Isu Hakim Nazlan Anak Najib Tak Puas Hati Dengan Kenyataan Pmx Di Dewan Negara
agendaily.com20/06/2023
Nooryana Najwa bersama bapanya, Datuk Seri Najib Razak di mahkamah.
Anak perempuan bekas Perdana Menteri, Nooryana Najwa Najib tidak berpuas hati dengan keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membebaskan Hakim Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali daripada kesalahan jenayah.
Anak perempuan Datuk Seri Najib Razak itu memberikan reaksi susulan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Negara yang mengesahkan tiada sebarang bukti kesalahan jenayah ditemui terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Nooryana sebaliknya berkata amat bimbang dengan penemuan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan sebelum ini seolah-olah apabila seseorang itu didakwa atas kesalahan mencuri, pihak pendakwa tidak perlu membuktikan dari mana wang yang didakwa dicuri itu.
“Bolehkah anda bayangkan betapa mudahnya untuk memfitnah orang lain jika kaedah ini turut diguna pakai untuk kes lain? Hujah ini turut mengecewakan saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan tiada keperluan untuk membuktikan secara khusus laluan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) bagi menentukan sama ada berlaku penyelewengan.
Malah, mahkamah menganggap sumber dana itu tidak relevan.
Mahkamah Persekutuan juga berpendapat, pihak pendakwaan tidak perlu menyediakan bukti jalinan langsung sumber wang yang dikatakan haram kepada SRC untuk membuktikan terdapat penyalahgunaan dana daripada SRC.
Mahkamah juga menganggap asal usul dana (haram) itu tidak penting dalam perkara ini.
Nooryana menyifatkan situasi ini janggal dalam sistem keadilan Malaysia.
“Beliau (Hakim Nazlan) adalah Penasihat Am Maybank, dan Maybank dikaitkan langsung dengan SRC. Walaupun tiada kesalahan jenayah ditemui, adalah penting untuk diakui bahawa SPRM dan AGC (Jabatan Peguam Negara) percaya Hakim Nazlan telah melanggar kod etika hakim dalam mengendalikan kes SRC.
“Ekoran itu, AGC telah mengarahkan SPRM menghantar satu surat rasmi dan melaporkan perkara ini kepada Ketua Hakim Negara, dan turut menggesa agar tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Nazlan,” tambahnya.
Menurut Nooryana, jika tindakan Nazlan didapati melanggar kod etika hakim, ia akan menimbulkan kebimbangan serius tentang kesahihan keputusannya berhubung kesalahan Najib dalam kes SRC.
“Kami amat percaya bahawa keadilan bukan sahaja mesti dilaksanakan tetapi juga mesti dilihat telah dilaksanakan.
“Ini bagi memastikan proses kehakiman yang adil dan saksama untuk semua pihak yang terlibat.
“Justeru, kami dengan rendah hati memohon siasatan menyeluruh terhadap perkara ini untuk menegakkan integriti badan kehakiman dan memulihkan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan,” katanya lagi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2023/06/isu-hakim-nazlan-anak-najib-tak-puas.html