Isu Ceo Spv Tabung Haji Bukan Islam Berbangsa Cina
Oleh Dr. Zaharuddin Abd RahmanIni adalah isu terbaru yang dipolitikkan dan dimanipulasi dalam bentuk yang tidak bertanggungjawab sebenarnya. Lebih teruk lagi ada yang mengatakan CEO Tabung Haji itu sendiri adalah bukan Islam, padahal CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji adalah Datuk Seri Zukri Samad iaitu seorang Melayu Muslim yang professional dan juga merupakan bekas CEO Bank Islam Malaysia Berhad.
Syarikat tujuan khas atau SPV yang mengambil alih aset Tabung Haji dengan bayaran harga premium atau tanpa rugi buat Tabung Haji, adalah Urusharta Jemaaah Sdn Bhd (UJSB). Siapakah ahli lembaga pengarahnya yang merupakan pengurusan tertinggi dalam pengurusan SPV UJSB ini?, mereka adalah Ketua Setiausaha Perbendaharaan Ahmad Badri Mohd Zahir (pengerusi), Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan Rashidah Mohd Sies, Pengarah Pelaburan Hartanah Bumiputera Bhd Mohd Shukri Hussin, Timbalan Setiausaha Fiskal Dan Ekonomi Mohd Hassan Ahmad dan Ketua Seksyen Bahagian Fiskal Dan Ekonomi Imri Dolhadi Ab Wahab
Siapakah pula CEO bagi syarikat SPV Urus Harta Jemaah Sdn Bhd? Ia telah dijawab oleh pihak Menteri bahawa tiada CEO buat masa ini. Disebabkan itu, operasi hariannya ditampung oleh sebuah lagi syarikat kerajaan iaitu Prokhas Sdn Bhd. Ia adalah sebuah syarikat kerajaan yang memang diamanahkan untuk menguruskan kebanyakan SPV milik kerajaan, ahli Lembaga pengarahnya pula adalah Dato’ Mohd Salleh Mahmud, Tan Sri Datuk Wira Dr. Hj. Mohd Shukor Hj. Mahfar, Dato’ Fauziah Yaacob, Datuk Mohd Nasir Ahmad dan Datin Rashidah Mohd Sies
Siapakah pula CEO Prokhas Sdn Bhd? Ketua Pegawai Eksekutif Prokhas Sdn BHd ketika ini adalah seorang berbangsa Cina iaitu Chen Yin Heng. Di sinilah isu yang dimanipulasikan, persoalannya adakah aset Tabung Haji dikawal bukan Islam
Jawabnya, tidak kerana aset yang diurus oleh Prokhas itu tiada kaitan lagi dengan Tabung Haji kerana semua aset yang dahulunya milik TH itu telah dipindahmilik kepada UJSB, maka aset terbabit BUKAN LAGI aset Tabung Haji, ia telah pun dari satu sudut dianggap terjual kepada UJSB atau kerajaan Malaysia dengan harga tanpa rugi buat Tabung Haji (berbanding harga pasaran yang merugikan)
Justeru itu, tidak timbul sama sekali syarikat Prokhas dan CEOnya menguasai apa-apa bahagian dari Tabung Haji atau asetnya. Membaca tuduhan ini dan melihat bagaimana ia disebarkan menunjukkan sama ada ceteknya kefahaman awam terhadap isu ini atau tidak bertanggungjawabnya pihak yang memutarbelitkan isu
Selain itu, syarikat Prokhas Sdn Bhd juga telah sekian lama menguruskan pelbagai syarikat SPV kerajaan Malaysia sejak dari pemerintahan kerajaan terdahulu, antaranya adalah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP), Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), Dana Infra dan Dana Harta. Malah Encik Cen Yin Heng juga telah lama berada di posisi beliau sejak dari syarikat Danaharta lagi pada tahun 1998 dan kemudiannya bertukar ke Prokhas sejak tahun 2006 lagi, iaitu sudah bertahun-tahun sebelum ini lagi. Jelas ia bukan lantikan baru oleh kerajaan terkini
Jadinya, adakah seorang berbangsa Cina telah kini menjadi CEO syarikat yang urus SPV Tabung Haji
Tidak, kerana SPV tersebut TIDAK mengurus aset Tabung Haji tetapi ia mengurus aset milik syarikat Urusharta Jemaah Sdn Bhd sebuah syarikat milik Kementerian Kewangan Malaysia yang mewakili Kerajaan Malaysia. Ia tiada kena mengena lagi dengan Tabung Haji kecuali kerajaan Malaysia melalui UJSB dan Prokhas, perlu cemerlang dalam pengurusan aset yang telah dibeli agar mereka boleh membayar hutang mereka kepada Tabung Haji dan tidak menambah beban kerugian ke atas kerajaan Malaysia. Malah jika mereka gagal memulihkan aset tersebut, kerajaan Malaysia tetap mesti menyelesaikan hutang hasil jumlah pemindahan aset kepada pihak Tabung Haji. Menurut maklumat juga, kerajaan juga akan terus menerus membantu syarikat-syarikat ini melalui pelbagai cara dan insentif. Menamakannya sebagai SPV Tabung Haji juga adalah SALAH dan menunjukkan ketidakfahaman ramai tentang isu ini, kerana sebenarnya UJSB dan Prokhas adalah SPV Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Kewangan dan bukannya SPV Tabung Haji
Selain itu, seorang CEO tidak punyai kuasa penuh dalam pengurusan sesebuah syarikat kerana dia sentiasa perlu melaporkan kepada ahli Lembaga Pengarah. Pengerusi Lembaga Pengarah bersama semua ahli Lembaga Pengarah syarikat adalah yang mempunyai kuasa dan autoriti tertinggi serta boleh menukar CEO sekiranya tidak menjalankan tugasan dengan baik lagi kemas
Sama-samalah kita berdoa agar tabung amanah untuk tujuan mulia - menunaikan ibadah Haji - ini semakin baik. Sudah tentu pihak pengurusan baru sedang melaksanakan tugasan sebaik mungkin bagi mengembalikan zaman keuntungan TH, misalnya ketika tahun 2013 dengan keuntungan bersih sebanyak RM 2.45 bilion setelah ditolak segala liabiliti dan pelarasan
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Professor Adjung
Fakulti Perakaunan & Kewangan
Universiti Selangor (UNISEL)
(Presiden MURSHID)03 April 2019
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2019/04/isu-ceo-spv-tabung-haji-bukan-islam.html