Israel Marah Hollywood
Israel ada menteri budaya. Saya tak tahu sebelum ini kerana bagi saya Israel lebih terkenal dengan keganasan ketenteraan daripada sifat lembut budaya. Rupanya menteri budaya Israel dewasa ini ialah seorang politikus berusia 44 tahun bernama Miki Zohar.
Pada 3 Mac lalu, Zohar membidas penganugerahan Oscar buat dokumentari mengenai penempatan Israel di kawasan Tebing Barat yang ditaklukinya.
Penempatan wujud ‘hasil kerja’ warga Israel yang dipanggil ‘settlers’ dengan bantuan tentera. Jika diterjemah kepada Bahasa Melayu ‘settlers’ ialah peneroka.
Namun bagi saya terjemahan lebih tepat dalam konteks ini ialah ‘perampas’ kerana golongan itu merampas tanah milik rakyat Palestin. Tidak ada apa yang mereka terokai.
Bagi Zohar apabila Oscar memberi anugerah kepada dokumentari itu, ia ‘a sad moment for cinema’. The Oscars ialah Academy Awards yang dianugerah untuk kecemerlangan filem.
Ia dianggap anugerah paling berprestij dalam industri perfileman. Penganugerahan dilaksanakan secara tahunan oleh the Academy of Motion Picture Arts and Sciences di Amerika Syarikat (AS).
Maka bolehlah dikatakan Zohar marah Hollywood kerana memberi Oscar kepada dokumentari yang kita semua sudah maklum sekarang. Ia bertajuk ‘No Other Land’ yang memenangi anugerah dokumentari terbaik.
Zohar menyifatkan pembikin dokumentari mengulangi naratif yang ‘memutarbelit’ imej Israel di mata dunia.
Pada pendapat saya dua sebab beliau marah. Pertama pemberian Oscar boleh dilihat Hollywood mengakui kekejaman Israel sememangnya berlaku.
Kedua dokumentari itu dihasilkan dua warga Israel sendiri yang bekerjasama dengan dua warga Palestin. Ertinya warganya mengakui Israel melakukan kekejaman. Lantas Zohar panas.
Betul kata Sarah Agha yang menulis di The New Arab bahawa perjuangan Palestin menang Oscar kerana bercakap benar mengenai dasar apartheid Israel.
No Other Land ialah bukti tekad, daya tahan dan semangat rakyat Palestin ‘no matter the intention of the Israeli film maker’.
Beliau mungkin sangsi akan ‘keikhlasan’ pembikin filem Israel yang terlibat dalam dokumentari ini. Tetapi ini bukan soalnya sekurang- kurangnya pada penulisan ini.
Dua rakyat Palestin yang menghasilkan ‘No Other Land’ ialah aktivis Basel Adra dan pembikin filem Hamdan Ballal manakala dua warga Israel ialah Yuval Abraham seorang wartawan dan pengarah fotografi Rachel Szor.
No Other Land difilemkan di Masafer Yatta berdekatan Hebron di Tebing Barat. Ringkasnya ia menjejaki seorang anak muda Palestin yang bergelut dengan pemindahan paksa apabila tentera Israel memusnahkan kediaman masyarakat Palestin untuk mewujudkan zon menembak.
Satu babak yang cukup meninggalkan kesan kepada penonton ialah apabila seorang rakyat Palestin yang menunjuk perasaan secara aman telah ditembak oleh tentera Israel mengakibatkannya lumpuh seumur hidup.
Kata Agha ada banyak lagi dokumentari yang ‘compelling’ mengenai keganasan dan kekejaman pendudukan Israel di Palestin, dasar apartheid rejim Tel Aviv dan juga pelbagai cara dilakukan rakyat Palestin untuk membantah dan melawan penaklukan dan keadaan yang dilaluinya.
Ertinya bukan hanya No Other Land yang mendokumentasi itu semua. Namun No Other Land yang diberi anugerah Oscar.
Apa yang membuat No Other Land berlainan dan berpengaruh berbanding dokumentari lain yang juga hebat ialah ia berjaya menembusi perbincangan aliran perdana.
Walaupun produksi kata Agha ialah kolaborasi antara yang menakluk dengan yang ditakluk ia menyajikan fakta bahawa ada mangsa jelas dalam konteks Israel – Palestin.
Hampir tidak boleh dinafikan menurut Agha pembabitan warga Israel membuat No Other Land lebih senang diterima pelbagai pihak yang mungkin sebelum ini bimbang dituduh berat sebelah atau memihak perjuangan Palestin.
Kata saya ramai termasuk Hollywood sudah tidak mahu membutakan mata lagi mengenai keganasan Israel. ‘Enough is enough’ lalu memberi No Other Land anugerah sekali gus pengiktirafan dan pendedahan seluruh dunia.
Namun realitinya pemindahan paksa ke atas rakyat Palestin masih berterusan. Sang perampas tanah terus dilindungi dan dibantu tentera Israel semasa merampas. Enam hari lalu Al Jazeera melaporkan perampas tanah menyerang sebuah perkampungan di Masafer Yatta lokasi pembikinan dokumentari No Other Land.
Di Gaza sudah berminggu fasa pertama gencatan senjata berakhir. Israel melengah-lengahkan untuk menyertai fasa kedua. Hari ini diberitakan Israel akan menghantar delegasi ke Doha untuk mengadakan rundingan dengan Hamas mengenai fasa kedua.
Bukanlah rahsia Israel tidak minat fasa kedua dilaksanakan. Ia pergi ke Doha untuk berunding sekarang hanya akibat tekanan rakyat sendiri yang mahu proses pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin diteruskan.
Donald Trump tempoh hari beri amaran rakyat Gaza ‘semua akan mati’ selagi tebusan Israel berada dalam tahanan Hamas. Menurut Al Jazeera ramai di Gaza menyifatkan ancaman Trump sebagai tidak lebih daripada justifikasi untuk terus bertindak ganas dan menghukum mereka.
Maksudnya cari alasan untuk mengganas. Benar kata kata mereka itu. - FMT
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/03/israel-marah-hollywood.html