Isu Doktor Kontrak Cadang Lanjut Tempoh Kontrak 10 Tahun
 Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN 

 GAMBAR HIASANPETALING  JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dicadangkan memanjangkan tempoh  perkhidmatan doktor berstatus kontrak daripada dua tahun kepada 10 tahun  di samping menambah lebih banyak perjawatan bagi golongan itu. 
Presiden Persatuan Perubatan  Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, langkah itu dapat menjimatkan  masa membabitkan isu pentadbiran yang sedang dihadapi doktor setiap  kali mahu memperbaharui kontrak mereka. 
Selain itu, beliau berkata, tempoh  sepanjang itu membolehkan doktor kontrak menyambung pengajian mereka  dalam bidang kepakaran masing-masing dan memberi jaminan pekerjaan yang  ketika ini menjadi isu paling utama.
“Ramai doktor kontrak akan  menghabiskan tempoh kontrak mereka pada hujung tahun ini dan hingga kini  tiada sebarang maklumat diberikan mengenai status kontrak bagi  kebanyakan doktor. Sudah pasti terdapat ketakutan dan kebimbangan dalam  kalangan mereka jika perkhidmatan kontrak ditamatkan,” katanya dalam  satu kenyataan hari ini. 
Selain itu, kata Kar Chai, pihaknya  mencadangkan supaya doktor kontrak layak menerima Hadiah Latihan  Persekutuan (HLP) dan pihaknya dimaklumkan geran berasingan akan  diwujudkan. 
Bagaimanapun, katanya, MMA masih  menunggu keputusan berkenaan selain mempertimbang untuk memberi Cuti  Belajar Bergaji Penuh (CBBP) bagi mereka yang mahu menyertai mana-mana  program perubatan yang diiktiraf. 
“Ketika ini kumpulan doktor  kontrak tidak dapat memohon HLP atau mana-mana program tajaan tempatan.  Walaupun di Parlimen ada mengatakan doktor layak namun tiada hitam putih  daripada JPA.
“Malah ada calon yang berjaya  mendapat biasiswa tetapi perlu berhenti berkhidmat dengan Kementerian  Kesihatan untuk mengikuti program sarjana mereka,” katanya.
Gerakan Hartal Doktor Kontrak  baru-baru ini memaklumkan akan memulakan siri mogok kedua di seluruh  negara pada bulan depan akibat masalah lantikan tetap mereka ke dalam  Kementerian Kesihatan masih belum selesai.
Rancangan tunjuk perasaan itu pula  hadir selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul  Aziz membentangkan Bajet 2022 baru-baru ini yang memberi tawaran sedia  ada kepada mereka namun tidak menyebut mengenai lantikan tetap ke dalam  kerajaan.
Di Malaysia, pegawai perubatan boleh  menjadi pakar melalui peringkat pengajian sarjana beserta HLP dan CBBP  dengan syarat pegawai perubatan mesti berkhidmat secara tetap dengan  kerajaan sekurang-kurangnya tiga tahun. 
Mengulas lanjut, Kar Chai berharap  supaya setiap tuntutan perbelanjaan yang dibuat oleh doktor ketika ini  dapat diselesaikan dengan segera termasuk tuntutan Covid-19 dan tuntutan  perjalanan.
Katanya, hal itu berdasarkan tinjauan  oleh Bahagian Pelatih, Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan (SCHOMOS)  MMA mendapati ramai doktor lewat menerima bayaran tuntutan mereka malah  ada yang tidak dibayar dengan alasan tiada peruntukan.
“MMA tidak dapat menerima alasan sedemikian kerana ia adalah hak mereka berdasarkan perkhidmatan yang diberikan,” katanya. 
Sementara itu, beliau mencadangkan  supaya cuti tahunan terkumpul doktor dapat dilanjutkan selama dua tahun  dan digunakan sepenuhnya dalam tempoh itu memandangkan cuti tahun  petugas kesihatan ketika ini masih dibekukan akibat pandemik Covid-19  malah, difahamkan, cuti berkenaan akan tamat tempoh dan tidak boleh  dibawa ke tahun berikutnya. 
“Walaupun ia isu pentadbiran yang  harus diselesaikan secara dalaman, ia boleh menimbulkan ketidakpuasan  hati dan kekecewaan petugas kesihatan berkenaan terutama petugas barisan  hadapan yang bertungkus lumus selama dua tahun menghadapi Covid-19,”  katanya.  -UTUSAN ONLINE
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/11/isu-doktor-kontrak-cadang-lanjut-tempoh.html