kelas 2 dengan sub-indeks 92, SS = 6.95 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 94 dan AN = 0.02 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 99.
"Tahun ini pula sehingga Mac lalu bacaan purata bagi empat parameter ialah BOD = 1.99 mg/l yang berada pada Kelas 2 dengan sub-indeks 92, SS = 8.93 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 92 dan AN = 0.05 mg/l yang berada pada Kelas 1 dengan sub-indeks 95," kata JAS.
Kenyataan yang dikeluarkan JAS itu susulan laporan berita mengenai Tasik Chini sejak akhir-akhir ini yang didakwa teruk tercemar.
Pada Mei 2009, Tasik Chini dianugerahkan status Rizab Biosfera oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah program Manusia dan Biosfera yang dikoordinasi oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA)
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa parameter Fe atau besi pada 2020, purata bacaan adalah 2.54 mg/l yang menunjukkan trend menurun berbanding tahun sebelumnya 3.81mg/l.
"Namun, purata bacaan bagi tiga bulan pertama tahun ini menunjukkan trend meningkat kepada 3.6 mg/l.
"Peningkatan berlaku pada Februari lalu yang disebabkan faktor hujan lebat tetapi bacaan menurun pada Mac.
"Ujian in-situ yang dijalankan di dua lokasi di Tasik Chini, semalam mendapati parameter Oksigen Terlarut (DO) adalah 4.2 mg/l hingga 4.7 mg/l, kekeruhan sebanyak 9.6 NTU hingga 15.8 NTU dan PH antara 6.04 hingga 6.67," menurut JAS.
Kenyataan itu turut memaklumkan bahawa JAS Pahang dengan kerjasama Kolej Matrikulasi Pahang telah mengeluarkan Profil Kualiti Air Tasik Chini bagi tahun 2016 hingga Oktober 2020.
"Profil berkenaan boleh dirujuk oleh orang ramai di pejabat JAS Pahang.
"Kesimpulannya, kualiti air di Tasik Chini adalah pada tahap bersih dan selamat untuk semua hidupan terutama hidupan air di dalamnya," kata JAS. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://pahangdaily.blogspot.com/2021/06/jabatan-alam-sekitar-jas-pahang.html?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed:+blogspot/LWFdy+(Pahang+Daily+Online)